Saturday, January 16, 2010

fikir-fikirkan wahai umat Nabi Muhammad S.A.W




PERSEPSI MASYARAKAT ISLAM TERHADAP ISU-ISU SEMASA

Kertas Kerja  dibentangkan di Seminar Pemikiran Islam Semasa

UiTM Kampus Segamat

 

Oleh: Abdul Halim Ramli[1]

         

Pendahuluan


Kertas kerja ini cuba mengupas persepsi atau pandangan masyarakat Islam terhadap beberapa isu yang timbul di negara ini. Kertas kerja ini lebih ke arah membetulkan persepsi  songsang yang terdapat di dalam pemikiran umat Islam di negara ini di dalam menggarap atau memperkatakan sesuatu isu berhubung dengan Islam. Segala permasalahan yang timbul di kalangan umat Islam sewajarnya dirujuk kepada sumber Islam yang autentik dan bukannya diselesaikan mengikut agak-agakan, sentimen kepartian apatah lagi ledakan emosi. Islam adalah satu agama yang ditegakkan di atas dasar ilmu bukannya fanatisme atau taqlid membuta tuli. Kegawatan yang berlaku di dalam kehidupan umat Islam hari ini berpunca dari kedangkalan ilmu, konflik politik dan kepentingan diri, kumpulan dan sebagainya. Seruan terhadap Islam itupun didirikan di atas dasar ilmu, ajakan berbahas, berdailog dan berdebat dengan cara yang baik agar kebenaran yang hendak ditegakkan benar-benar difaham , dihayati dan diterima dengan hati yang terbuka oleh umat Islam.


Isu-Isu Semasa Umat Islam: Satu Senario


Semenjak Umat Islam di negara ini mencapai kemerdekaan sehinggalah ke hari ini banyak isu-isu yang mendapat perhatian di kalangan umat Islam. Kalau sebelum merdeka isu-isu yang timbul berkisar kepada perjuangan untuk memerdekaan tanah air, memajukan umat Melayu yang mundur di dalam pelbagai bidang, isu-isu agama yang melibatkan persoalan bidah, khurafat, pendidikan agama, penghakisan nilai-nilai hidup Islam serta lain-lain isu sosial seperti kedudukan  dan peranan wanita di dalam pembangunan negara. Pasca-kemerdekaan memperlihatkan kesungguhan umat Melayu Islam  memperkukuhkan  lagistatus quo mereka di dalam Tanah air mereka sendiri di dalam pelbagai bidang khususnya penyertaan kaum Melayu dalam sektor ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi. Di dalam masa yang sama kesedaran beragama semakin meningkat di kalangan umat Melayu khususnya apabila lahirnya kesan-kesan negatif modenisasi yang dijalankan. Isu-isu modenisasi sama ada ianya  membawa kesan positif atau negatif telah menjadi tumpuan di dalam apa juga agenda sama ada agenda politik, pendidikan, gerakan keagamaan dan sebagainya.

Sistem pendidikan yang diwujudkan oleh penjajahan Ingeris serta diperkukuhkan selepas kemerdekaan Malaysia rupa-rupanya telah membelah pemikiran , pendekatan dan cara bertindak umat Melayu. Sistem pendidikan tersebut sekurang-kurangnya telah menghasilkan dua kelompok umat Melayu, iaitu Melayu-sekular dan Melayu Islamis. Kedua-dua kelompok inilah yang mencorakkan isu-isu semasa umat Islam mengikut kefahaman dan persepsi kelompok masing-masing. Kadang-kala konfrantasi kedua kelompok ini  bukan sahaja dalam bentuk pertentangan idea dan pendekatan malah turut membawa kepada  pertentangan fizikal seperti  peristiwa Memali, pulau memulau, dan kafir mengkafir.

 

Persepsi Songsang  Umat Islam Terhadap Isu-Isu Semasa



Perkembangan mutakhir memperlihatkan banyak isu-isu yang lahir dan dibahaskan berdasarkan persepsi yang songsang. Antaranya:


1)      Islam tidak boleh dicampur adukan dengan politik

Isu tersebut seringkali kita dengar dan membacanya di dada-dada akbar dan media elektronik. Isu tersebut timbul  sebahagian besarnya adalah akibat daripada pertentangan idealogi politik parti-parti politik yang terdapat di negara ini dalam usaha mereka untuk mendapatkan pengaruh dan kekuasaan di kalangan masyarakat. Sebenarnya slogan bahawa agama harus dipisahkan daripada politik bukanlah baru di dunia Islam. Ia berpunca dari fahaman Barat dan kejahilan umat Islam memahami world-view Islam secara menyeluruh. Ada sesetengah pihak  cuba melunakan istilah secular dengan memberinya makna yang positif agar ia semacam sesuai dengan Islam. Seperti membahagikan istilah sekular kepada dua, iaitu  sekular  negatif dan  sekular  positif. Ada pandangan yang lebih berani lagi dengan mengatakan Islam adalah agama sekular yang memisahkan persoalan politik dari agama . Pandangan tersebut dibuat oleh Shekh Ali Abd al-Raziq yang berasaskan kepada 4  alasan (Lihat:Mohamed S.El-Wa, On the political system of Islamic state, 1984):

i.Bentuk pemerintahan Islam boleh dalam apa juga bentuk sama ada otokrasi, birokrasi, monarki, republik, demokrasi dan lain-lain.

ii. Tugas Nabi hanya mengajak memeluk agama, bukannya untuk mengatur negara atau pemerintah.

iii. Islam agama persatuan.

iv. Rasulullah mengajak umatnya bersatu dan berjaya mempersatukan mereka.


Pandangan di atas telah ditolak  dengan hebat oleh ulamak-ulamak Islam seperti Shekh Muhamad al-Khidr Hussein (Mufti Azhar), Prof.Abd Hamid Mutawalli dan lain-lain lagi.Sekiranya pandangan tersebut diterima, seolah tugas Rasulullah adalah sekadar mengajak manusia mentauhidkan Allah dan bukannya mengatur hidup manusia berpadukan hidayah daripada Allah.Pandangan tersebut juga bererti menolak sebahagian besar sirah Rasulullah yang memperlihatkan perjuangannya yang bersungguh-sungguh bagi mewujudkan  sebuah negara Islam di Madinah , antaranya melalui hijrahnya ke Madinah dalam rangka mewujudkan sebuah daulah Islamiah.Menurut Prof.Ismail al-Faruqi; “the most important aspect of the Hijrah is its creation of the Islamic state”, katanya lagi’ “…the state is inevitable for Islam. It is absolutely necessary for muslims to fulfill their Islamicity” . Ia juga merupakan essensi pengalaman keagamaan Islam yang menuntut pelaksanaan Islam dan mengubah ruang-waktu bagi memenuhi pola ketuhanan (Prof.Ismail al-Faruqi, The Hijrah: The Necessity of its iqamat, 1983) . Negara Islam menurut  Muhammad Iqbal adalah “is the expression of Islam’s spirituality” yang perlu diperluaskan dalam kehidupan umat Islam.Kalau diterima pandangan yang membataskan fungsi agama hanyalah dalam persoalan keagamaan sepertimana interprestasi Shekh Ali Abd Raziq terhadap fungsi pengutusan Nabi Muhammad, samalah Islam dengan agama Kristian yang membataskan peranan  Pope mereka dalam persoalan ritual semata-mata atau Pope hanyalah pemerintah dalam kerajaan spiritual.

Ada juga segelintiran masyarakat Melayu menyarankan agar nama Islam tidak boleh digunakan oleh parti-parti politik atau pertubuhan-pertubuhan bagi mengelakkan Islam diperalatkan oleh  parti politik tersebut bagi mendapatkan pengaruh di dalam masyarakat. Pandangan tersebut berasaskan hujah bahawa terdapat pertubuhan-pertubuhan di luar negara yang menggunakan Islam melakukan keganasan terhadap orang lain.Disamping itu, ia bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan dan pertelagahan sesama Islam. Pandangan tersebut merupakan pandangan yang bias, prejudis dan tidak berasaskan kepada dalil al-Qur’an dan Hadis. Pandangan tersebut hanya sekadar melanjutkan padangan negatif Barat terhadap Islam, kebencian terhadap gerakan Islam dan dibuat atas dasar penilaian rasional dan pengamatan sosiologi semata-mata. Kalau diterima pandangan ini, bukan sahaja pertubuhan politik tidak boleh menggunakan  nama Islam, tetapi juga Bank juga tidak boleh dinamakan dengan Bank Islam dan nama orang-orang Melayu juga tidak boleh digunakan nama-nama Islam kerana alasannya ia masih melakukan kejahatan,kemungkaran atau tidak melambangkan hakikat Islam.

Kata nama Islam disandarkan kepada apa juga perbuatan, aktiviti dan gerakan adalah bertujuan untuk memberikan identiti khas dan hala tuju bahawa pekara tersebut dilakukan demi mencapai kehendak Islam mengikut kemampuan manusia. Kita mengakui bahawa terdapat kelemahan di dalam aspek penghayatan dan pelaksanaan Islam bagi pertubuhan yang menggunakan nama Islam. Sepatutnya kelemahan mereka itu harus diperbetulkan melalui semangat musyawarah, kritikan yang membina dan hujah yang rajih, bukannya dengan terus mengharamkan penggunaan  nama Islam sepertimana kesilapan besar yang dilakukan oleh Turki di bawah pemerintah Kamal Atartuk dan diteruskan sehingga hari ini. Disamping itu, tidak pernah ada mana-mana ulamak yang mengeluarkan fatwa mengharamkan atau tidak menggalakkan penggunaan nama Islam atas apa juga pekara melainkan dengan jelas pekara tersebut adalah satu kemungkaran. Pandangan tersebut adalah jelas lahir dari kejahilan, kebencian , phobia dan finatik, bukannya berasaskan hujah yang autentik!.

Satu lagi alasan yang dikemukkan bagi golongan yang mahu nama Islam tidak digunakan  dalam pertubuhan atau parti politik ialah alasan untuk menjaga kesucian Islam. Sebenarnya kesucian Islam terjaga apabila sistem Islam dinobat dan dilaksanakan di dalam kehidupan umat Islam. Islam hanya benar-benar terjaga kesuciannya apabila ada keazaman yang jitu di kalangan pertubuhan atau gerakan yang benar-benar mahu menjadikan Islam sebagai landasan perjuangannya. Tidak ada maknanya  kalau sekadar berselogan mahu menjaga kesucian Islam sedangkan segala tindak tanduk, pendekatan yang digunakan jauh dari kehendak ajaran Islam . Golongan yang masih berpegang teguh kepada fahaman sekularisme, sebenarnya mahu bertindak bebas di dalam apa juga tindakan mereka.Agama bagi mereka hanyalah penghalang kepada cita-cita dan nafsu tamak yang ada di dalam diri mereka. Justeru itu, mereka mencari berbagai dalih bagi memperlihatkan Islam sebagai satu agama yang tidak boleh dicampur adukan dengan persoalan politik dan sebagainya. Kalau politik tidak ada di dalam Islam bermakna Allah  adalah bersifat jahil kerana menurunkan satu agama yang tidak lengkap dan tidak relaven dengan kehidupan manusia. Hebat sangatkah diri kita sehingga kita sanggup mengatakan Allah itu jahil !!!!.
2) Ulamak , Politik dan Kepimpinan

Ulamak di dalam Islam disebut sebagai pewaris para Nabi. Peranannya bukan sekadar menjadi imam di dalam sembahyang, membaca doa, mengeluarkan fatwa bahkan mereka adalah golongan yang mengambil alih fungsi Nabi sebagai pemimpin masyarakat Islam. Peranan mereka yang menyeluruh dan amat berat tersebut  bukannya  sesuatu yang baru di dalam sejarah dan tamadun Islam. Namun di dalam masyarakat kita hari ini ada golongan yang tidak menyenangi penglibatan golongan tersebut di dalam kegiatan politik. Mereka lebih   suka melihat ulamak mengasingkan diri dari kegiatan politik dengan hanya menumpukan kepada persoalan keagamaan semata-mata. Sikap mereka itu samalah dengan sikap penjajah Barat semasa mereka menjajah dunia Islam dahulu. Ulamak yang hanya membataskan diri mereka dalam hal-hal kerohanian amat disenangi oleh golongan penjajah. Di dalam Islam, persoalan kepimpinan amat penting kerana ia menentukan pelaksanaan Islam sebagai satu sistem. Imam al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah menyebutkan “adalah wajib melantik ketua negara untuk menggantikan Rasulullah bagi melindungi agama serta mentadbir dunia dengan agama”. Tujuan pemerintahan Islam menurut Mohamad S.El-Wa ( On the political system of Islamic state,1984) adalah untuk terciptanya identiti Islam dalam masyarakat. Agar seluruh aspek penghidupan berpijak kepada prinsip-prinsip nilai-nilai Islam.Jelas disini, tugas ketua negara bukan sekadar meningkatkan sosio-ekonomi umat, tetapi yang lebih penting lagi memertabatkan agama sebagai satu sistem yang mengatur seluruh perjalanan hidup muslim.[2]

Oleh kerana  kesinambungan Islam amat bergantung kepada pemimpin, maka Islam menetapkan pemilihan pemimpin tersebut harus memenuhi syarat seperti keadilan, ilmu yang membolehkan iaberijtihad dalam hal-hal yang berlaku serta mengeluarkan hukum, sempurna pancaindera, tidak cacat, mempunyai idea yang boleh memimpin rakyat ,menjaga kepentingan negara dan berketurunan mulia (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah). Golongan yang wajar memikul tanggungjawab tersebut adalah golongan yang soleh seperti fatwa Ibn.Taymiah dalam kitabnya Ro’ul ma lam ‘an a’immatil a’lam, katanya: “kaum muslimin setelah memberikan wala’ (kesetiaan/ketaatan)kepada Allah dan Rasulnya, wajib memberikan wala’ kepada orang-orang mukmin sebagai ditegaskan oleh al-Qur’an, terutamaulamak yang menjadi pewaris para nabi dan dijadikan Allah sebagai bintang-bintang penunjuk jalan dikegelapan malam” (lihat,Dr.Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf, 1995). Pandangan ini memperjelaskan adalah tidak salah bahkan tepat sekiranya ulamak melibatkan diri dalam kegiatan politik  dalam rangka menjalankan amanah Allah. Namun, sekirannya pemimpin yang dilantik itu tidak mencapai taraf sebagai seorang ulamak adalah wajar menjadikan ulamak sebagai penasihat mereka di dalam menjalankan urusan negara seperti mana yang telah dijalankan oleh pemimpin umat Islam waktu silam.


3). Masjid ,Fungsi dan Perpecahan

Salah satu isu yang hangat diperkatakan pada hari ini adalah berlegar tentang persoalan peranan masjid di dalam masyarakat. Terdapat berbagai persepsi umat Islam di negara ini tentang fungsi masjid, antaranya pandangan masjid hanya sekadar tempat beribadah, manakala persoalan politik tidak boleh dibincangkan di dalam masjid. Apakah persepsi tersebut mempunyai asasnya di dalam Islam? . Prof.Ahmad Shalaby telah menggariskan peranan institusi masjid semenjak zaman Rasullulah adalah seperti berikut: ia adalah tempat melakukan ibadat, tempat bermesyuarat, mahkamah menjatuhkan hukuman, institusi pengajian, balai pertemuan, tempat kegiatan kesusteraan, tempat perbincangan mengenai perihal ekonomi dan perdagangan dan tempat memutuskan urusan negara. Sidi Gazalba pula menyimpulkan  institusi masjid di dalam |Islam adalah pangkal tolak dan penghujung dari setiap segi kehidupan mereka.Dari keterangan di atas adalah tidak salah idealisme politik dibincangkan di dalam masjid tetapi ia mestilah berasaskan kepada nilai ketakwaan dan masjid tidak boleh sama sekali mengadakan kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan (termasuk politik) yang boleh membawa pepecahan umat Islam (Zakaria Stapa, Fungsi dan kegunaan Masjid simbol perpaduan ummah).

            Segala permasalahan umat Islam semasa seperti perbalahan dan perselisihan pendapat harus diselesaikan di dalam masjid melalui semangat syura. Masjid seharusnya menjadi badan bebas yang memantau semua kegiatan umat Islam yang berada dipersekitarannya dan mejadi mekanisme memupuk perpaduan umat Islam. Zakaria Stapa menyimpulkan piawian kegiatan masjid mesti didasarkan kepada tiga asas,iaitu: ketakwaan, perpaduan dan kesucian. Semua aktiviti dibenarkan di masjid sekiranya tiga piawian tersebut tidak dilanggar. Sekirannya masjid hendak dikawal, maka ia hendaklah diasaskan kepada pandangan al-Qur’an dan Hadis dan bukannya berasaskan pandangan manusia semata-mata. Menurut Al-Qadi Abu Bakar al-Arabi dalam kitab tafsirnya  Ahkam al-Qur’a (Lihat Akbar Eklusif, 21-27 Feb, 2000), mengatakan; umat Islam dianggap merobohkan masjid sekirannya mereka menghilangkan fungsinya dan menghalang muslimin untuk melahirkan syiar dan kesatuan pendirian.Pemilihan Imam di dalam masjid mengikut  al-Mawardi boleh dilakukan oleh pemerintah atau persetujuan ramai warga masyarakat yang berasaskan kepada syarat-syarat tertentu seperti hendaklah seorang yang Qari danFaqih. Sekiranya terdapat dua orang calon imam, iaitu seorang yang qari tetapi tidak faqih, manakala seorang lagi adalah faqih tetapi tidak qari, maka al-Mawardi memutuskan yang faqih lebih layak dilantik menjadi imam.


4) Wanita , Poligami Dan Gangguan Sexual

Isu poligami dikalangan wanita bukanlah isu baru, malah ia sentiasa menjadi perbincangan pelbagai pihak, khususnya golongan wanita. Isu tersebut telah mendapat perhatian di kalangan pertubuhan wanita seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia, Sisters In Islam, Persatuan Peguam-Peguam Wanita Muslim dan lain-lain yang telah menyuarakan dengan lantang kebimbangan mereka terhadap suami yang ingin berpoligami.Isu tersebut menjadi hangat terutama apabila kerajaan Selangor memansuhkan peraturan tandatangan isteri yang sedia ada di dalam borang permohonan jika sesorang suami itu berhasrat untuk berpoligami. Kemudian isu ini dikaitakan dengan bermacam-macam insiden seperti pengabaian tanggungjawab suami terhadap isteri pertama, keadilan, nafkah dan lain-lain (Al-Manar,Jun 1997).

Meskipun poligami merupakan isu kontraversi sepanjang zaman, namun hukum Islam adalah jelas memberikan keizinan kepada kaum lelaki berkahwin sehingga 4 orang isteri (lihat An.Nisa’:3). Poligami diizinkan berasaskan tindakan Rasulullah sendiri sama ada berbentuk sunnah amaliah atau taqririah.Bagaimanapun, keizinan itu tertakluk kepada dua syarat lain, iaitu kemampuan material, fizikal dan keadilan antara isteri dari sudut material bukannya melibatkan rohani/emosi. Rasulullah sentiasa berlaku adil di kalangan isterinya dari aspek material tetapi dari aspek emosi beliau lebih mengasihi Aisyah dan Siti Khadijah. Ketika dikritik oleh Ummu Salamah (salah seorang isteri Rasulullah), Rasulullah bersabda: “Jangan kamu menyakitiku tentang Aisyah, sesungguhnya wahyu tidak datang kepadaku, dalam keadaan aku berada di dalam selimut seorang wanita melainkan dengan Aisyah”. Hanya Allah sahaja mempunyai kecintaan yang mutlak untuk seluruh makhluknya sepertimana doa Rasulullah: “Ya Allah, inilah pembahagian terhadap apa yang aku miliki.Janganlah engkau mengambil kira terhadapku sesuatu yang Engkau miliki dan aku tidak miliki” (Dr.Sa’adduddin al-Sayyid Salih, Strategi musuh menentang Islam(trj.), 1996). Meskipun amalan poligami di kalangan kaum lelaki di negara ini ada bukti yang jelas kelemahannya, namun kita tidak boleh menentang hukum tersebut kerana ia diputuskan oleh Allah sendiri. Poligami yang positif adalah penyelesaian terhadap masalah andartu, ibu tunggal,  dan pertambahan bilangan penduduk wanita di negara ini. Zamakhsyari pengarang kitab Tafsir al-Kasyaf menyatakan diantara sebab-sebab Islam mengharuskan berkahwin lebih dari satu adalah unntuk menjaga masyarakat dari jatuh ke lembah perzinaan (Dipetik oleh Dr.Mohammad al-Bahi, Sikap wanita Islam kini (trj.), 1981). Ramai wanita yang sukar mendapat jodoh di kalangan lelaki tempatan telah bertindak mengawini lelaki pendatang sehingga menimbulkan pelbagai masalah kepada diri dan keluarga mereka.

Mutakhir ini gangguan sexual yang dilakukan oleh kaum lelaki terhadap golongan wanita di tempat kerja mendapat perhatian kerajaan sehingga diperkenalkan akta khas gangguan sexsual. Akta tersebut diperkenalkan kerana banyak laporan dikemukkan menunjukkan terdapatnya gangguan sexsual  ke atas golongan wanita di tempat kerja atau dimana sahaja mereka berada. Kita memang menyokong undang-undang ini, tetapi adalah tidak adil menyalahkan kaum lelaki seratus peratus sebagai sebab utama berlakunya fenomen tersebut. Kaum wanita juga harus dipersalahkan dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya perlakuan mereka seperti bentuk pakaian yang sexy, suara yang mengoda, perbuatan yang merangsang dan lain-lain lagi yang boleh mendorong kaum lelaki melakukan gangguan seksual. Dengan sebab itu, Islam telah memberikan syarat-syarat tertentu kepada kaum wanita yang ingin berkerja, seperti:

i.                     tidak menjejaskan kehormatannya sebagai seorang wanita, isteri yang setia dan ibu yang dimuliakan, apabila berada dengan lelaki di tempat kerja.
ii.                   Tidak menjejaskan kehidupannya dalam rumahtangga sebagai seorang isteri yang mempunyai sifat lemah lembut dan kasih sayang serta tanggungjawab terhadap suami dan anak.
iii.                  Tidak menjejaskan kedudukannya sebagai ibu yang sepatutnya memberi asas-asas pelajaran yang baik terhadap anak-anaknya yang masih kecil
iv.                 Tidak mempunyai sikap bahawa bekerja di pejabat-pejabat dan kerja-kerja lain yang ringan sebagai jalan untuk melarikan diri daripada tugas-tugas sebagai suri rumah yang dianggap membosankan.(Lihat,Jurnal Minda Usuluddin, N0.6, Jun 1997).


5) Finatik dan Ekstrimisme

Kedua-dua istilah tersebut seringkali dirujuk kepada gerakan yang bercorak keislaman terutama untuk memperlihatkan tindakan mereka yang tidak bertolak ansur dengan kelompok lain terutama melibatkan persoalan dasar keislaman. Apakah finatisme dan ekstrimisme dalam bentuk ini sesuatu yang dicela oleh Islam?. Al-Qardowi telah memberikan ruang lingkup ekstrimisme adalah dalam bentuk:
i.                     finatik terhadap sesuatu pendapat dan menolak pendapat yang lain
ii.                   memaksa orang lain mengikut apa yang tidak diiltizamkan oleh Allah
iii.                  mempraktik hukum bukan pada tempatnya
iv.                 sikap kasar dan keras
v.                   terjerumus dalam mengkafirkan orang Islam lain.

Manakala Abd Rahman al-Maidani telah memberikan definisi ekstrimisme sebagai “melampaui batas-batas hukum Allah dengan meluaskan wazan agama yang telah ditetapkan dengan batas-batas hukum tersebut”. Golongan sekularis pula mendifinasikan ekstrimisme sebagai “mempraktikkan ajaran agama dan seruan ke arah perlaksanaan syariat Islam dalam semua bidang”(untuk keterangan lanjut lihat,Majalah Pengasuh, Nov.-Dis.,1999). Kesimpulannya, sekirannya seseorang itu melaksanakan cara hidup Islam  bukanlah termasuk di dalam kelompok ekstrimisme agama mengikut pandangan ulamak Islam tetapi ia dikelompokkan sebagai ekstrimisme agama kalau mengikut pandangan golongan sekularis.

Apa yang ditentang oleh Islam menurut Yusof al-Qardowi ialah sikap finatik kepada diri, kelompok atau parti. Finatik kepada diri ialah dengan menolak pendapat orang lain, finatik kepada mazhab sampai memaksumkan mazhab atau imam mereka dan finatik kepada kelompok atau parti dengan tidak memperdulikan kebatilan kelompok atau kebenaran kelompok lain. Islam menurut al-Qardowi mengharuskan bersifat adil kepada orang yang dicintai atau kepada orang yang tidak dicintai. Janganlah kemarahan membuatkan ia keluar dariapada kebenaran atau kecintaan menjerumuskan kepada kebatilan. Akhlak untuk keluar dari finatikisme ini adalah dengan melihat kepada perkataan bukannya melihat kepada siapa yang memperkatakan serta berani mengkritik (Lihat Yusof al-Qardowi, Fiqhul Iktilaf, 1995).

Kesimpulan


Dari huraian di atas, jelaslah persepsi masyarakat Islam terhadap isu-isu yang melibatkan persoalan keagamaan tidak dilihat dari perspektif ilmu dan Islam secara menyeluruh. Persepsi songsang umat Islam di negara ini berpunca dari kecetakan ilmu keagamaan, pengaruh pemikiran Barat, finatikisme, phobia Islam dan faktor-faktor lain. Apabila timbul sesuatu permasalahan umat Islam, sewajarnya dirujuk kepada ahlinya, bermuzakarah secara baik bukannya menggunakan media massa untuk menghantam golongan yang lain sehingga melebarkan lagi perpecahan masyarakat Islam di negara ini. Allahua’lam.






No comments:

Post a Comment