Di dalam berhubungan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW, umat Islam harus sentiasa menjaga adab dan tatasusila serta memelihara diri dari mencerca atau mengkhianati mereka. Dalam lain perkataan, hubungan dengan cucu cicit Rasulullah SAW perlu sentiasa dipelihara dan diberi perhatian khusus kerana itu merupakan sebahagian dari tuntutan agama Islam.
Di antara hak-hak Ahlul Bait ialah hak ke atas harta ghanimah (harta rampasan perang), hak untuk diselawati, hak untuk dicintai, diutamakan dan dijaga hubungan silaturrahim dengan mereka.
Hak Ahlul Bait terhadap seperlima dari harta ghanimah telah difirmankan dengan jelas oleh Allah SWT: "Ketahuilah, sesungguhnya, apa sahaja yang kamu perolehi sebagai rampasan perang, maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil." (QS Al-Anfal: 41)
Selain itu, Ahlul Bait juga berhak memperolehi ucapan selawatdari umat Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW pada tahiyyat akhir solat: "Ya Allah, limpahkan selawat untuk Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau limpahkan selawat untuk Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."
Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong hadis dari Imam Malik rahimahullah yang berasal dari Nu'aim Al-Mujmar, sepertimana berikut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada para isteri dan anak-cucu keturunan beliau." Terdapat sebuah hadis daripada Ibnu Humaid As-Saidi yang bermaksud: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada isteri-isterinya, dan kepada anak-cucu keturunannya." Sebuah hadis lain pula menyebut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan Aal (Ahli-bait) Muhammad."
Ibnu Taimiyah rahimahullah mengemukakan suatu hadis yang menyentuh peringatan Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda: "Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra." Para sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan Selawat Batra?". Baginda menjawab :"Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ! Ucapkanlah : "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada Aal Muhammad."
Kesimpulannya, Ahlul Bait Rasulullah SAW memperolehi hak untuk diselawati sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam dalam solat fardhu yang dikerjakan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Ahlul Bait Rasulullah SAW juga diharamkan menerima zakat dan sedekah yang disebut sebagai kotoran harta manusia. Dari Abdul Muthalib ibnu Rab'ah ibnul Khariif, katanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya sedekah itu berasal dari kotoran harta manusia dan ia tidak dihalalkan bagi Muhammad mahupun bagi keluarga Muhammad." (HR Muslim)
Tentang hadis ini, Imam Nawawi memberikan penjelasan: "Kotoran manusia ertinya zakat membersihkan harta dan jiwa mereka". Allah SWT berfirman: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka." (QS At-Taubah : 103)
Zakat adalah pencuci kotoran. Ahlul Bait Rasulullah SAW tidak pernah mengambil zakat atau sedekah semasa Baginda masih hidup mahupun sesudah wafatnya. Ahlul Bait adalah diharamkan menerima zakat bagi membersihkan mereka serta meninggikan kedudukan mereka. Sabda Rasulullah SAW: "... Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya." (QS Al-Ahzab: 33)
Saidina Ali KW menemui Rasulullah SAW yang telah menghampar selembar selimut, lalu baginda duduk atasnya bersama Saidina Ali, Sayidatina Fatimah, Saidina Hasan dan Saidina Hussein. Kemudian Baginda bersabda : "Ya Allah, redhailah mereka sebagaimana aku redha kepada mereka." Rasulullah SAW pernah bersabda: "Yang paling aku cintai di antara ahlul-baitku adalah Al-Hasan dan Al-Hussein." (HR At-Tirmidzi) Rasulullah SAW juga pernah bersabda mengenai Saidina Hasan: "Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia, dan cintailah siapa yang mencintainya."(HR Muslim)
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri." (HR Thabrani)
Daripada Saidina Ali KW bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mencintai kedua orang ini (yakni Saidina Hasan & Saidina Hussein) dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat." (HR Ahmad dan At-Tirmidzi)
Ibnu Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Cintailah Allah atas kenikmatan yang diberikanNya kepadamu sekelian dan cintailah aku dengan mencintai Allah dan cintailah Ahlul Baitku kerana mencintaiku." Dalam sebuah hadis dari Saidina Ali KW, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Di antara kalian yang paling mantap berjalan di atas sirath ialah yang paling besar kecintaannya kepada Ahlul Baitku dan para sahabatku."
Jabir RA mendengar Saidina Umar Al-Khattab RA berkata kepada orang ramai ketika beliau mengahwini Ummu Kalthum binti Ali bin Abu Talib : "Tidakkah kalian mengucapkan selamat untukku? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku." (HR At-Thabrani)
Di dalam hadis Thaqalain, yang diriwayatkan oleh Zaid bin Al-Arqam RA menyebut: "Kutinggalkan di tengah kalian dua bekal. (Yang pertama): Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Hendaklah kalian ambil dan berpegang teguh padanya dan (kedua), Ahli Baitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku!"
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila bintang-bintang lenyap, lenyaplah penghuni langit; dan apabila ahli-baitku lenyap, lenyap pula penghuni bumi." (HR Ahmad)
Sebuah hadis riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Bukhari & Muslim menyebut: "Bintang-bintang merupakan (sarana) keselamatan bagi penghuni bumi (yang sedang belayar) dari bahaya tenggelam/karam sedangkan Ahlul Baitku sarana keselamatan bagi umatku dari perselisihan (dalam agama). Bila ada satu kabilah Arab yang membelakangi Ahlul Baitku, mereka akan berselisih, kemudian menjadi kelompok iblis."
Daripada Abu Dzar, menyatakan: "Ahlul Baitku di tengah kalian ibarat bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang ketinggalan ia binasa." (HR Ahmad, Al-Hakim, ibnu Jarir dan At-Thabrani)
Abu Dzar Al-Ghifari RA mengatakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Jadikanlah Ahlul Baitku bagi kalian sebagai kepala bagi jasad dan sebagai dua belah mata bagi kepala."
Jelas sekali bahawa keutamaan Ahlul Bait Rasulullah SAW diperakui dalam hukum syarak mengikut hadis2 mutawatir yang tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Keutamaan ini diperkukuhkan oleh hadis2 sahih bahawa keturunan Baginda, Imam Mahdi, akan menjadi khalifah di akhir zaman.
Rasulullah SAW telah bersabda: "Dunia tidak akan berakhir sehingga bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki dari keluargaku yang namanya menyerupai namaku." (HR At-Tirmidzi)
Dari Tufail dari Saidina Ali KW, Nabi SAW bersabda: "Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja, nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman."
Di dalam menjaga perhubungan dengan Ahlul Bait, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Orang yang terbaik di antara kalian ialah orang yang terbaik sikapnya terhadap keluargaku setelah aku tiada."
Rasulullah SAW pernah bersabda: "Empat golongan yang akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat: Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya." (HR Ahmad)
Daripada Abdullah ibnu Umar RA yang mengatakan: "Allah SWT menetapkan tiga `hurumat' (hal-hal yang wajib dihormati dan tidak boleh dilanggar). Barangsiapa menjaga baik-baik ketiga-tiga `hurumat' itu, Allah akan menjaga urusan agamanya dan keduniaannya. Dan barangsiapa tidak mengendahkannya, Allah tidak akan mengendahkan sesuatu baginya. Para sahabat bertanya: Apa tiga hurumat itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Hurumatul Islam, hurumatku dan hurumat kerabatku." (HR At-Thabrani)
Dari Abu Said Al-Khudri RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: "Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang tidak membenci kami Ahlul Bait, melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka." (HR Al-Hakim)
Ketika puteri Abu Jahal meninggalkan orang tuanya untuk hijrah ke Madinah, berkata beberapa orang Muslimin kepadanya: "Hijrahmu ke Madinah tiada gunanya, kerana orang tuamu pasti akan menjadi umpan neraka". Ketika anak perempuan itu melaporkan cemuhan orang terhadap dirinya itu kepada Rasulullah SAW, baginda lalu bersabda: "Kenapa sampai ada orang yang mahu mengganggu diriku dengan mencerca nasab dan keturunan kerabatku? Sungguhlah, siapa yang mengganggu kerabat dan nasabku bererti ia menggangguku, dan siapa yang menggangguku ia mengganggu Allah."
Daripada Jabir ibnu Abdullah RA yang menceritakan beliau sendiri mendengar dari Rasulullah SAW dalam suatu khutbah antara lain menyebut: "Hai manusia, barangsiapa membenci kami, Ahlul Bait, pada Hari Kiamat Allah akan menggiringnya sebagai orang Yahudi." (HR At-Thabrani)
Rasulullah SWT telah menegaskan dalam sabda Baginda: "Siapa yang membenci Ahlul Bait, ia adalah seorang munafik." (HR Ahmad)
Wallahua'lam.