Sunday, August 01, 2010

ADAKAH KITA SUDAH BERSEDIA MENGHADAPI RAMADHAN YANG BAKAL TIBA???


Hendaklah menghadapi bulan ramadhan yang mulia ini dengan melakukan persediaan dan persiapan untuk memastikan amalan puasa dan ibadah diterima dan mendapat keredhaan Allah swt.

“ Dan tidaklah kami menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada kami.”


Persiapan pertama

Memperbetulkan aqidah dan keimanan kepada Allah swt menurut panduan yang sahih dengan memastikan kefahaman aqidah, konsep keimanan berada di landasan yang benar dan membersihkan karat-karat kesyirikkan dan kejahilan dari jiwa.

“ Barangsiapa yang berbuat kebaikan sesuai dengan apa yang dihidayahkan maka sesungguhnya dia telah membuat kebaikan untuk dirinya sendiri. Dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesesatan itu merugikan dirinya sendiri.” (Al-Isra : 15).


Aqidah yang sahih

Memastikan memiliki aqidah yang sahih ialah satu keperluan dan kewajipan kerana tidak diterima ibadah dan tidak bernilai ibadah yang dilakukan tanpa memiliki aqidah yang sahih. Kefahaman aqidah yang sahih ialah apa yang datang secara pasti dan yakin dari pemahaman salaf soleh yang merupakan sebaik-baik umat dan terpelihara keimanan dan keilmuan mereka serta terjamin. Sabda baginda salallahualaihiwasalam melalui riwayat Aisyah ra : “ Sebaik-baik kurun manusia ialah kurun aku berada di dalamnya dan kemudian kurun kedua (Sahabat) dan kurun ketiga (Tabi’ien)” (hadith Sahih riwayat Muslim no 1965 Jilid 2, Abu Daud no. 44 Jilid 5).

“ Dan tidaklah kami mengutuskan sebelum kamu daripada rasul-rasul melainkan kami mewahyukan kepada mereka bahwasanya tiada tuhan selain aku maka sembahlah aku.”

Begitulah juga seperti apa yang diperintahkan oleh rasulullah salallahualaihiwasalam kepada Muaz bin Jabal ketika diutuskan sebagai naqib (utusan rasulullah) ke Yaman untuk berdakwah di sana dengan sabdanya kepada Muaz :

“ Seawal-awal perkara yang hendak kamu dakwahkan kepada manusia haruslah tauhid kepada Allah.” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no.6937).

Sebagaimana disebut oleh Imam Abd Izz dalam kitabnya Syarah Aqidah Thahawiyah menyebutkan bahawa hendaklah setiap muslim itu berada dalam aqidah yang sahih dan tetap meninggalkan dunia dengan aqidah yang sahih juga sebagaimana sabda baginda salallahualaihiwasalam : “ Barangsiapa yang mati dalam keadaan mengetahui bahawa tiada tuhan selain Allah ( memiliki aqidah yang benar) maka sesungguhnya dia akan masuk syurga.” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no.43 dan Ahmad 69/1).

Memahami manhaj ahlul sunnah wal jamaah menurut pegangan salaf soleh tanpa ta’wil yang jahil, tanpa mengguna akal fikiran yang lemah sebaliknya berpegang kepada keutuhan riwayat dan kesahihan pegangan salaf soleh dalam hal-hal aqidah dan keagamaan.

Demikianlah para ulama salaf soleh berpegang dan menetapkan aqidah berdasarkan dalil yang sahih sebagaimana berkatanya Imam As-Syafie ra : “ Aku beriman dengan Allah atas apa yang di datangkan oleh Al-Qur’an dan sunnah dan aku beriman kepada rasul atas apa yang dibawanya iaitu sunnah”

Begitulah juga dengan kalam dari Imam Ahmad ra : “Kami beriman kepada Allah melalui Al-Qur’an dan as-sunnah tanpa membagaimanakan atau memperumpamakan dan kami beriman dengan apa yang datang dari rasul (sunnah)” (riwayat dari Abu Ya’la dalam Ibthal Ta’wilat lil Akhbar As-Sifat m/s 44 Jilid 1).

“Apakah kamu berani mengatakan sesuatu perihal Allah tanpa ilmu ?” (Al-Baqarah : 80).

“Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang kamu tidak ketahui kerana Sesungguhnya pendengaran kamu, penglihatan kamu dan hati kamu semuanya akan ditanya dan dipersoalkan."
(Adz-zariyat : 56). (Al-Anbiya’ : 25). (lihat syarah Lumatul Iktiqad oleh Ibn Qudamah m/s 25). (Al-Isra : 36).

Membetulkan keimanan

Memastikan keimanan dan kelurusan hati serta keikhlasan melakukan ibadah hanya kerana Allah swt. Sesungguhnya tidaklah diterima amalan jika tidak dilakukan ikhlas semata-mata kerana Allah swt.

“ Dan tidaklah kamu diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas kepada-Nya melalui deen yang lurus” (Al-Baiyinah : 3).

Keimanan bahawa kewajipan puasa ramadhan dan kewajipan serta sunnah melakukan ibadah di bulan ini merupakan apa yang datang dari Allah dan rasul serta mengimani akan kebesaran Allah, mengimani kerasulan Muhammad salallahualaihiwasalam dan melakukan ibadah sesuai sebagai hamba Allah yang mengharap redha dan keampunan serta rahmat-Nya merupakan kewajipan yang perlu dilakukan oleh setiap orang sebelum memasuki bulan ramadhan.

“ Barangsiapa yang mengingini pertemuan dengan tuhannya maka hendaklah dia beramal soleh dan tidak mensyirikkan ibadahnya kepada tuhannya dengan sesuatu” (Al-Kahfi : 110).

Perlu betulkan keimanan, keyakinan dan ketabahan melakukan ibadah untuk Allah swt yang Maha Esa dan meninggalkan kemaksiatan demi Allah semata-mata dan menghormati bulan ini juga semata-mata kerana keimanan kepada Allah swt.


Persediaan kedua

Mempersediakan diri dengan ilmu dan panduan ibadah serta puasa yang sahih dan kaedah menjalankan ibadah secara sahih.

Hendaklah sebelum memasuki ramadhan setiap orang kembali menyemak buku-buku atau menyoal para alim ulama akan kaedah puasa dan menjalankan ibadah yang sahih menurut pegangan salaf soleh dan ajaran rasulullah salallahualaihiwasalam yang jauh dari bid’ah dan penambahan dan penyelewengan.

“ Bertanyalah kamu kepada orang yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui” (An-Nahl : 43).

Disebut dalam hadith baginda dari riwayat Abdullah ibn Mas’ud bahawa baginda salallahualaihiwasalam pernah bersabda yang bermaksud “ Aku bersama kamu di telaga Al-Hau’d ketika para malaikat menghambat sekumpulan dari umat aku dan aku mengenali mereka dari umat aku, maka aku berkata kepada tuhan (Allah) Wahai tuhan mereka umatku, maka dijawab Sesungguhnya engkau tidak mengetahui apa yang telah mereka perbuat selepas kematianmu (yakni mereka telah menyeleweng, berbuat bid;ah). (Hadith Sahih disepakati Bukhari no. 6576 & Muslim no. 2257).

Hendaklah difahami tujuan beribadah itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah dilakukan menurut panduan yang Allah swt berikan iaitu melalui kitab Allah dan sunnah rasulullah serta apa yang dari para salaf soleh yang memahami isi panduan kedua ini menurut pemahaman yang sahih dan terjamin. Sabda baginda Salallahualaihiwasalam :
“ Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu urusan baru dalam agama kami sedang ia bukan dari kami maka sesungguhnya ianya ditolak.” (Hadith sahih disepakati Bukhari 156 Jilid 8 & Muslim no.4467) .


Tidaklah diterima amalan kebaikan dan amalan ibadah apabila ianya dilakukan dengan menyeleweng, menambah atau mengurang dari apa yang diajarkan oleh pembawa utusan kerasulan iaitu Muhammad salallahualaihiwasalam.


Persiapan yang ketiga

Hendaklah juga siapa yang akan menjalani bulan ramadhan mempersiapkan dirinya dengan kemampuan fizikal dan kekuatan jasadiyah serta juga material moga dapat menjalani ibadah dengan sempurna dan selesa.

“Dan bersedialah kamu dari kekuatan untuk peperangan itu apa yang kamu mampu dari kuda yang terikat moga demikian menakuti musuh Allah dan musuh kamu..” (Al-Anfal : 60).

Sekalipun ayat di atas untuk peperangan namun ianya secara umum untuk semua hal ibadah iaitu jika peperangan dan jihad itu ialah ibadah yang memerlukan persediaan kebendaan maka demikianlah juga dengan puasa yang merupakan ibadah asasi yang termasuk rukun keIslaman.

Mempersediakan diri dengan fizikal dan kekuatan badan iaitu seperti menjaga kesihatan dan menjaga badan supaya dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna ialah satu kewajipan supaya dapat menunaikan hak kepada Allah swt dalam ibadah dengan sempurna dan selesa.

Tidaklah disukai mereka yang tidak menjaga makan dan minum serta juga tidak mengurus tidur dan rehat secukupnya sehingga mengakibatkan kerosakan badan dan melemahkan diri untuk menjalani ibadah puasa dan ibadah di bulan ramadhan dengan kukuh dan selesa bahkan terganggu waktu ibadah kerana kelemahan dan keletihan badan.

Oleh itu hendaklah melakukan persediaan secara fizikal dan badan bagi yang mampu bahkan termasuk amalan dan usaha melakukan persediaan secara fizikal seperti mengambil vitamin, melakukan senaman dan mempersediakan menghadapi ramadhan dengan menjalani terapi kesihatan sebagai usaha ibadah dan berpahala.

“Tidaklah Allah membebani seseorang melainkan sekadar apa yang termampu olehnya” (Surah Al-Baqarah : 286).

Setelah itu hendaklah juga para golongan yang beriman mempersiapkan untuk menjalani ibadah puasa dengan melengkapkan diri dengan kemampuan material dan kewangan serta belanja keperluan.

Ini disebabkan supaya dapat mengambil bahagian dalam usaha infaq dan sedekah serta menunaikan kewajipan zakat di bulan ramadhan. Sesungguh golongan yang kaya dan berkemampuan harta serta material mendapat kelebihan di sisi Allah swt apabila mereka mampu menunaikan ibadah zakat dan mampu pula mengeluarkan infaq sedekah kepada fakir miskin yang mengakibatkan mereka beroleh kedudukan mulia di sisi Allah swt dan mendapat ganjaran pahala yang besar.

Bahkan disebut dalam hadith riwayat Muadz Ibn Jabal ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda “ Sedekah itu memadamkan dosa seperti air yang memadamkan api” (hadith sahih riwayat tirmidzi no. 609 dan nasaie , Ibn majah ).

Sesungguhnya tidaklah dengan sedekah itu mengurangkan harta sebagaimana sabda baginda “ tidaklah berkurang harta itu dengan sedekah” (hadith riwayat tirmidzi).

Hendaklah umat Islam berusaha mendapatkan kedudukan untuk bersedekah dan menjadi tangan yang di atas dari tangan yang di bawah supaya dapat memperolehi ganjaran besar di sisi Allah swt.

“ Ambillah sedekah dari harta mereka untuk membersihkan dan menyucikan harta mereka”

“ Mereka berkata ; kami memberikan makanan kepadamu kerana mengharapkan keredhaan Allah dan tidak kami mengharapkan kepadamu balasan dan tidak pula pujian serta tidak pula penghargaan” (Ad-Dahr : 9).



Persediaan yang keempat

Mempersiapkan perancangan dan persediaan jadual akitiviti kehidupan dengan mengatur supaya dapat menjalani ibadah puasa di bulan ramadhan dan lain-lain ibadah dengan teratur dan selesa serta tanpa gangguan.
(At-Taubah : 103).

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah.Barangsiapa yang membuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." (Al-Munaafiqun: 9).

Sesungguhnya Islam ialah agama yang tersusun dan teratur oleh itu hendaklah umat Islam mengatur kehidupan dan membuat perancangan ibadah di bulan puasa supaya tahu menyusun aktiviti hidup agar dapat dimanfaatkan waktu sebanyak mungkin untuk menjalani ibadah di bulan ramadhan.

“Di antara kamu ada golongan yang menginginkan dunia dan ada pula golongan yang mengingini akhirat” (Ali-Imran : 152).

Sebagai contohnya hendaklah seorang muslim itu mengatur waktu kerja, waktu rehat dan waktu aktiviti keluarga dan juga waktu ibadahnya supaya dapat memanfaatkan sebanyak mungkin masa ibadah di bulan ramadhan.

Terutama bagi mereka yang bekerja pada waktu siang mungkin mereka boleh merancang bahawa sepanjang bulan ramadhan akan lebih banyak merehatkan diri di rumah setelah selesai kerja untuk mempersiapkan diri beribadah di waktu malam di bulan ramadhan dan bagimereka yang bekerja malam pula boleh merancang memperbanyakkan ibadah di waktu siang dengan menjadikan malam sebagai waktu bekerja dan petang waktu berehat.

“ Sesungguhnya Allah memberi hikmah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan barangsiapa yang diberikan hikmah maka sesungguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Baqarah : 269).

No comments:

Post a Comment