Sunday, July 29, 2012

JOM BACA...MANFAATKAN BULAN RAMADHAN ANDA!!!....



"Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya:

Bulan diturunkan al-Quran


Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah. Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan. 

Peristiwa Badar 


Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ. Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri. Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125. Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya. 

Islam membuka Kota Mekah


Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang. Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad. Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apapbila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian. Akhirnya umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1: Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud membuka Mekah. 

Peristiwa perjalanan Nabi Muhammad ke Tabuk


Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab. Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah. Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.

Islam sampai ke Yaman


Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah. 

Khalib Bin Al-Walid Meruntuhkan berhala Al ‘Uzza 

Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla. Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir. 

Penyerahan Bandar Taif

Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan. 

Pembukaan Andalus (Sepanyol) 


Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus. Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat. 

Peperangan Zallaqah: Portugal

Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi. 

Tentera Islam mengalahkan tentera Mongol
 

Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev. Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad zang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sunagi Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat. Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut. Dalam pertempuran itu, tentera ISlam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam. 

Peperangan Yakhliz


Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia. 

Tertawannya garis Bar lev, Israel 


Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan. Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung SInai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev. Israel bermegah denga kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamahyang mengambilalih pimpinan operasi peperangan. Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya megasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.


Sila baca lagi di http://zonfiniti.blogspot.com

Wednesday, July 18, 2012

Inilah Fitnah Dunia....bacalah wahai Muslimah...


Dari Usamah bin Zaid r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda “Tidak ada suatu fitnah (bencana) yang lebih besar bahayanya dan lebih bermaharajalela-selepas wafatku terhadap kaum lelaki selain daripada fitnah yang berpunca daripada kaum wanita”
 
(Bukhari, Muslim, Imam Ahmad, at-Tirmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)



Islam telah menegaskan kepada kita bahawa suara perempuan adalah aurat yang mesti ditutup dengan diam, kerana suara mereka adalah kunci hati lelaki yang dapat membuka pintu kepada pelbagai fitnah. Atas sebab yang sama Allah melarang perempuan melembut-lembutkan suara di hadapan lelaki, sebab suara yang demikian akan mengundang reaksi tidak baik di hati-hati lelaki yang menghidap penyakit. Maka jika mata suka memandang kepada sesuatu yang cantik dan indah, telinga pula amat gemar mendengar suara yang merdu dan manja. Fitnah yang ditimbulkan suara tidak terbatas kepada suara para penyanyi wanita sahaja, tetapi boleh juga timbul dari suara semua wanita. Hatta dalam solat, berhadapan dengan Allah pun, tidak diharuskan wanita mengangkat dan meninggikan suara sekiranya imam solat tersalah, tapi disuruh menepuk tangan sahaja. Suara wanita ditakuti mengganggu kekhusyukan solat orang lain.
Bergurau senda dengan perempuan adalah salah satu sebab paling kuat untuk mendengar suara mereka, suara yang menjadi pesona luar biasa bagi lelaki. Sering kita terdengar orang berkata: si dia memiliki suara manja, merdu, lunak dan memikat hati dan lain-lain. Atau, dia mempunyai suara serak-serak basah dan berirama dan sebagainya. Kerana tertariknya mereka kepada suara wanita, mereka memandangnya sebagai perkara yang harus dipuja lebih daripada segalanya. Apakah hal seperti itu bukan fitnah namanya? Lebih-lebih lagi apabila kalmat-kalimat yang diucapkannya disertai dengan senyuman yang mengandungi pelbagai makna dan tafsiran. Kebanyakan wanita, setiap kali bercakap akan diikuti dengan senyuman. Ini adalah adat mereka. Dengan cara begini barangkali mereka merasakan harga diri mereka terjaga dan terpelihara. Ini juga termasuk fitnah yang dahsyat!!!
Ada sesetengah wanita gemar bercakap dengan kaum lelaki, mereka tidak merasakan hal itu suatu kesalahan. Di samping bercakap dengan mulut, mereka juga bercakap dengan isyarat mata dan pandangannya. Tetapi ada juga di kalangan wanita yang tidak gemar bercakap dengan kaum lelaki, cukup dengan pandangan mata sahaja. Mereka mengutarakan isi hati mereka melalui mata dan pandangan sahaja. Hubungan antara mata dan hati adalah hubungan yang tidak dapat disembunyikan. Apa yang terdetik di dalam hati akan kelihatan di mata. Di dalam al-Quran telah digambarkan bahawa selamanya hati dan mata mempunyai hubungan yang erat. Allah menjelaskan bahawa setiap yang tersembunyi di dalam relung hati dan yang terkandung di dalam mata adalah jelas dalam ilmu-Nya.
Yang menjadi fitnah bukanlah kerana mata itu indah dan mempesona sahaja, bukan pula kerana wanita itu memiliki bulu mata yang panjang dan alis mata yang lentik sehingga dengan mudah menerobos ke dalam hati tanpa izin, bukan pula kerana anak mata yang hitam berkilat atau yang kebiru-biruan. Tetapi, sebenarnya yang menjadi fitnah itu ialah kemampuan mata wanita itu menyatakan keinginan hatinya, melontarkan pandangan yang lembut, seolah-olah dia memanggil-manggil dan mengajak pada suatu ketika, dan dia menjanjikan sesuatu pada ketika yang lain.
Agar tidak terpengaruh oleh kecantikan dan pesona mata wanita, Islam menyarankan supaya tidak memandang mereka dan menundukkan pandangan bila berhadapan dengan wanita. Demikian juga, kaum wanita juga dituntut supaya tidak memandang lelaki dan mengelakkan diri mereka daripada pandangan kaum lelaki. Hal yang demikian disebabkan kerana dirinya sendiri adalah fitnah yang berganda. Kata orang, fitnah yang timbul dari mata dan dari suara wanita, sama-sama berbahaya. Dan, seorang fitnah itu tahu bahawa mereka memiliki kedua-dua senjata ini. Mereka kadang-kadang menggunakannya tidak kepada yang disuruh dan yang dibolehkan iaitu kepada suami mereka, tetapi mereka menggunakannya kepada yang tidak sepatutnya.
Oleh sebab itu, Islam melarang memandang kepada benda-benda yang haram, seperti seorang wanita memandang kepada lelaki ajnabi dan seorang lelaki memandang kepada wanita. Kerana pandangan mata itu lamanya mungkin cuma satu atau dua saat, namun bekasnya dapat kekal di dalam hati sepanjang hayat!!
Tubuh wanita juga boleh menimbulkan fitnah. Fitnah yang bagaimana? Mempamerkan kecantikan tubuh terutamanya dengan membuka aurat adalah satu fitnah yang pasti. Hal ini akan membawa fitnah bagi setiap lelaki apabila seorang wanita tidak menutup auratnya, apalagi kalau ia memamerkan bentuk tubuhnya yang seharusnya mereka tutupi dan sembunyikan. Apatah lagi dengan ‘trend’ golongan kini yang suka menggayakan busana-busana ‘muslimah’ yang kononnya berpakaian menurut Islam dan berhias berlebih-lebihan (bertabaruj)sehingga menyebabkan lelaki tergoda. Ini juga merupakan suatu fitnah.
Keluar rumah tanpa ada keperluan, atau meninggalkan tanggung jawab rumahtangga merupakan satu fitnah wanita yang timbul dari golongan wanita kini terutamanya yang telah bekerjaya ataupun golongan wanita muada-mudi.  Betapa ramai kaum wanita disebabkan mengejar urusan dunia, mereka tinggalkan anak-anak mereka, mereka serahkan urusan anak mereka sepenuhnya kepada pembantu sehingga menimbulkan akibat dimana tidak terjalinnya kasih sayang antara anak dengan ibunya.
Apa yang lebih teruk lagi apabila wanita ingin dijadikan ‘barang dagangan’ atau dalam bahasa yang lebih lembutnya, inginkan diri mereka dipaparkan di dalam iklan, media massa, majalah, televisyen, suratkhabar, dan sebagainya. Bahkan penilaian terhadap mereka dilakukan secara fizikal sahaja yakni pada luaran.
Bercampurgaul antara lelaki dan perempuan dalam berbagai tempat, baik di dalam lingkungan pekerjaan, pendidikan dan sebagainya,mengakibatkan terjadinya perbuatan maksiat seperti zina, pergaulan bebas, perselingkuhan dan lain sebagainya. Hal ini sebenarnya merupakan satu propoganda musuh-musuh Islam, musuh-musuh syariat Islam yang ingin merosakkan umat Islam melalui wanita. Mereka membuka ‘laluan’ pekerjaan yang hanya untuk wanita, sehingga terjadinya pengangguran di kalangan lelaki, akhirnya timbullah kerosakan. Mereka merosakkan aqidah umat Islam melalui wanita dengan menanamkan pelbagai syubhat, diantaranya persamaan taraf lelaki dan wanita.
Adab-adab yang perlu dijaga oleh wanita
i)Pandang Memandang
Firman Allah yang bermaksud :-
“Dan katakanlah olehmu (Muhammad), kepada orang-orang perempuan yang beriman: Hendaklah mereka itu memejamkan setengah daripada pandangan mata mereka….” (Surah An Nur : Ayat 31)
Buraidah r.a. berkata: Bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda kepada Saidina Ali r.a. : “Ya Ali! Janganlah kamu ikutkan satu pandangandengan satu pandangan yang kedua, kerana sesungguhnya hanya pandangan yang pertama sahaja (terpandang) dan tidak bagi kamu pandangan yang kedua.” (Riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, Turmudzy dan Al Hakim)
ii)Bertemu Muka Sendirian
Rasulullah SAW telah bersabda : “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka janganlah ia bertemu sendirian di satu tempat dengan seorang wanita yang tidak ada sertanya mahram daripadanya, kerana sesungguhnya yang ketiganya tentu syaitan.” (Riwayat Imam Ahmad dari Jabir r.a.)
“Janganlah seorang lelaki bertemu sendirian dengan seorang wanita yang tidak halal baginya, kerana bahawasanya yang ketiganya tentu syaitan, kecuali jika dengan mahram.”(Riwayat Imam Ahmad dari Amir bin Rabie’ah r.a.).
iii)Berjabat Tangan
Aisyah r.a. berkata: “Tidak, demi Allah! Tidak pernah Rasulullah s.a.w. menyentuhkan tangannya dengan tangan seorang perempuan lain, hanya ia membai’at mereka itu dengan percakapan.”(Riwayat Imam-Imam Bukhari, Muslim dan Turmudzy).
iv)Pakaian Di Luar Rumah
Firman Allah yang ertinya :
“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka, melainkan barang apa yang telah tampak daripadanya; dan hendaklah mereka itu mengulurkan tudungkepala mereka atas leher dan dada mereka.” (Surah An Nur: Ayat 31)
v) Adab Bermusafir
Sabda Rasulullah SAW :”Tidak halal bagi seorang perempuan yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, jika hendak bepergian sejauh perjalanan sehari dan semalam, melainkan jika bersama seorang mahramnya.” (Riwayat Imam-Imam Ahmad, Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Turmudzy dari sh. Abi Hurairah r.a.)
vi) Hak Pendidikan
Kata Abu Said r.a. : “Ada seorang wanita datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: “Ya Rasulullah! Orang-orang lelaki telah dapat pengajaran dengan hadith (sabda) engkau, maka itu jadikanlah bagi kita, orang-orang wanita, dari engkau suatu hari yang kita agar dapat datang kepada engkau,agar engkau memberikan pengajaran atas kita dari pada apa yang telah Allah berikan atas engkau (berupa tazkirah).” Maka Rasulullah s.a.w. bersabda: “Hendaklah kamu sekalian berkumpul pada hari ini di tempat ini.”(Riwayat Imam Bukhari)
vii) Larangan Menunjukkan Perhiasan
Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
“Dan janganlah mereka menghentakkan kaki-kaki mereka, agar diketahui barang apa yang tersembunyi daripada perhiasaan-perhiasan mereka.” (Surah An Nur: Ayat 31)
Ke mana perginya adab-adab ini?
Islam sebenarnya mengangkat darjat wanita, memuliakannya sesuai dengan fitrah yang Allah S.W.T ciptakan, sehingga Islam membuat aturan-aturan yang adil terhadap wanita. Oleh kerana itu, hendaklah kaum lelaki bertaqwa
kepada Allah dalam menghadapi pelbagai fitnah wanita, kerana Rasulullah S.A.W bersabda: “Tidaklah aku tinggalkan fitnah yang lebih besar yang dihadapi kaum lelaki kecuali fitnah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sedarilah duhai para wanita muslimah yang ingin menyelamatkan dirinya dan agamanya dari pelbagai macam fitnah. Tunjukkan kebaikan diri anda dengan memelihara diri dari hal-hal yang terlarang dalam agama. Janganlah terpedaya dengan tipu daya dan gemerlapnya dunia. Wahai para wanita muslimah, jangan kalian tertipu dengan slogan; hak asasi manusia ataupun hak asasi wanita, lalu anda mau menjual diri anda dengan harga yang sedikit. Anda korbankan diri dan kehormatan anda hanya untuk sekedar memenuhi kehidupan yang sementara ini. Ingatlah bahawasanya kita tidaklah hidup selamanya. Ketika kematian menjemput kita, apakah yang akan kita bawa sebagai bekal di akhirat kelak ? Renungkanlah wahai saudariku, mudah-mudahan dengan mengamalkan wasiat ini akan menjadikan kita golongan orang yang selamat, kerana sesungguhnya kebanyakan dari isi neraka adalah kaum wanita, berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W: “Aku telah melihat syurga dan ku lihat kebanyakan dari penghuninya adalah orang-orang miskin dan aku telah melihat neraka maka kebanyakan dari penghuninya adalah para wanita.” (HR Bukhari dan Muslim).

Monday, July 09, 2012

Ini Isu Aqidah Umat Islam...


Selepas berlaku pembantaian Umat Islam Di Poso, Sulawesi Indonesia..Myanmar menjadi medan pembantaian Umat islam Rohingya..ini adalah proses penghapusan umat islam..satu persatu negara islam di hancurkan....Allahu Rabbi...umat islam semakin ditindas dan tertindas...semakin banyak negara islam dan umat islam dihancurkan dan dihapuskan...islam semakin ditindas sekarang ini...tetapi umat islam yang lain tidak ambil peduli dalam hal ini...kerana mereka masih berada di dalam zon selesa...yakinlah dengan sabda nabi: 

بداء الإسلام غريبا فسيعود غريبا كما بداء فطوبى للغرباء
Maksudnya: Islam mula tersebar dalam keadaan dagang ( asing) , dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing. ( H.R. Muslim)


“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang.”   (Surah An Nahl  [16] : ayat 18)

Surah An-Nahl ayat 18 sebuah pendahuluan bagi menyatakan tentang kebesaran dan maha pemurah Allah swt pada hambanya. Alhamdulillah, segala puji- pujian hanya bagi Allah swt. Sungguh besar nikmat Iman dan Islam yang telah Allah berikan kepada kita. Nikmat yang tidak mungkin kita perolehi walau dengan sejumlah mana wang sekalipun. Nikmat yang pastinya bukan bertujuan untuk disia-siakan dan nikmat ini Allah kurniakan pasti mempunyai matlamatnya yang tersendiri.

Begitu juga dengan nikmat keaman yang kita peroleh di negara Malaysia ini. Negara Malaysia yang rakyatnya hidup aman damai pada zahirnya, jauh dari peperangan dan persengketaan. Namun sebagai seorang insan yang bergelar mahasiswa Islam, kita wajib cakna dan sedar sebenarnya tentang saudara seislam kita yang masih belum sempat merasai nikmat keamanan lagi sehingga kini. Adakah kita pernah peduli tentang apa yang berlaku terhadap mereka? Tepuk dada tanya iman!

Sebelum ini, kita telah menyingkap sejarah nakbah Palestin yang merujuk kepada malapetaka atau bencana besar yang terjadi di Palestin, kemudian penyembelihan beramai-ramai umat Islam di Haulah, Syria, Dan terkini seluruh dunia telah digemparkan pula mengenai isu yang berlaku ke atas umat Islam Rohingya di Myanmar.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, baru-baru ini 10 orang Muslim di Taunggote, daerah Tongu telah dibunuh dalam sebuah bas yang sedang dalam perjalanan pulang dari majlis Tabligh untuk kembali ke Rangoon oleh sekumpulan pengganas dan kumpulan rasis etnik Rakhine. Mereka telah diserang setelah seorang wanita Rakhine yang dikatakan telah dirogol dan dibunuh oleh orang Rohingya. Lanjutan dari itu dimaklumkan puak pengganas Rakhine Buddha telah menyerang semua penduduk Islam di Akyap , ibu negeri Arakan. Manakala kampung Sara Prang dan Tarang Shong di daerah Rathidong telah di bakar semuanya sehingga tidak ada seorang pun lagi yang tinggal. Akibatnya, ketegangan telah tercetus apabila orang Islam Rohingya terus dijadikan sasaran oleh Buddhis Rakhine termasuk di kawasan kampung lain diseluruh wilayah Arakan.

http://3.bp.blogspot.com/-cQKCjF6ZnrA/T9lmpAfK3WI/AAAAAAAAIZM/FCZPsb4LlWw/s1600/250850_403338809707295_883912434_n.jpg

Tambahan dari maklumat tersebut, didapati bahawa sebenarnya ramai lagi umat Islam yang telah dibunuh dalam tempoh beberapa hari dan mayat mereka tidak diserahkan kepada keluarga mereka yang berkenaan. Terkini, dari berita Kaladan Press Network, dilaporkan 100 orang Rohingya telah ditembak mati dan lebih 500 orang lagi cedera di Maungdaw. Nasib umat Islam di Rohingya yang berada di Myanmar berada dalam keadaan meruncing dan tenat. Selain itu,mereka juga turut menderita dengan perampasan rumah, tanah, ternakan, pemusnahan masjid ,dan arahan tidak dibenarkan memperbaiki mana-mana Masjid serta ratusan Masjid telah musnah dan diganti dengan Pagoda Buddha. Perkahwinan dan pergerakkan mereka juga dihadkan hanya dengan keizinan tentera. Penangkapan, penyiksaan tanpa bicara, perkosaan wanita dan pemaksaan keluar dari Islam dan memasuki agama Budha juga turut berlaku.

Hal ini tidak seharusnya berlaku pada mana-mana agama di dunia. Seperti mana contoh yang diamalkan dalam Islam yang tidak memaksa mana-mana agama untuk memasukinya. Firman Allah swt dalam kitabnya yang mulia,

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)” [Al-Baqarah (2):256].

Begitu juga dengan hak kebebasan dalam beragama sepertimana yang diamalkan oleh Malaysia yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 11 iaitu tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan Agamanya di Malaysia. Tertulis juga dalam Perkara 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948  yang berkait dengan hak seseorang itu untuk menukar agamanya tanpa paksaan.

Maka berbalik kepada isu utama yang terjadi terhadap umat Islam Rohingya, tindakan yang amat zalim telah berlaku ke atas mereka. Di manakah keadilan dan hak yang perlu dibela terhadap mereka? Agama, nyawa, keturunan, harta dan akal mereka harus dijaga dan dipelihara sepertimana yang disebut dalam “maqasid syariah (objektif syariah)” yang wajib dijaga.

Maka dengan ini, kami di peringkat PMIUM berpendirian, semua umat Islam di seluruh dunia  kembali bersatu dan menyatakan pendirian yang jelas bagi membela nasib sahabat kita di Arakan Myanmar ini. Perkara ini harus diselesaikan dengan bijak dan segera tanpa menyebabkan mana-mana pertelingkahan atau pergaduhan antara agama sebelum kesan yang lebih buruk berlaku.

Sebagai anak muda khususnya golongan mahasiswa, peranan yang perlu dimainkan oleh kita pada saat ini bukan sekadar tertumpu kepada segulung ijazah semata-mata., tetapi kita perlu merasai dan menyedari kepentingan sikap pedulisme dan prihatin terhadap nasib saudara-saudara jiran kita di serantau Asia dan dunia amnya. Moga nikmat aman dapat kita kecapi bersama akhirnya. Allahu Akbar!