BUKAN sukar untuk menghadiahkan senyuman
tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah. Hati mana tidak
tenang apabila sedang dalam kekusutan, masih lagi boleh tersenyum kepada rakan.
Senyuman itu adalah ciptaan indah Allah SWT, malah senyuman juga adalah
kuntuman indah yang sentiasa dipersembahkan Rasulullah SAW, manusia sempurna
yang patut diteladani segala sifat, sikap dan tingkah lakunya. Ada beberapa hal
menarik pada diri Baginda SAW yang jarang diungkapkan ramai iaitu mengenai
senyumnya. Sepintas lalu, hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti tetapi
apabila dikaji, sebenarnya senyuman Rasulullah SAW memberi impak positif yang
sungguh luar biasa.
Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah SAW dalam misinya sebagai penyebar
risalah tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan Baginda. Disebabkan itu,
Rasulullah SAW dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan Baginda dicintai dan
disegani kawan, juga lawan. Sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah SAW yang
penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan betapa
indahnya senyuman Rasulullah SAW ialah Saidina Umar.
Kata Saidina Umar, “Rasulullah SAW tersenyum dan Baginda adalah orang yang
paling bagus giginya.” (Hadis diriwayatkan Ibnu Hibban) Seorang lagi sahabat
Rasulullah SAW, Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat
seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.” (Hadis riwayat
At-Tirmizi)
Cucu kesayangan Baginda SAW, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana
sikap Rasulullah mana direkodkan oleh Imam At-Tirmizi, beliau berkata, “Aku
bertanya kepada ayahku (Saidina Ali) mengenai adab dan etika Rasulullah SAW
terhadap orang yang bergaul dengan Baginda. Ayahku mengatakan: Baginda
senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, Baginda bukanlah seorang
yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela
makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa
dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas.” Rasulullah
SAW walaupun dalam keadaan marah, tetap mempamerkan senyumannya hatta kepada
orang yang tidak disukai.
Perkara itu pernah direkodkan Imam Bukhari disebutkan bahawa Saiditina Aisyah
berkata: “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah
SAW. Ketika Baginda melihat orang itu dari jauh, maka Baginda bersabda: Dia
adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat. Namun ketika orang (Uyainah)
itu sudah duduk, Baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik
hati kedatangan orang itu.
Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah SAW: Wahai
Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini
dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya
dan menerima kedatangannya dengan baik hati. Kemudian Rasulullah bersabda:
Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?” Imam al-Khataby
ketika mensyarahkan hadis itu berkata, “Hadis ini dilihat dari sudut adab dan
ilmu. Ucapan Rasulullah SAW mengenai diri Uyainah sesuatu gambaran yang tidak
disukainya secara jelas disebut Ghibah.
Ghibah berlaku di antara sebahagian orang dari umat Islam terhadap sebahagian
yang lain. Namun, perlakuan Baginda adalah menjelaskan dan mengungkapkannya
dalam bentuk nasihat dan kasih sayang terhadap umatnya. Kerana Baginda sudah
dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka Baginda
memperlihatkan wajah berseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan orang
tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu supaya umat Islam meniru perbuatan
Baginda, supaya dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka
boleh selamat daripada kejahatan dan tipu daya.
Begitu indah akhlak Rasulullah SAW, walaupun seseorang itu tidak disukai,
Baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan
ceria. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa Baginda adalah sebaik-baik manusia
dan seorang nabi dan rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan
Baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai. Sesungguhnya
beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga senyuman
tidak ternilai dengan wang ringgit.
Ketegasan Baginda juga dapat dilihat dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari dan
Muslim mengenai wanita dari kabilah Makhzumiyah yang mencuri. Kaum Quraisy
bingung dengan permasalahan itu kerana mereka tahu hukuman pencuri mengikut
undang-undang Islam ialah dipotong tangan (mengikut syarat ditetapkan). Mereka
bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa Rasulullah SAW memohon
melepaskan wanita itu. Usamah disarankan bertemu Rasulullah SAW kerana
Rasulullah menyayangi Usamah. Maka Usamah pergi dan berbicara kepada Rasulullah
SAW untuk minta pembelaan atas wanita itu.
Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pembelaan)
terhadap salah satu dari hukum Allah? Setelah mengucapkan ayat itu, Baginda
berdiri dan berkhutbah: “Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya
umat sebelum kalian ialah apabila mereka mendapati ada orang mulia yang
mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di
antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah!
Jika Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya”.
Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah SAW sebagai
panduan dan pada masa sama menilai hikmah di sebaliknya. Senyumlah, kerana
senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malah dengan senyuman hati
berasa tenang dan sentiasa disenangi orang lain. Sementara bertegaslah dalam
keadaan perlu supaya agama tidak diperkotak-katikkan.
No comments:
Post a Comment