Tuesday, April 03, 2012

Sapu muka selepas solat bukan sunnah Rasulullah?

Amalan hanya ikut pendapat ulama mazhab Shafie 

Soalan: SAYA pernah mendengar pelbagai pandangan mengenai menyapu muka sesudah memberi salam. Adakah ia diperintah atau sebaliknya? Boleh ustaz jelaskan dan berikan sumber hadis atau Quran.




ROHANA, Ampang, Selangor.

Jawapan: Saya suka memetik buku yang dikarang dan disusun Zaharuddin Abdul Ramhan iaitu Formula Solat Sempurna. 


Imam al-Bukhari meletakkan tajuk yang memuatkan sebuah hadis berkaitan menyapu dahi dan hidung dalam ‘Bab sesiapa tidak menyapu dahinya dan hidungnya sehingga tamat sem-bahyang.’ 


Hadisnya iaitu daripada Abu Said al-Khudri berkata: “Aku melihat Rasulullah SAW sujud di atas air dan tanah sehingga dapat dilihat debu dan kesan tanah di dahinya.” Riwayat al-Bukhari (dengan Syarah Fath al-Bari) 

Beberapa kefahaman yang dapat diambil daripada hadis itu ialah: 
  • Nabi Muhammad SAW tidak menyapu dahi ketika solat walaupun dahi Baginda terdapat kesan tanah dan air. 
  • Nabi Muhammad SAW juga tidak menyapu dahi Baginda selepas solat dan kalaulah ada ihtimal selepas solat, maka ia kerana membuang kesan tanah dan air dan seumpamanya yang ada di dahi. 

    Oleh itu, keperluan menyapu dahi juga bukan daripada perbuatan solat yang mesti dibuat, malah yang sahihnya Nabi Muhammad SAW tidak melakukannya. 


    Al-Hafiz Ibn Hajar al-Syafi’I pula mengatakan, jika Nabi SAW melakukannya pun, maka ia bertindak menyapu habuk, debu dan kesan tanah di dahi Baginda yang termasuk dalam Bab Jibilliyah (perkara semula jadi kemanusiaan) dan bukan amalan untuk merapatkan diri kepada Allah SWT. (Fath al-Bari) 


    Namun, menurut ulama dalam mazhab Shafie, perbuatan menyapu dahi selepas solat digalakkan berdasarkan hadis:


    “Rasulullah SAW apabila selesai daripada solatnya, maka Nabi menyapu dahinya dengan tangan kanannya sambil berdoa, ‘Ashadua an la ilaha illallah ar Rahmanar Rahiim. Allahumma azhib ‘annil hammi wal aza’ (Aku naik saksi tiada Tuhan selain Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih, Ya Allah jauhkan daripadaku kesakitan dan kedukacitaan), ” (Riwayat al-Tabarani). 


    Al-Haitami memberikan ulasannya mengenai hadis pertama dengan katanya: “Ia diriwayatkan al-Tabarani dalam al-Awsat dan al-Bazzar dengan sanad yang ada Zaid al-‘Ama, beberapa ulama men’thiqah’inya (dipercayai) dan dianggap daif (lemah) oleh majoriti atau ramai orang.” 


    Baki perawi al-Tabarani pula dipercayai dan sebahagian yang lain diperdebatkan (Majma al-Zawaid). 


    Satu lagi hujah yang digunakan ialah (daripada Qatadah): “Sesungguhnya Baginda sudah menyapu dahinya apabila tamat daripada solat sebelum memberi salam.” (Musannaf Abd Razzaq). 


    Menurut ulama Syafie seperti dinyatakan dalam kitab I’anah al-Talibin walaupun hadis ini daif (lemah), ia masih digalakkan kerana termasuk dalam kategori fadhail al-‘amal iaitu kelebihan amalan. 


    Namun, amalan ini tidak ditemui dalam kitab muktamad Mazhab Shafie seperti al-Umm, Rawdah al-Talibin, Tuhfatul Muhtaj, Nihayatul Muhtaj dan Mughni Muhtaj. 


    Justeru, menisbahkan pendapat untuk menyapu muka selepas sembahyang kepada mazhab Shafie masih boleh dipertikaikan kerana ia mungkin pendapat peribadi beberapa ulama bermazhab Shafie dan bukan pendapat mazhab. Wallahua’lam. - sumber

Hukum Mencukur Bulu kemaluan

Bagi setengah orang, mungkin tindakan ini dirasakan ‘aneh’, namun sebenarnya Rasululloh SAW telah memberikan contoh untuk hal ‘aneh’ sekalipun. Ada juga orang yg malu untuk bertanya tentang hal seperti ini, padahal di Islam TIDAK MENGENAL RASA MALU untuk bertanya hal-hal yang tidak diketahui.


Hukum mencukur rambut (ada juga yg menyebut bulu) kemaluan adalah SUNNAH. Hal ini berdasarkan hadits Nabi SAW berikut:

“Lima hal yang termasuk sunnah fitrah: Mencukur bulu kemaluan, berkhitan, memendekkan kumis, mencabut bulu ketiak dan memotong kuku.” (HR Jama’ah)



“Agar kesemuanya itu tidak melebihi 40 malam.” (HR Ahmad, Abu Daud, dll)


Apa yang dimaksudkan dengan mencukur bulu kemaluan ialah mencukur bulu yang tumbuh disekeliling faraj wanita atau dia atas kemaluan lelaki. Tindakan yang diutamakan ialah mencukur, tetapi diharuskan pula dengan cara bergunting, mencabut dan menggunakan sejenis cecair kapur yang disapukan pada kulit yang menggugurkan bulu kulit itu.




Seorang ulama Syaikh Ibn Daqiq berpendapat bahawa sebahagian ulama cenderung mengutamakan bercukur bagi kaum wanita, kerana perbuatan mencabut akan berakibatkan kendurnya kulit di tempat itu.




Anjuran yang sedemikian ini merupakan satu amalan yang digalakkan agar tidak ada kutu atau tungau yang dapat hidup dibahagian kemaluan, disamping tidak mendedahkannya kepada serangan penyakit tambahan pula kewujudan bulu pada kemaluan baik perempuan begitu juga lelaki, akan dapat menimbulkan bau yang kurang selesa.




Anas bin Malik berkata : “Telah ditentukan waktu untuk kami memendekkan misai, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan dan kami tidak dibenarkan untuk membiarkannya lebih dari masa empat puluh malam”. – (Riwayat Muslim, Ibn Majah, Ahmad, Tarmizi, Al-Nasai dan Abu Daud).




Dalam perkara mencukur ini, HARAM bagi seorang perempuan mencukur bulu kemaluannya dihadapan perempuan lain, begitu juga HARAM bagi seorang lelaki mencukur bulu kemaluannya dihadapan perempuan lain, ataupun seorang perempuan atau seorang lelaki membenarkan orang lain untuk mencukur bulu kemaluannya. Mendedahkan aurat adalah HARAM disisi syarak, kecuali pendedahan seorang isteri untuk suaminya atau seorang suami untuk isterinya.




Selain mencukur bulu kemaluan ada kaitannya seorang perempuan membersihkan bulu muka. Imam Ahmad telah meriwayatkan, bahawa Bakarah binti Uqbah telah datang menemui Ummu al-Mu’minin ‘Aisyah r.a lalu ia bertanya kepada Aishah mengenai hal ini.




Aisyah menjawab : “Pokok yang baik dan air yang suci” Ia bertanya lagi tentang membersihkan muka. Aisyah menjawab : “Jika kamu mempunyai suami dan kamu boleh menggugurkan dua biji mata kamu dan menggantikannya (kedua-duanya) dengan lebih cantik, maka lakukanlah.”.




Membersihkan muka bagi seorang perempuan dan juga badannya daripada bulu-bulu yang berlebihan adalah dibolehkan. Akan tetapi rambutnya hendaklah ia menghormati dan memeliharanya. Begitu juga jika sekiranya janggut atau misai tumbuh pada seorang perempuan, maka hendaklah ia menghapuskannya.


 DIKONGSI:
http://www.malaysiaria.com.my/forum/topics/hukum-mencukur-bulu-kemaluan

Hukum Liwat & Memasukkan Zakar Ke Dubur Isteri

Salam ustaz. Saya nak tanya soalan yang agak peribadi sedikit. Wajibkah seorang isteri menurut kehendak suaminya yg mahu si isteri belajar dan selalu menonton video lucah sedangkan dia tahu itu adalah haram. Alasannya ialah hanya untuk belajar. Ia berkenaan dengan melakukan hubungan suami isteri melalui jalan belakang dan di luar tabie. Pertengkaran selalu berlaku hanya kerana si isteri berasa amat berdosa setiap kali melakukannya. Perlukah si isteri mengubah pendiriannya untuk menyelamatkan perkahwinan tersebut?


Jawapan

Perkahwinan merupakan satu kurniaan Allah kepada hambanya, perkahwinan juga banyak hikmahnya, seperti terhindar dari zina, dapat mendorong nafsu kearah yang halal, terhindar dari penyakit, merapatkan hubungan silaturahim dan sebagainya. Perkahwinan mestilah dilayari dengan tanggungjawab atau kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh pasangan, supaya perkahwinan mereka menjadi lebih barakah dan bahagia selamanya. Perkahwinan juga perlu bersandarkan kepada agama Islam, kerana Islam sahaja yang mampu atau dapat memberikan kebahgiaan kepada pasangan tersebut.



Tidak Wajib Isteri Mentaati Suami Atas Perkara Yang Mungkar

Isteri wajib mentaati perintah suami selagimana perintah suami itu tidak bercanggah dengan prinsip dan undang-undang Islam. Contohnya suami menyuruh isteri mencuri dengan tujuan untuk membantu suami menampung perbelanjaan dapur, isteri tidak wajib mengikuti perintah suami tersebut yang menyuruhnya mencuri, malah isteri wajib menegur suaminya supaya bertaubat dan mengatakan bahawa perbuatan mencuri itu adalah salah di sisi Islam. Begitulah persoalan yang ditanyakan di atas bahawa hukum suami menyuruh isteri menonton filem lucah dengan alasan belajar cara berjimak adalah dosa dan haram bagi isteri yang mentaati perintah suami tersebut, kerana perintah itu jelas perbuatan dosa dan melanggar perintah Allah. Firman Allah yang bermaksud :

“Tolong menolonglah kamu atas perbuatan baik dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong atas perbuatan keji dan dosa”.

Dosa besar bagi sesiapa yang menonton filem lucah, kerana Islam melarang umatnya menonton aurat orang lain, apatah lagi filem tersebut dapat membangkitkan syahwat orang yang menontonnya. Filem ini juga dapat menyumbangkan perlakuan maksiat dikalangan orang yang melihatnya. Salah bagi suami isteri yang melihat untuk mempelajari teknik atau adegan seks dari filem tersebut, kerana teknik seks yang ditayangkan dalam filem tersebut banyak bercanggah dengan Islam seperti liwat, tukar-tukar pasangan, seks berkumpulan, seks oral dan sebagainya. Lihat lebih lanjut perbahasan melihat filem lucah ini di sini.

Islam mempunyai cara melakukan seks yang baik dan telah diajar oleh Nabi Muhammad saw dengan memberikan kenikmatan, penuh adab, kelembutan, belaian dan tanpa mengecewakan kepada pasangan masing-masing. Banyak buku-buku di pasaran yang boleh anda baca dan pelajari cara seks yang diajar oleh Islam.


Hukum Liwat Isteri


Meliwat Isteri atau memasukkan zakar ke dubur isteri adalah haram. 
Banyak dalil dari Al-Quran dan Hadis yang menyatakan hukum meliwat isteri ini. Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :


“Berjimaklah melalui depan atau melalui belakang. Jauhi dari memasukkan zakar ke dalam dubur dan berjimak semasa haid.” (Riwayat An-Nasai)


Jelas di dalam hadis di atas bahawa Islam sangat melarang umatnya melakukan hubungan seks melalui lubang dubur isterinya, kerana perbuatan ini adalah perbuatan luar tabi'e dan sangat dibenci oleh Allah. Tidak menjadi masalah bagi pasangan suami isteri yang melakukan hubungan seks dengan berbagai-bagai posisi atau teknik, tetapi ia mesti halakan zakarnya ke lubang faraj isterinya. Ini bertepatan dengan Hadis Rasulullah yang bermaksud :


“Tidak kiralah dia berjimak dalam keadaan berdiri , duduk atau meniarap (suami menindih perempuan yang meniarap dilantai) selagi tempat masuk zakar adalah faraj.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Isteri itu adalah seperti ladang yang luas, bercucuk tanamlah suami diladang tersebut dengan benda-benda yang baik, supaya suami tersebut memperolehi hasilnya nanti. Jelas bahawa isteri itu adalah tempat suami bersuka dan berkasih sayang, ini juga merupakan amanah Allah kepada suami supaya dapat dimanfaatkan dengan baik dan tidak sesekali mensia-siakan isteri dengan cara mengabaikan mereka. Firman Allah yang bermaksud :


“Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara Yang kamu sukai dan sediakanlah (amal-amal Yang baik) untuk diri kamu; dan bertaqwalah kepada Allah serta ketahuilah Sesungguhnya kamu akan menemuiNya (pada hari akhirat kelak) dan berilah khabar gembira Wahai Muhammad) kepada orang-orang Yang beriman.” (Al-Baqarah : 223)

Hukum bagi suami yang meliwat isterinya ialah dosa besar dan Allah akan melaknat suami yang meliwat isterinya. Pasangan yang telah melakukan liwat akan ditarik oleh Allah akan nikmat jimak di faraj sama sekali dan ia akan sentiasa terus suka melakukan hubungan seks di jalan dubur isterinya. Mereka yang suka meliwat akan ditutup pintu hatinya dan mereka terus suka melakukan seks liwat dengan lebih teruk lagi. Mereka juga akan mudah dijangkiti dengan penyakit AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya, kerana perbuatan liwat ini adalah sangat jijik dan kotor dengan memasukkan zakar ke dubur yang jelas jalan tersebut adalah saluran najis. Firman Allah yang bermaksud :


“Dan (ingatkanlah peristiwa) Nabi Lut tatkata ia berkata kepada kaumnya: "Sesungguhnya kamu melakukan perbuatan Yang keji, Yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu.” (Al-Ankabut : 28)

Lagi dalil dari Hadis Rasulullah yang bermaksud :

“Allah melaknat siapa yang berbuat dengan perbuatannya kaum Luth”. (Riwayat Ahmad)

Pasangan yang telah melakukan perbuatan terkutuk dan perbuatan yang sangat dilaknat Allah ini, maka kembalilah kepangkal jalan dan bertaubatlah kepada Allah. Jadikan agama Islam sebagai cara hidup dan sebagai rujukan dalam semua aspek kehidupan, jauhkanlah dari menonton filem lucah, kerana musuh Islam itu sentiasa akan berusaha menyesatkan umat Islam. Allah Maha pengampun dan Maha Penerima Taubat. Jalanilah kehidupan berkeluarga dengan penuh keharmonian dan penghormatan di antara satu sama lain. Mudah-mudahan keluarga anda semua memperolehi keberkatan dan kebahgiaan dari Allah.


Peranan Isteri

Isteri wajib menolak permintaan suaminya untuk mengadakan hubungan liwat, kerana Islam tidak sama sekali meredhoi benda yang haram walaupun pasangan suami isteri. Isteri juga wajib menegur atau menasihati suaminya yang mempunyai keinginan seks luar tabi’i itu. Ini tidak dinamakan sebagai isteri yang derhaka, kerana isteri telah melakukan amal makruf dan nahi mungkar dalam rumahtangga mereka.


Kalau suami ingkar dan marah sehingga sering terjadinya pergaduhan di dalam rumahtangga mereka, maka si isteri boleh membuat aduan ke Jabatan Agama Islam berdekatan tentang masalah keinginan seks suaminya yang jelas haram. Pihak jabatan agama akan terus mengambil tindakan kepada suami dengan cara memberikan kaunseling dan tindakan yang sepatutnya.

Berita TerGempar!!!!!

Assalamualaikum wbrt....ana harapkan sahabat-sahabat ana sihat belaka...sudah lama ana tidak menge'post' entry baru...insyallah ana ingin berkongsi dengan peristiwa yang menggemparkan Umat Islam khususnya Jamaah Tariqah Naqshabandiyah dengan kemangkatan Khalifah Naqshabandi Nusantara..As-syeikh Raja Ashman..bukan mudah kita ingin menjumpa golongan raja yang mengikut jalan Allah..tuanku merupakan seorang yang zuhud...rugi ana tidak bersua dengannya..ingin sangat ana berdamping dengannya..tetapi Allah lebih sayang akan tuanku...semoga kita berjumpa di sana....amin.....sila baca berita di bawah:




Yang amat mulia Sheikh Raja telah diputerakan pada 28 Disember, 1958 di Pulau Pinang. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Sekolah St. John, Kuala Lumpur dan selepas itu melanjutkan pelajaran menengahnya di Leys School, Cambridge, London.

Apabila tamat pelajaran di peringkat menengah, Sheikh Raja melanjutkan pelajaranya dalam bidang jurusan ekonomi sehingga mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti of Nottingham pada tahun 1981. Seterusnya beliau telah melanjutkan pengajiannya di dalam undang-undang dan telah mendapat Sarjana Undang-Undang dari Universiti Cambridge dan di Lincoln’s Inn, London.

Sewaktu beliau sedang menimba pengalaman sebagai chambering student dari tahun 1985 hingga 1986, beliau telah bertemu dengan Sheikh Nazim di London. Kandungan, kaedah dan penyampaian ilmu Islam daripada Sheikh Nazim telah menawan hati Sheikh Raja. Dengan hati yang terbuka dan minda yang cergas, beliau telah mengambil bai’ah daripada Sheikh Muhammad Nazim al-Haqqani.

Pada lewat tahun 80an, beliau telah dilantik oleh Sheikh Nazim untuk menjadi khalifah tariqat Naqshbandi al-Haqqani bagi seluruh kawasan Nusantara. Dengan kesabaran dan hikmah yang beliau warisi daripada Sheikh Nazim, Sheikh Raja sehingga sekarang telah berjaya membawa ramai anak-anak muda kembali kepada jalan Allah










Anakanda Sultan Perak, Datuk Seri Raja Ashman Shah Sultan Azlan Shah, 54, mangkat akibat serangan asma di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, kirakira jam 1.30 pagi semalam. Jenazah Almarhum dibawa pulang ke Kuala Kangsar dan ditempatkan di ruang khas tingkat dua bangunan Istana Iskandariah.
Kemudian dibawa ke Masjid Ubudiah, Bukit Chandan untuk disembahyangkan sebelum istiadat pemakaman dijalankan selepas Asar. Bacaan talkin disempurnakan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.Lebih 1,000 kerabat diraja dan orang kenamaan serta rakyat mula menziarahi jenazah Almarhum sejak jam 11 pagi.
Sultan Azlan Shah mendahului keluarga diraja menjirus air mawar dan menabur bunga di makam anakandanya itu diikuti Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun. Ini diikuti Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara; Raja Di Hilir Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Muda Perak Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah dan kerabat diraja lain.
Balu baginda Datin Seri Noraini Jane Kamarul Ariffin dan putera mereka Datuk Raja Ahmad Nazim Azlan Shah, 20, serta dua puteri, Raja Eminah Alliyah, 18, dan Raja Bainunisa Safia, 17, turut menjirus air mawar dan menabur bunga mawar di makam baginda. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menziarahi kira-kira jam 3.40 petang.
Beberapa kenamaan lain kelihatan termasuk Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Raja Ashman yang terkenal dengan sifat mesra rakyat, diputerakan pada 28 Disember 1958 di Pulau Pinang sebelum dilantik sebagai Raja Kechil Bongsu Perak pada 11 Mei 1987 diikuti Raja Kechil Tengah Perak pada 10 Mac 1998 dan Raja Kechil Sulung Perak pada 16 Mac 2010.
Baginda anakanda ketiga Sultan Perak daripada lima beradik iaitu Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah, Datuk Seri Raja Azureen, Datuk Seri Raja Eleena dan Datuk Seri Yong Sofia. Baginda memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari University of Nottingham, Britain pada 1981 diikuti Diploma Pentadbiran Undang-Undang Perniagaan University of London serta Sarjana Undang-Undang dari Cambridge University pada 1985.
Sepanjang hayat Almarhum aktif dalam sektor korporat dan memegang pelbagai jawatan penting dalam beberapa syarikat antaranya Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di KKB Engineering Bhd dan Kian Joo Can Factory Bhd., Pengarah Eksekutif Kanzen Berhad, Pengerusi Dwitasik Sdn Bhd dan Pengarah Sanyo Industries Malaysia. Raja Ashman penyokong setia pasukan hoki negara selain aktif dalam aktiviti sosial dan kebajikan terutama di bawah Yayasan Sultan Azlan Shah. – BH




Friday, September 30, 2011

KEUTAMAAN AHLUL BAIT NABI MUHAMMAD SAW

Di dalam berhubungan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW, umat Islam harus sentiasa menjaga adab dan tatasusila serta memelihara diri dari mencerca atau mengkhianati mereka. Dalam lain perkataan, hubungan dengan cucu cicit Rasulullah SAW perlu sentiasa dipelihara dan diberi perhatian khusus kerana itu merupakan sebahagian dari tuntutan agama Islam.

Di antara hak-hak Ahlul Bait ialah hak ke atas harta ghanimah (harta rampasan perang), hak untuk diselawati, hak untuk dicintai, diutamakan dan dijaga hubungan silaturrahim dengan mereka.
Hak Ahlul Bait terhadap seperlima dari harta ghanimah telah difirmankan dengan jelas oleh Allah SWT: "Ketahuilah, sesungguhnya, apa sahaja yang kamu perolehi sebagai rampasan perang, maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil." (QS Al-Anfal: 41)

Selain itu, Ahlul Bait juga berhak memperolehi ucapan selawatdari umat Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW pada tahiyyat akhir solat: "Ya Allah, limpahkan selawat untuk Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau limpahkan selawat untuk Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."

Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong hadis dari Imam Malik rahimahullah yang berasal dari Nu'aim Al-Mujmar, sepertimana berikut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada para isteri dan anak-cucu keturunan beliau." Terdapat sebuah hadis daripada Ibnu Humaid As-Saidi yang bermaksud: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada isteri-isterinya, dan kepada anak-cucu keturunannya." Sebuah hadis lain pula menyebut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan Aal (Ahli-bait) Muhammad."

Ibnu Taimiyah rahimahullah mengemukakan suatu hadis yang menyentuh peringatan Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda: "Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra." Para sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan Selawat Batra?". Baginda menjawab :"Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ! Ucapkanlah : "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada Aal Muhammad."

Kesimpulannya, Ahlul Bait Rasulullah SAW memperolehi hak untuk diselawati sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam dalam solat fardhu yang dikerjakan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Ahlul Bait Rasulullah SAW juga diharamkan menerima zakat dan sedekah yang disebut sebagai kotoran harta manusia. Dari Abdul Muthalib ibnu Rab'ah ibnul Khariif, katanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya sedekah itu berasal dari kotoran harta manusia dan ia tidak dihalalkan bagi Muhammad mahupun bagi keluarga Muhammad." (HR Muslim)

Tentang hadis ini, Imam Nawawi memberikan penjelasan: "Kotoran manusia ertinya zakat membersihkan harta dan jiwa mereka". Allah SWT berfirman: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka." (QS At-Taubah : 103)

Zakat adalah pencuci kotoran. Ahlul Bait Rasulullah SAW tidak pernah mengambil zakat atau sedekah semasa Baginda masih hidup mahupun sesudah wafatnya. Ahlul Bait adalah diharamkan menerima zakat bagi membersihkan mereka serta meninggikan kedudukan mereka. Sabda Rasulullah SAW: "... Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya." (QS Al-Ahzab: 33)

Saidina Ali KW menemui Rasulullah SAW yang telah menghampar selembar selimut, lalu baginda duduk atasnya bersama Saidina Ali, Sayidatina Fatimah, Saidina Hasan dan Saidina Hussein. Kemudian Baginda bersabda : "Ya Allah, redhailah mereka sebagaimana aku redha kepada mereka." Rasulullah SAW pernah bersabda: "Yang paling aku cintai di antara ahlul-baitku adalah Al-Hasan dan Al-Hussein." (HR At-Tirmidzi) Rasulullah SAW juga pernah bersabda mengenai Saidina Hasan: "Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia, dan cintailah siapa yang mencintainya."(HR Muslim)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri." (HR Thabrani)

Daripada Saidina Ali KW bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mencintai kedua orang ini (yakni Saidina Hasan & Saidina Hussein) dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat." (HR Ahmad dan At-Tirmidzi)

Ibnu Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Cintailah Allah atas kenikmatan yang diberikanNya kepadamu sekelian dan cintailah aku dengan mencintai Allah dan cintailah Ahlul Baitku kerana mencintaiku." Dalam sebuah hadis dari Saidina Ali KW, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Di antara kalian yang paling mantap berjalan di atas sirath ialah yang paling besar kecintaannya kepada Ahlul Baitku dan para sahabatku."

Jabir RA mendengar Saidina Umar Al-Khattab RA berkata kepada orang ramai ketika beliau mengahwini Ummu Kalthum binti Ali bin Abu Talib : "Tidakkah kalian mengucapkan selamat untukku? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku." (HR At-Thabrani)

Di dalam hadis Thaqalain, yang diriwayatkan oleh Zaid bin Al-Arqam RA menyebut: "Kutinggalkan di tengah kalian dua bekal. (Yang pertama): Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Hendaklah kalian ambil dan berpegang teguh padanya dan (kedua), Ahli Baitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku!"

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila bintang-bintang lenyap, lenyaplah penghuni langit; dan apabila ahli-baitku lenyap, lenyap pula penghuni bumi." (HR Ahmad)

Sebuah hadis riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Bukhari & Muslim menyebut: "Bintang-bintang merupakan (sarana) keselamatan bagi penghuni bumi (yang sedang belayar) dari bahaya tenggelam/karam sedangkan Ahlul Baitku sarana keselamatan bagi umatku dari perselisihan (dalam agama). Bila ada satu kabilah Arab yang membelakangi Ahlul Baitku, mereka akan berselisih, kemudian menjadi kelompok iblis."

Daripada Abu Dzar, menyatakan: "Ahlul Baitku di tengah kalian ibarat bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang ketinggalan ia binasa." (HR Ahmad, Al-Hakim, ibnu Jarir dan At-Thabrani)

Abu Dzar Al-Ghifari RA mengatakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Jadikanlah Ahlul Baitku bagi kalian sebagai kepala bagi jasad dan sebagai dua belah mata bagi kepala."

Jelas sekali bahawa keutamaan Ahlul Bait Rasulullah SAW diperakui dalam hukum syarak mengikut hadis2 mutawatir yang tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Keutamaan ini diperkukuhkan oleh hadis2 sahih bahawa keturunan Baginda, Imam Mahdi, akan menjadi khalifah di akhir zaman.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Dunia tidak akan berakhir sehingga bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki dari keluargaku yang namanya menyerupai namaku." (HR At-Tirmidzi)

Dari Tufail dari Saidina Ali KW, Nabi SAW bersabda: "Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja, nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman."

Di dalam menjaga perhubungan dengan Ahlul Bait, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Orang yang terbaik di antara kalian ialah orang yang terbaik sikapnya terhadap keluargaku setelah aku tiada."

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Empat golongan yang akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat: Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya." (HR Ahmad)

Daripada Abdullah ibnu Umar RA yang mengatakan: "Allah SWT menetapkan tiga `hurumat' (hal-hal yang wajib dihormati dan tidak boleh dilanggar). Barangsiapa menjaga baik-baik ketiga-tiga `hurumat' itu, Allah akan menjaga urusan agamanya dan keduniaannya. Dan barangsiapa tidak mengendahkannya, Allah tidak akan mengendahkan sesuatu baginya. Para sahabat bertanya: Apa tiga hurumat itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Hurumatul Islam, hurumatku dan hurumat kerabatku." (HR At-Thabrani)

Dari Abu Said Al-Khudri RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: "Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang tidak membenci kami Ahlul Bait, melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka." (HR Al-Hakim)

Ketika puteri Abu Jahal meninggalkan orang tuanya untuk hijrah ke Madinah, berkata beberapa orang Muslimin kepadanya: "Hijrahmu ke Madinah tiada gunanya, kerana orang tuamu pasti akan menjadi umpan neraka". Ketika anak perempuan itu melaporkan cemuhan orang terhadap dirinya itu kepada Rasulullah SAW, baginda lalu bersabda: "Kenapa sampai ada orang yang mahu mengganggu diriku dengan mencerca nasab dan keturunan kerabatku? Sungguhlah, siapa yang mengganggu kerabat dan nasabku bererti ia menggangguku, dan siapa yang menggangguku ia mengganggu Allah."

Daripada Jabir ibnu Abdullah RA yang menceritakan beliau sendiri mendengar dari Rasulullah SAW dalam suatu khutbah antara lain menyebut: "Hai manusia, barangsiapa membenci kami, Ahlul Bait, pada Hari Kiamat Allah akan menggiringnya sebagai orang Yahudi." (HR At-Thabrani)

Rasulullah SWT telah menegaskan dalam sabda Baginda: "Siapa yang membenci Ahlul Bait, ia adalah seorang munafik." (HR Ahmad)

Wallahua'lam.

AULIA ALLAH: SYEIKH IBNU ATHAILLAH


PENDAHULUAN

Ibn Athaillah Askandary yang hidup pada zaman Dinasti Mamluk itu dapat merasai keadaan dan suasana kestabilan politik pada ketika itu. Oleh yang demikian tidak hairan jika beliau dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mencapai cita-cita beliau dalam bidang ilmu pengetahuan, khasnya ilmu pengetahuan agama.

Kebudayaan dan tamadun Islam yang telah dibina pada zaman Rasulullah SAW berkembang dengan pesatnya pada zaman Kerajaan Bani Umayyah dan Kerajaan Bani Abbasiah itu bukan sekadar mempengaruhi kehidupan umat Islam seluruh pelusuk dunia malahan orang Kristian di Benua Eropah juga telah bangun kerana kejutan kebudayaan dan ketamadunan Islam. Situasi ini disebabkan pada abad ke-7 Hijrah atau ke-13 Masehi, bangsa Eropah telah terlibat secara khusus dalam peperangan Salib. Hubungan mereka dengan tentera-tentera Islam dalam peperangan tersebut telah meninggalkan kesan yang besar terhadap ketamadunan bangsa Eropah.

Di Mesir sendiri pada akhir abad ke-7 Hijrah, tidak dapat dinafikan ia telah menjadi sebuah pusat kebudayaan dan tamadun Islam yang setanding pada ketika itu dengan Kota Baghdad dan beberapa kota yang lain di Sepanyol. Beberapa kota besar di Mesir seperti Kaherah, Iskandariah dan lain-lainnya telah menjadi pusat perkembangan kebudayaan dan tamadun Islam pada masa itu.

PENDIDIKAN 

Walaupun para sarjana yang pernah membuat kajian tentang biografinya menegaskan bahawa maklumat perkembangan awal hidupnya terlalu sedikit yang diperolehi, namun secara logiknya dapat kita mengandaikan bahawa beliau pada peringkat awalnya adalah mendapat didikan dan asuhan agama seperti juga kanak-kanak lain pada masa itu. Berdasarkan kepada satu petunjuk bahawa keluarga beliau adalah ahli agama yang bijak dan terkenal pada masa itu.

Sebagai seorang kanak-kanak yang terdedah dengan pengajian tradisional Islam, beliau mempelajari ilmu yang berkaitan dengan Fardhu ’Ain, membaca, menulis, menghafaz al-Quran dan sebagainya lagi. Apabila umurnya meningkat remaja, beliau telah mempelajari berbagai cabang ilmu Islam yang pada lazimnya dipelajari oleh para pemuda pada masa itu. Sesuai dengan zaman tersebut, Kota Iskandariah merupakan salah sebuah pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang penting di Mesir sehingga menjadi tumpuan para ilmuan pada ketika itu.

Antara bidang ilmu yang berkembang pesat di Kota Iskandariah pada ketika itu ialah ilmu fiqh, ilmu hadis, ilmu usuluddin dan tidak ketinggalan juga dengan ilmu tasawuf . Ibn Ataillah mempelajari ilmu-ilmu zahir seperti feqah, tafsir, hadis, falsafah dan lainnya dari sebuah madrasah fiqh mazhab Maliki yang terkenal di Iskandariah pada masa itu. Madrasah ini diasaskan oleh oleh seorang ulama yang terkenal dalam Mazhab Maliki iaitu Syeikh Abu Hassan al-Ibyari yang meninggal dunia pada pada tahun 618H.

Ibn Ataillah sangat bertuah kerana sempat berguru dengan ramai ulama terkenal. Dalam ilmu fiqh, beliau berguru dengan seorang ahli fiqh terkenal bernama Syeikh Nasir al-Din Ibn Munir. Manakala dalam bidang ilmu hadis pula beliau berguru dengan Syeikh Shihab al-Din Abu Ma’ali yang terkenal dengan gelaran Syeikh al-Abraquhi. Dalam bidang nahu dan tata bahasa Arab, beliau berguru dengan Syeikh al-Muhyi al-Mazuni, seorang ulama yang setaraf dengan Syeikh Ibn al-Nuhas yang terkenal di Mesir pada ketika itu. Ibn Ataillah juga pernah berguru dengan al-Syeikh al-Imam al-Syaraf al-Din al-Dimyati yang hidup antara tahun 613-705 H. Manakala dalam bidang usul fiqh, tauhid, falsafah, dan mantiq pula, beliau pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Ibn Mahmud yang terkenal dengan gelaran Shamsuddin al-Isbahaniy.

ULAMA FIQH MAZHAB AL-MALIKI 

Berdasarkan kepada beberapa fakta yang berkaitan dengan kegiatan beliau seperti yang telah dihuraikan di atas, maka tidak menghairankan bahawa Ibn Ataillah semasa mudanya sudah menjadi seorang ahli feqah yang terkenal dalam mazhab Maliki, sebelum menceburkan diri dalam ilmu dan amalan tasawuf.

Semasa bergiat aktif dalam bidang fiqh, beliau banyak memberikan fatwa tentang hukum hakam kepada orang ramai. Seperti ulama-ulama lain dalam bidang fiqh, beliau sering meragui kebenaran ilmu dan amalan tasawuf. Beliau sering mempertikaikan kedudukan ulama tasawuf dan para pengamalnya. Tidak salah jika dikatakan Ibn Ataillah adalah salah seorang yang lantang menentang ilmu tasawuf, khasnya ilmu tasawuf yang dipelopori oleh Tariqah al-Syadziliyyah.

MENJADI ULAMA TASAWUF

Allah SWT telah menentukan bahawa Ibn Ataillah menjadi seorang tokoh ilmu tasawuf yang masyhur. Keraguannya terhadap kebenaran ilmu tasawuf amnya, dan terhadap Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi khasnya, telah bertukar menjadi keyakinan yang teguh dan kental. Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh desakan batinnya yang sentiasa ingin mengetahui kemungkinan perkara yang ditentang selama ini dan dianggap sebagai salah itu adalah benar.

Sejak pertemuan pertama tersebut, beliau terus mendapat didikan serta asuhan dari gurunya, al-Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi dalam ilmu dan amalan tasawuf khasnya Tariqat al-Syadziliyyah. Beliau adalah murid kesayangan Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Hubungan mereka berdua sentiasa rapat sesuai dengan syarat dan prinsip-prinsip tariqah. Beliau mendapat didikan serta asuhan dari Syeikhnya selama kira-kira 12 tahun. Dalam masa yang singkat Ibn Ataillah telah berupaya mengarang kitabnya yang tersohor dalam ilmu tasawuf iaitu 'Al-Hikam' semasa al-Syeikh Abu al-’Abbas masih hidup dan al-Hikam mendapat pengesahan dari Syeikhnya.

Satu babak baru dan mencabar dalam sejarah kehidupan Ibn Ataillah bermula apabila beliau berpindah ke Kaherah. Di sini beliau menyebarkan ilmu pengetahuannya, baik yang zahir mahu pun ilmu batin iaitu ilmu tasawuf. Tentunya beliau menjadi orang penting (mursyid) dalam Tariqat Syadziliyyah, terutamanya setelah kewafatan gurunya Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Beliau bukan sahaja menyebarkan ilmu tersebut kepada orang ramai di tempat-tempat awam tetapi juga berkesempatan menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar dan di Madrasah al-Mansuriyyah.

DIDIKAN DAN ASUHAN 

Pengajaran dan asuhannya mendapat sambutan yang baik dari semua lapisan masyarakat Mesir, khasnya di Kota Kaherah. Beberapa tokoh terkenal merekodkan bagaimana keadaan dan suasana sambutan orang ramai terhadap pengajaran dan asuhan beliau itu. Antaranya ialah Ibn Hajar al-’Asqalany menyebutkan:
"Ibn Ataillah Askandary itu bersyarah dengan kata-kata yang melunakkan hati, di atas sebuah kerusi, di Universiti al-Azhar. Beliau menyulamkan ajaran ahli tasawuf dengan ajaran angkatan salaf dan kehalusan ilmu Islam, maka ramailah para pengikutnya.”

Ibn Ataillah berperanan penting meneruskan kesinambungan pengajaran dan penyebaran, asuhan dan didikan Islam khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf Tariqah al-Syadziliyyah. Malahan menurut catatan Dr Al-Taftazaniy, beliau sebenarnya berperanan penting mempopularkan gerakan tariqah-tariqah pada zamannya dengan mengajak orang ramai mengikuti Tariqah al-Syadziliyyah selepas ketiadaan syeikhnya.

Malahan lebih jauh dari itu, Dr. Al-Taftazaniy berpendapat bahawa Ibn Ataillah adalah sebagai contoh yang ulung dalam bidang tasawuf di Mesir di akhir kurun ke-7 Hijrah dan pemimpin yang penting dalam pembentukan tariqat dan tasawuf aliran Syadziliyyah. Dengan ketokohan tersebut, beliau dapat mempertahankan dan menangkis tohmahan yang ditujukan oleh golongan yang mempertikaikan ajaran tasawuf ke atas pengamal tariqat tasawuf khasnya Tariqat al-Syadziliyyah.

Hasil kesungguhan dan penat lelah Ibn Ataillah dalam usaha mendidik dan mengasuh murid-muridnya selama kira-kira 23 atau 24 tahun di Kaherah, maka lahirlah beberapa orang muridnya yang terkenal dalam usaha menyambung dan menyebar, mendidik dan mengasuh orang ramai dalam ilmu dan amalan Tariqah al-Syadziliyyah. Antara murid-muridnya yang terkenal ialah Syeikh Taqiy al-Din al-Subkiy (w.756H), ayah kepada Taj al-Din al-Subkiy, pengarang kitab Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra (w.771H), Syeikh Daud Ibn ’Umar Ibn Ibrahim al-Syadziliy terkenal dengan gelaran Ibn Bakhula, pengarang kitab al-Lata’if al-Mardiyyah dan al Syeikh Abu al-Abbas Ahmad Ibn Milaq al-Iskandari al-Usuliy (w.749 H).

TULISAN

Pengajaran dan asuhan yang dilakukan oleh Ibn Ataillah bukan sekadar lisan dan hal semata-mata, tetapi usaha tersebut meliputi juga dalam bidang penulisan. Selain dari murid-murid yang ramai, beliau juga meninggalkan kepada generasi kemudian, di Mesir khasnya dan bagi rakyat Malaysia amnya, karya-karya berharga dalam bidang ilmu pengetahuan khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf. Antara hasil karya Ibn Ataillah yang berupa kitab dan risalah adalah:
1- Al-Hikam (Kitab yang mengandungi adab-adab dalam ilmu tariqah dan tasawuf, ibadah, tawhid, zikrullah, maqamat, dan ahwal dan sebagainya)
2- Al-Munajat (Sebuah risalah kecil yang mengandungi doa-doa. Risalah ini menurut Dr. al-Taftazaniy disusun oleh Ibn Ataillah ketika beliau mengarang dan menyusun kitabnya al-Hikam)
3- Al-Wasiyyah (Sebuah risalah kecil mengandungi nasihat-nasihat yang ditujukan kepada para sahabat dan anak muridnya di Iskandariah. Al-Wasiyyah boleh didapati pada akhir kitab Lata’if al-Minan)
4- Al-Tanwer fi Isqat al-Tadbir (Kitab ini mengandungi ajaran yang berkait dengan Tauhid Rububiyyah)
5- Lata’if al-Minan (Kitab ini mengandungi biografi atau manaqib gurunya, Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi)
6- Taj al-’Arus al-Hawi li Tahdhib al-Nufus (Kitab ini mengandungi nasihat dan panduan bagi ahli tasawuf, khasnya mengenai cara-cara mendapatkan tazkiyyat al-nafs)
7- Al-Quds al-Mujarrad fi Ma’rifat al-Ism al-Mufarrad (Kitab ini mebicarakan tentang zat Allah SWT, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan af’al-Nya dari sudut ilmu kalam dan pengalaman dhauqiyyah sufi)

KESIMPULAN

Ibn Ataillah Askandary adalah seorang tokoh yang terkenal di zamannya. Pengorbanan yang dilakukannya dalam bidang pendidikan dan asuhan telah melahirkan ramai golongan ulama terkemuka yang meneruskan kesinambungan budaya intelektual pada zaman berikutnya. Tidak ketinggalan juga dengan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh beliau menerusi tulisannya khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf yang telah memberikan kesan yang sangat mendalam dalam hubungan dua hala dari sudut budaya dan ilmu di kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Wallahua'lam.


Wednesday, September 28, 2011

AULIA ALLAH: AL-IMAM AL-HABIB ABDULLAH BIN ALWI AL-HADDAD


Beliau bernama Abdullah bin Alawi bin Muhammad bin Ali Al-Tarimi Al-Haddad Al-Husaini Al-Yamani. Beliau (rahimahullah) dilahirkan di Subir sebuah perkampungan berhampiran kota Tarim di Wadi Hadhramaut, selatan negeri Yaman pada hari Ahad 5 haribulan Safar tahun 1044 hijriah bersamaan 30 haribulan Julai tahun 1634 Masehi. Al-Habib telah diasuh dan ditarbiahkan di Kota Tarim. Ketika beliau meningkat umur empat tahun, Al-Habib dijangkiti penyakit cacar yang mengakibatkan kehilangan daya penglihatan. Walaupun demikian, Allah yang Maha Agong lagi Mulia telah menggantikan kepada Al-Habib dengan mata hati (cahaya ilmu dan pengetahuan serta keyakinan dan wilayah). Berasaskan kurniaan ini, Al-Habib telah berusaha dengan penuh dedikasi dan kegigihan menceduk ilmu dari sejumlah besar para ulama’ di Yaman. Cinta beliau terhadap ilmu dan para ulama’ menghasilkan kebolehan menguasai ajaran para ahli tahkik (orang yang mengenali Allah dengan ‘ainul-yakeen serta hakkul-yakeen). Semenjak kecil lagi beliau memaparkan kekuatan usaha ibadat dan kerajinan memuntut ilmu. 


Al-Habib pernah berkata “ketika aku masih kecil, aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadat dan melaksanakan pelbagai mujahadah yang lainnya, sehingga ditegur oleh nindaku yang solehah bernama Salma binti Said Al-Wali Omar Ba’Alawi, supaya menjaga diriku. Dia sering berkata demikian jika dikira ibadat serta mujahadah yang aku usahakan dianggap terlalu kuat dan banyak. Sebaliknya aku telah banyak meninggalkan mujahadah semenjak permulaan perjalanan ini semata-mata memelihara hati kedua ibubapaku yang amat prihatin terhadap keadaanku”. Walaupun Al-Habib (radhiAllahu ‘anhu) sering keluar ke kawasan sekitarnya dan perkampungan di sekeliling Tarim, beliau berkata “aku lebih seronok bersendirian demi kerana Allah kerana alangkah ne’matnya kelazatan (al-uns) bersama dengan Allah”. Pada permulaan perjalanan hidup Al-Habib, beliau sentiasa menyusuri negerinya untuk bertemu para solihin, menziarahi pusara para ulama’ dan auliya’. Pada masa beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut ‘Masjid Al-Hijriah’ dan pada waktu malamnya sering bersolat bergiliran di setiap masjid dalam kota Tarim. Sesungguhnya inilah yang membuka hati beliau semenjak kecil lagi. Al-Habib sering membaca Surah Yaasin yang mempengaruhi jiwanya dan menyebabkan beliau menitiskan air mata yang begitu banyak. Keadaan demikian sering mengakibatkan ketidakmampuannya membaca surah yang mulia ini. Inilah yang mendorong Sayyed Abdullah Bilfagih menjelaskan tentang Al-Habib dengan katanya “Disinilah futuh (pembukaan) bagi Al-Habib”. 

AKHLAK DAN BUDI PEKERTI 

Al-Imam Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang, tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di wajahnya kesan mahupun parut cacar. 

Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya. Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka. 

Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya; Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang yang sanggup meninggalkan majlisnya. 

Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah lagi kepada Si-miskin. 

Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan sentiasa diutamakan mereka dengan kaseh sayang serta penuh rahmah; tanpa melalaikan beliau dari mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah menegaskan “Tiada seorang pun yang berada dimajlisku mengganguku dari mengingati Allah”. 

Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat, perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan, nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar; sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang perihal keduniaan dengan selain dariku.” 

Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain; bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa. Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata mencari barakah Al-Imam. Tidak terputus pengunjung bertamu dengan beliau pada bulan mulia ini di rumah perkampungan beliau di Al-Hawi. 

Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan, nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”. 

Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar terhadap sikap buruk dari yang selainnya serta tidak pernah merasa marah. Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Habib “Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”. 

Al-Imam amatlah menegah dari mendoa’ agar keburukan dilanda orang yang menzalimi mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau menahan marahnya; bahkan kepada si-Pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata: “alangkah baiknya jika Al-Imam sentiasa memarahiku”. 

Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi. 

Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terselah pada kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doailah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampun Allah…” 

IBADAH DAN MUJAHADAH 

Tiada siapa yang pernah menyatakan Al-Imam bersolat walau satu waktu bersendirian, atau tidak solat di awal waktu, sembahyang dalam situasi yang tergapah-gapah, atau meninggalkan qiamullail. Diantara sifat mulianya Al-Imam ialah tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang cuba berkata-kata di waktu itu. Bahkan beliau menegahnya serta memberi amaran kepada sahabatnya dari menegurnya ketika waktu tersebut. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Imam dengan katanya: “Kami keluar dengan penuh menghadhirkan diri dan meninggalkan segala kerunsingan”. 

Dan tegasnya lagi: “Kami tidak bercadang untuk melaksanakan sebarang solat sunat An-Nawaafil (solat sebelum dan selepas sembahyang fardhu) kecuali setelah hati kami benar-benar hadhir dan iqbal (menuju) kepada Allah”. 

Al-Imam amat memeliharai amalan solat Ar-Rawaatib. Doa-doa serta wirid-wiridnya yang ma’thur dari amalan Raul S.A.W. termasuk mendirikan solat Ad-Dhuha sebanyak lapan rakaat dan solat Al-Isyraq sebanyak empat rakaat sebelumnya, solat Al-Awwaabin sebanyak dua puluh rakaat selepas sunat maghrib; dimana Al-Imam menyempurnakan empat rakaat sebelum setiap salam. Di waktu subuh pada hari Jumaat, Al-Imam berjemaah solat Fajar di masjid Al-Jame’ seterusnya beri’tiqaf sehingga solat Jumaat demi mendapat keutamaan berawal-awalan untuk solat tersebut. 

Al-Imam juga amat sedikit tidur, sekadar merehatkan diri sahaja. Kebiasaan Al-Imam melambatkan solat witir sehingga hampir fajar; ini disebabkan Al-Imam tidur sedikit (qailulah) selepas solat-solat qiamullail. Kemudian barulah berwudu’ untuk solat witir sebelum subuh. Beliau sentiasa berzikir seumpama ‘La ila ha illallah’ yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah tidak pernah berhenti; Al-Imam membiasakan dirinya dengan ini walaupun diundang perbualan dengan sesiapa. 

Al-Imam juga memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari yang diutamakan iaitu Isnin dan Khamis, Ayyaamul Baidh (hari ke 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan), hari ‘Asyura; hari ‘Arafah, enam hari dalam bulan Syawwal; sehinggalah terhentinya amalan ini apabila Al-Imam sudah berumur dan lemah. 

Adapun pada bulan Ramadhan, Al-Imam telah menjelaskan kepada para sahabatnya “Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, perkurangkanlah/tinggalkan sementara ilmu semata-mata untuk beribadah dalam bulan ini”. Seterusnya dapat dilihat orang-orang yang ramai mengurangan kelas-kelas ilmu kecuali selepas Asar, sebagai peringatan beliau kepada sahabat-sahabat yang utamakan amal bersungguh-sungguh dan membersihkan dalaman (batin). 

Walaubagaimanapun Al-Imam tidak pernah menunjuk-nunjukkan amalnya kecuali keadaan memaksakan seperti supaya ianya dijadikan tauladan kepada yang lain. Kata Al-Imam: “tidak aku tonjolkan amalan ini dengan sengaja, walaupun itu Alhamdulillah aku tidak bimbang dari sifat riya’ (disebabkan orang mengetahui amalan aku). Ingatlah sebagaimana Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq menyatakan tentang perkara ini berlandaskan firman Allah (yang bermaksud) “Sama sekali aku tidak memuji diri ini dengan kebaikan, maka ketahuilah sesungguhnya inilah yang mendorongkannya kepada perbuatan buruk”. 

Al-Imam juga telah menegaskan: “sesungguhnya aku telah melaksanakan kesemua sunnah Nabi dan tidak ada sunnah yang ditinggalkan, kecuali rambut”. Akhirnya Al-Imam mengekalkan rambut hingga ke telinganya sebagai yang dilaksanakan oleh Rasul S.A.W. 

Al-Imam juga sering menziarahi Nabi Allah Hud, selawat dan salam keatasnya dan Nabi kita; dimana makam Nabi Hud terletak di Wadi Hadramaut. Sebanyak tiga puluh kali Al-Imam telah menziarahinya, kesemuanya pada bulan Sya’ban. Al-Imam telah pergi berjalan kaki bersama-sama sanak saudaranya, kaya dan miskin. Kebiasaannya Al-Imam berada dimaqam itu selalunya di waktu maghrib dari 12 haribulan hingga 15 haribulan Sya’ban. Dalam perjalanan ke sana, Al-Imam sering singgah di Ainat untuk menziarah As Syeikh Al-Kabir Abu Bakar bin Salim dan As-Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Imam juga menziarah maqam Basyar selepas solat Asar setiap hari Jumaat dan hari Selasa. Al-Imam menjelaskan: “pada mulanya, kebiasaan kami menziarahi Basyar ialah pada setiap hari Jumaat, tetapi setelah diantara sahabat kami bertemu Al-Faqih Al-Muqaddam dalam mimpinya dimana dia berkata: katakan kepada Al-Sayyed Abdullah Al-Haddad: “Ziarah Basyar pada hari Jumaat sahaja tidak memadai”; maka berdasarkan itu kami menziarahi juga Basyar pada hari Selasa juga”. Sebenarnya sebelum Allah menzahirkan kemuliaannya dan orang ramai berpusu-pusu kepadanya, memanglah Al-Habib menziarahi Basyar setiap hari Selasa. 

Semoga Allah merahmati Al-Imam dan menempatkan beliau di Syurga, dan dihimpunkan kita bersamanya dengan berkat Saiyidina Muhammad S.A.W., keluarganya dan sahabatnya serta selawat keatas Nabi Muhammad yang mulia serta keluarga dan sahabatnya. 

(Kata-kata diatas ini merupakan sedikit petikan yang diterjemahkan dari bahasa Arab dari kajian dan tulisan Ustaz Haji Muhammad Nooruddin Merbau Al-Banjari dari Kedah. Semoga Allah berkati beliau. InsyaAllah sambungan riwayat Al-Imam dapat dimuatkan dalam ruangan ini. 

Terjemahan ini adalah sebahagian dari juz kedua kitab “Hadiah Dari Imam Al-Haddad


SUMBER: alhawi.net