Wednesday, August 18, 2010

KITAB RAHIQ MAKHTUM (الرحيق المختوم(







Kitab ini memaparkan kisah sebenar dari sirah perjalanan hidup Rasulullah yang ditulis oleh Syeikh Safiy al-Rahman bin Abdullah bin Muhammad Akbar al-Mubarakfuri al-A’zhamiy. Beliau adalah tenaga pengajar di Universiti Salafiyah, Banaras, India. Beliau dilahirkan pada tahun 1943 dikampung Husain Abad dalam daerah Mubarakfur. Pendidikan awalnya mengenai al-Quran diterima daripada datuk dan bapa saudaranya.
Seterusnya beliau melanjutkan pelajarannya diDar Ta’lim dalam daerah Mubarakfur pada tahun 1948. selama enam tahun disitu beliau berjaya menamatkan pengajian peringkat rendahnya yang sebahagian subjeknya di dalam bahasa Parsi. Beliau berpindah ke Ihya al-Ulum, Mubarakfur pada tahun 1954 untuk melanjutkan pengajian menengahnya. Antara subjek yang dipelajarinya adalah Bahasa Arab dan tata bahasanya serta beberapa buah subjek agama yang lain.
Dua tahun kemudian beliau berpindah ke kolej yang agam tersohor berhampiran wilayahnya iaitu kolej Faid ’Am dalam wialayah Mi’u yang terletak sejauh 30 kilometer dari Mubarakfur. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan sijilnya itu memenuhi syarat untuk beliau menjadi pengajar dan memberikan fatwa.
Beliau turut mengambil peperiksaan yang dianjurkan oleh badan kerajaan yang berada dibawa seliaan kerajaan Uttar Pradesh bagi ujian Mawlawi pada tahun 1959 dan ujian Alim 1960. Kedua-dua ujian tersebut berjaya diperolehinya dengan pangkat jayyid jiddan (Amat Baik). Kebiasaannya lembaga peperiksaan itu tidak pernah menganugerahkan pangkat cemerlang kepada calon peperiksaannya tetapi penulis berjaya memperolehinya dengan usahanya yang bersungguh-sungguh.
Kepintarannya begitu terbukti dalam ujian yang didudukinya. Beliau ditawarkan mengajar di Kolej Faid ’Am yang pernah menjadi tempat beliau menimba ilmu. Kemudian beliau bekerja sebagai pensyarah kontrak pula di Universiti al-Rasyad dan selepas tamat beliau diundang untuk mengajar di Dar al-Hadits, daerah Mi’u, India pada tahun 1966. selepas itu beliau telah diundang untuk mengajar di Kolej Faid al-’Ulum, Madya Pradesh yang terletak sejauh 700 kilometer dari wilayah Mi’u.
Beliau mengajar di sana selama 4 tahun sebelum pulang semula ke wilayahnya pada tahun 1972. Beliau diminta semula untuk mengajar di Dar Ta’lim dalam daerah Mubarakfur pada tahun 1972. Selama dua tahun berada di sana, selepas itu beliau berpindah ke Universiti Salafiyah, Banaras hingga kini.Pada tahun 1976, beliau menduduki sebuah lagi peperiksaan yang dikenali sebagai al-Fadhilah fi al-Adab al-’Arabiy bagi kesusasteraan Arab. Dalam ujian peperiksaan ini juga, beliau mendapat pangkat jayyid jiddan (Amat Baik). 
Karyanya yang lain 
  • Syarah al-Azhar al-’Arab (Arab) kitab himpunan syair yang dikumpulkan oleh Muhammad Yusuf al-Surati.
  • Risalah al-Masabih fi Masa`il al-Tarawih karya al-Suyuthi – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu.
  • Al-Kalim al-Thayyib karya Ibn Taimiyah – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu.
  • Al-Arba’in al-Nawawiyah – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu.
  • Berita gembira tentang Muhammad dalam kitab Yahudi dan Nasrani – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu.
  • Tazkirah Syeikh al-Islam Muhammad bin Abdul Wahab al-Najdiy – diterjemahkan ke dalam Bahasa Urdu.
  • Ringkasan kitab Bulugh al-Maram dalam bahasa Arab.
  • Qadiani dan pahlawan islam Syeikh Tsana` Allah al-Amritsari – diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab dari Bahasa Urdu.
  • Kajian tesis al-Raheeq al-Makhtum yang dipersembahkan kepada badan Rabithah al-’Alam al-Islami (Badan Ikatan Dunia Islam).
Kelebihan Kitab al-Raheeq al-Makhtum 
Buku ini merupakan sebuah buku yang tersenarai dalam pertandingan Sayembara Penulisan Sirah Nabawiyyah pada tahun 1976. Pertandingan ini diumumkan selepas berlangsungnya Muktamar Sirah al-Nabawiyyah di Pakistan pada tahun itu juga.Beliau begitu berhasrat untuk meninjau perjalanan hidup Rasulullah sebagai contoh realiti umat dan sangat bererti dalam usaha setiap mereka dalam mengambil iktibar.
Kisah hidup Rasulullah ini jugalah yang menjadi sumber kehidupan dunia Islam dan kebahagiaan manusia seluruhnya. Selepas pertandingan tersebut, beliau dinobatkan sebagai johan mengatasi 171 calon lain yang turut menyertai pertandingan tersebut dari pelbagai negara dan etnik dunia Islam. Beliau yang menulis kisah ini bukanlah bertujuan untuk memenangi pertandingan tersebut, tetapi hanya untuk mengetengahkan kebenaran isinya sebagai pengajaran dan pembetulan kepada generasi kini dalam menerima sirah Rasulullah dalam kehidupan mereka.
Perincian kisah ini berlandaskan fakta sebenar yang diadaptasikan melalui hadis-hadis Sahih yang diriwayatkan oleh para muhaddisin serta buku-buku sejarah yang dikira tepat dari nukilan faktanya. Kandungannya menggabungkan perbincangan tentang aspek pensejarahan yang meliputi sejarah orang-orang Arab pada zaman jahiliyah sebagai laluan untuk menjustifikasikan mengapa perlunya Allah mengutuskan Rasulullah di bumi Arab.
Buku ini juga memaparkan liku-liku perjuangan dakwah Rasulullah, strategi dan uslub dakwah yang dikemukakan melalui tiga peringkat dakwah iaitu peringkat permulaan, peringkat tribulasi dan peringkat kejayaan. Buku ini sangat sesuai untuk dijadikan rujukan kepada para pelajar, pendidik, pendakwah dan masyarakat pelbagai lapisan untuk mengetahui dengan lebih mendalam perjuangan Rasulullah dalam usaha menegakkan agama Allah di muka bumi ini.

No comments:

Post a Comment