Friday, September 30, 2011

KEUTAMAAN AHLUL BAIT NABI MUHAMMAD SAW

Di dalam berhubungan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW, umat Islam harus sentiasa menjaga adab dan tatasusila serta memelihara diri dari mencerca atau mengkhianati mereka. Dalam lain perkataan, hubungan dengan cucu cicit Rasulullah SAW perlu sentiasa dipelihara dan diberi perhatian khusus kerana itu merupakan sebahagian dari tuntutan agama Islam.

Di antara hak-hak Ahlul Bait ialah hak ke atas harta ghanimah (harta rampasan perang), hak untuk diselawati, hak untuk dicintai, diutamakan dan dijaga hubungan silaturrahim dengan mereka.
Hak Ahlul Bait terhadap seperlima dari harta ghanimah telah difirmankan dengan jelas oleh Allah SWT: "Ketahuilah, sesungguhnya, apa sahaja yang kamu perolehi sebagai rampasan perang, maka seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnu sabil." (QS Al-Anfal: 41)

Selain itu, Ahlul Bait juga berhak memperolehi ucapan selawatdari umat Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW pada tahiyyat akhir solat: "Ya Allah, limpahkan selawat untuk Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau limpahkan selawat untuk Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarganya sebagaimana Engkau memberkati Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Mulia."

Rasulullah SAW pernah bersabda di dalam sepotong hadis dari Imam Malik rahimahullah yang berasal dari Nu'aim Al-Mujmar, sepertimana berikut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada para isteri dan anak-cucu keturunan beliau." Terdapat sebuah hadis daripada Ibnu Humaid As-Saidi yang bermaksud: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad, kepada isteri-isterinya, dan kepada anak-cucu keturunannya." Sebuah hadis lain pula menyebut: "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan Aal (Ahli-bait) Muhammad."

Ibnu Taimiyah rahimahullah mengemukakan suatu hadis yang menyentuh peringatan Rasulullah SAW kepada para sahabat Baginda: "Janganlah kalian berselawat untukku dengan Selawat Batra." Para sahabat bertanya "Ya Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan Selawat Batra?". Baginda menjawab :"Kalian mengucapkan: Ya Allah, limpahkan selawat kepada Muhammad, lalu kalian berhenti di situ! Ucapkanlah : "Ya Allah, limpahkanlah selawat kepada Muhammad dan kepada Aal Muhammad."

Kesimpulannya, Ahlul Bait Rasulullah SAW memperolehi hak untuk diselawati sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam dalam solat fardhu yang dikerjakan oleh umat Islam di seluruh dunia.
Ahlul Bait Rasulullah SAW juga diharamkan menerima zakat dan sedekah yang disebut sebagai kotoran harta manusia. Dari Abdul Muthalib ibnu Rab'ah ibnul Khariif, katanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya sedekah itu berasal dari kotoran harta manusia dan ia tidak dihalalkan bagi Muhammad mahupun bagi keluarga Muhammad." (HR Muslim)

Tentang hadis ini, Imam Nawawi memberikan penjelasan: "Kotoran manusia ertinya zakat membersihkan harta dan jiwa mereka". Allah SWT berfirman: "Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka." (QS At-Taubah : 103)

Zakat adalah pencuci kotoran. Ahlul Bait Rasulullah SAW tidak pernah mengambil zakat atau sedekah semasa Baginda masih hidup mahupun sesudah wafatnya. Ahlul Bait adalah diharamkan menerima zakat bagi membersihkan mereka serta meninggikan kedudukan mereka. Sabda Rasulullah SAW: "... Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, wahai Ahlul Bait dan mensucikan kamu sesuci-sucinya." (QS Al-Ahzab: 33)

Saidina Ali KW menemui Rasulullah SAW yang telah menghampar selembar selimut, lalu baginda duduk atasnya bersama Saidina Ali, Sayidatina Fatimah, Saidina Hasan dan Saidina Hussein. Kemudian Baginda bersabda : "Ya Allah, redhailah mereka sebagaimana aku redha kepada mereka." Rasulullah SAW pernah bersabda: "Yang paling aku cintai di antara ahlul-baitku adalah Al-Hasan dan Al-Hussein." (HR At-Tirmidzi) Rasulullah SAW juga pernah bersabda mengenai Saidina Hasan: "Ya Allah, sesungguhnya aku mencintainya, maka cintailah dia, dan cintailah siapa yang mencintainya."(HR Muslim)

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Belum sempurna keimanan seorang hamba Allah sebelum kecintaannya kepadaku melebihi kecintaannya kepada dirinya sendiri; sebelum kecintaannya kepada keturunanku melebihi kecintaannya kepada keturunannya sendiri; sebelum kecintaannya kepada ahli-baitku melebihi kecintaannya kepada keluarganya sendiri, dan sebelum kecintaannya kepada zatku melebihi kecintaannya kepada zatnya sendiri." (HR Thabrani)

Daripada Saidina Ali KW bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa mencintai kedua orang ini (yakni Saidina Hasan & Saidina Hussein) dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat." (HR Ahmad dan At-Tirmidzi)

Ibnu Abbas RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Cintailah Allah atas kenikmatan yang diberikanNya kepadamu sekelian dan cintailah aku dengan mencintai Allah dan cintailah Ahlul Baitku kerana mencintaiku." Dalam sebuah hadis dari Saidina Ali KW, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Di antara kalian yang paling mantap berjalan di atas sirath ialah yang paling besar kecintaannya kepada Ahlul Baitku dan para sahabatku."

Jabir RA mendengar Saidina Umar Al-Khattab RA berkata kepada orang ramai ketika beliau mengahwini Ummu Kalthum binti Ali bin Abu Talib : "Tidakkah kalian mengucapkan selamat untukku? Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Semua sabab (kerabat) dan nasab (salasilah keturunan) akan terputus pada hari kiamat kelak kecuali kerabat dan nasabku." (HR At-Thabrani)

Di dalam hadis Thaqalain, yang diriwayatkan oleh Zaid bin Al-Arqam RA menyebut: "Kutinggalkan di tengah kalian dua bekal. (Yang pertama): Kitabullah, di dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya terang. Hendaklah kalian ambil dan berpegang teguh padanya dan (kedua), Ahli Baitku. Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku! Kalian kuingatkan kepada Allah mengenai Ahli-Baitku!"

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Apabila bintang-bintang lenyap, lenyaplah penghuni langit; dan apabila ahli-baitku lenyap, lenyap pula penghuni bumi." (HR Ahmad)

Sebuah hadis riwayat Al Hakim dan disahihkan oleh Bukhari & Muslim menyebut: "Bintang-bintang merupakan (sarana) keselamatan bagi penghuni bumi (yang sedang belayar) dari bahaya tenggelam/karam sedangkan Ahlul Baitku sarana keselamatan bagi umatku dari perselisihan (dalam agama). Bila ada satu kabilah Arab yang membelakangi Ahlul Baitku, mereka akan berselisih, kemudian menjadi kelompok iblis."

Daripada Abu Dzar, menyatakan: "Ahlul Baitku di tengah kalian ibarat bahtera Nuh. Siapa yang menaikinya ia selamat dan siapa yang ketinggalan ia binasa." (HR Ahmad, Al-Hakim, ibnu Jarir dan At-Thabrani)

Abu Dzar Al-Ghifari RA mengatakan bahawa ia mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Jadikanlah Ahlul Baitku bagi kalian sebagai kepala bagi jasad dan sebagai dua belah mata bagi kepala."

Jelas sekali bahawa keutamaan Ahlul Bait Rasulullah SAW diperakui dalam hukum syarak mengikut hadis2 mutawatir yang tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Keutamaan ini diperkukuhkan oleh hadis2 sahih bahawa keturunan Baginda, Imam Mahdi, akan menjadi khalifah di akhir zaman.

Rasulullah SAW telah bersabda: "Dunia tidak akan berakhir sehingga bangsa Arab dipimpin oleh seorang lelaki dari keluargaku yang namanya menyerupai namaku." (HR At-Tirmidzi)

Dari Tufail dari Saidina Ali KW, Nabi SAW bersabda: "Jika dunia ini hanya tinggal sehari sahaja, nescaya Allah akan bangkitkan seorang lelaki dari keluargaku yang akan memenuhi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman."

Di dalam menjaga perhubungan dengan Ahlul Bait, Abu Hurairah RA berkata bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Orang yang terbaik di antara kalian ialah orang yang terbaik sikapnya terhadap keluargaku setelah aku tiada."

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Empat golongan yang akan memperolehi syafaatku pada hari kiamat: Orang yang menghormati keturunanku, orang yang memenuhi keperluan mereka, orang yang berusaha membantu urusan mereka pada saat diperlukan, dan orang yang mencintai mereka dengan hati dan lidahnya." (HR Ahmad)

Daripada Abdullah ibnu Umar RA yang mengatakan: "Allah SWT menetapkan tiga `hurumat' (hal-hal yang wajib dihormati dan tidak boleh dilanggar). Barangsiapa menjaga baik-baik ketiga-tiga `hurumat' itu, Allah akan menjaga urusan agamanya dan keduniaannya. Dan barangsiapa tidak mengendahkannya, Allah tidak akan mengendahkan sesuatu baginya. Para sahabat bertanya: Apa tiga hurumat itu, ya Rasulullah? Baginda menjawab: Hurumatul Islam, hurumatku dan hurumat kerabatku." (HR At-Thabrani)

Dari Abu Said Al-Khudri RA, katanya, telah bersabda Rasulullah SAW: "Demi jiwaku yang berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seseorang tidak membenci kami Ahlul Bait, melainkan Allah akan memasukkan mereka ke dalam neraka." (HR Al-Hakim)

Ketika puteri Abu Jahal meninggalkan orang tuanya untuk hijrah ke Madinah, berkata beberapa orang Muslimin kepadanya: "Hijrahmu ke Madinah tiada gunanya, kerana orang tuamu pasti akan menjadi umpan neraka". Ketika anak perempuan itu melaporkan cemuhan orang terhadap dirinya itu kepada Rasulullah SAW, baginda lalu bersabda: "Kenapa sampai ada orang yang mahu mengganggu diriku dengan mencerca nasab dan keturunan kerabatku? Sungguhlah, siapa yang mengganggu kerabat dan nasabku bererti ia menggangguku, dan siapa yang menggangguku ia mengganggu Allah."

Daripada Jabir ibnu Abdullah RA yang menceritakan beliau sendiri mendengar dari Rasulullah SAW dalam suatu khutbah antara lain menyebut: "Hai manusia, barangsiapa membenci kami, Ahlul Bait, pada Hari Kiamat Allah akan menggiringnya sebagai orang Yahudi." (HR At-Thabrani)

Rasulullah SWT telah menegaskan dalam sabda Baginda: "Siapa yang membenci Ahlul Bait, ia adalah seorang munafik." (HR Ahmad)

Wallahua'lam.

AULIA ALLAH: SYEIKH IBNU ATHAILLAH


PENDAHULUAN

Ibn Athaillah Askandary yang hidup pada zaman Dinasti Mamluk itu dapat merasai keadaan dan suasana kestabilan politik pada ketika itu. Oleh yang demikian tidak hairan jika beliau dapat memanfaatkan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya untuk mencapai cita-cita beliau dalam bidang ilmu pengetahuan, khasnya ilmu pengetahuan agama.

Kebudayaan dan tamadun Islam yang telah dibina pada zaman Rasulullah SAW berkembang dengan pesatnya pada zaman Kerajaan Bani Umayyah dan Kerajaan Bani Abbasiah itu bukan sekadar mempengaruhi kehidupan umat Islam seluruh pelusuk dunia malahan orang Kristian di Benua Eropah juga telah bangun kerana kejutan kebudayaan dan ketamadunan Islam. Situasi ini disebabkan pada abad ke-7 Hijrah atau ke-13 Masehi, bangsa Eropah telah terlibat secara khusus dalam peperangan Salib. Hubungan mereka dengan tentera-tentera Islam dalam peperangan tersebut telah meninggalkan kesan yang besar terhadap ketamadunan bangsa Eropah.

Di Mesir sendiri pada akhir abad ke-7 Hijrah, tidak dapat dinafikan ia telah menjadi sebuah pusat kebudayaan dan tamadun Islam yang setanding pada ketika itu dengan Kota Baghdad dan beberapa kota yang lain di Sepanyol. Beberapa kota besar di Mesir seperti Kaherah, Iskandariah dan lain-lainnya telah menjadi pusat perkembangan kebudayaan dan tamadun Islam pada masa itu.

PENDIDIKAN 

Walaupun para sarjana yang pernah membuat kajian tentang biografinya menegaskan bahawa maklumat perkembangan awal hidupnya terlalu sedikit yang diperolehi, namun secara logiknya dapat kita mengandaikan bahawa beliau pada peringkat awalnya adalah mendapat didikan dan asuhan agama seperti juga kanak-kanak lain pada masa itu. Berdasarkan kepada satu petunjuk bahawa keluarga beliau adalah ahli agama yang bijak dan terkenal pada masa itu.

Sebagai seorang kanak-kanak yang terdedah dengan pengajian tradisional Islam, beliau mempelajari ilmu yang berkaitan dengan Fardhu ’Ain, membaca, menulis, menghafaz al-Quran dan sebagainya lagi. Apabila umurnya meningkat remaja, beliau telah mempelajari berbagai cabang ilmu Islam yang pada lazimnya dipelajari oleh para pemuda pada masa itu. Sesuai dengan zaman tersebut, Kota Iskandariah merupakan salah sebuah pusat kegiatan ilmu pengetahuan yang penting di Mesir sehingga menjadi tumpuan para ilmuan pada ketika itu.

Antara bidang ilmu yang berkembang pesat di Kota Iskandariah pada ketika itu ialah ilmu fiqh, ilmu hadis, ilmu usuluddin dan tidak ketinggalan juga dengan ilmu tasawuf . Ibn Ataillah mempelajari ilmu-ilmu zahir seperti feqah, tafsir, hadis, falsafah dan lainnya dari sebuah madrasah fiqh mazhab Maliki yang terkenal di Iskandariah pada masa itu. Madrasah ini diasaskan oleh oleh seorang ulama yang terkenal dalam Mazhab Maliki iaitu Syeikh Abu Hassan al-Ibyari yang meninggal dunia pada pada tahun 618H.

Ibn Ataillah sangat bertuah kerana sempat berguru dengan ramai ulama terkenal. Dalam ilmu fiqh, beliau berguru dengan seorang ahli fiqh terkenal bernama Syeikh Nasir al-Din Ibn Munir. Manakala dalam bidang ilmu hadis pula beliau berguru dengan Syeikh Shihab al-Din Abu Ma’ali yang terkenal dengan gelaran Syeikh al-Abraquhi. Dalam bidang nahu dan tata bahasa Arab, beliau berguru dengan Syeikh al-Muhyi al-Mazuni, seorang ulama yang setaraf dengan Syeikh Ibn al-Nuhas yang terkenal di Mesir pada ketika itu. Ibn Ataillah juga pernah berguru dengan al-Syeikh al-Imam al-Syaraf al-Din al-Dimyati yang hidup antara tahun 613-705 H. Manakala dalam bidang usul fiqh, tauhid, falsafah, dan mantiq pula, beliau pernah berguru dengan Syeikh Muhammad Ibn Mahmud yang terkenal dengan gelaran Shamsuddin al-Isbahaniy.

ULAMA FIQH MAZHAB AL-MALIKI 

Berdasarkan kepada beberapa fakta yang berkaitan dengan kegiatan beliau seperti yang telah dihuraikan di atas, maka tidak menghairankan bahawa Ibn Ataillah semasa mudanya sudah menjadi seorang ahli feqah yang terkenal dalam mazhab Maliki, sebelum menceburkan diri dalam ilmu dan amalan tasawuf.

Semasa bergiat aktif dalam bidang fiqh, beliau banyak memberikan fatwa tentang hukum hakam kepada orang ramai. Seperti ulama-ulama lain dalam bidang fiqh, beliau sering meragui kebenaran ilmu dan amalan tasawuf. Beliau sering mempertikaikan kedudukan ulama tasawuf dan para pengamalnya. Tidak salah jika dikatakan Ibn Ataillah adalah salah seorang yang lantang menentang ilmu tasawuf, khasnya ilmu tasawuf yang dipelopori oleh Tariqah al-Syadziliyyah.

MENJADI ULAMA TASAWUF

Allah SWT telah menentukan bahawa Ibn Ataillah menjadi seorang tokoh ilmu tasawuf yang masyhur. Keraguannya terhadap kebenaran ilmu tasawuf amnya, dan terhadap Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi khasnya, telah bertukar menjadi keyakinan yang teguh dan kental. Perubahan tersebut adalah disebabkan oleh desakan batinnya yang sentiasa ingin mengetahui kemungkinan perkara yang ditentang selama ini dan dianggap sebagai salah itu adalah benar.

Sejak pertemuan pertama tersebut, beliau terus mendapat didikan serta asuhan dari gurunya, al-Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi dalam ilmu dan amalan tasawuf khasnya Tariqat al-Syadziliyyah. Beliau adalah murid kesayangan Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Hubungan mereka berdua sentiasa rapat sesuai dengan syarat dan prinsip-prinsip tariqah. Beliau mendapat didikan serta asuhan dari Syeikhnya selama kira-kira 12 tahun. Dalam masa yang singkat Ibn Ataillah telah berupaya mengarang kitabnya yang tersohor dalam ilmu tasawuf iaitu 'Al-Hikam' semasa al-Syeikh Abu al-’Abbas masih hidup dan al-Hikam mendapat pengesahan dari Syeikhnya.

Satu babak baru dan mencabar dalam sejarah kehidupan Ibn Ataillah bermula apabila beliau berpindah ke Kaherah. Di sini beliau menyebarkan ilmu pengetahuannya, baik yang zahir mahu pun ilmu batin iaitu ilmu tasawuf. Tentunya beliau menjadi orang penting (mursyid) dalam Tariqat Syadziliyyah, terutamanya setelah kewafatan gurunya Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi. Beliau bukan sahaja menyebarkan ilmu tersebut kepada orang ramai di tempat-tempat awam tetapi juga berkesempatan menjadi pensyarah di Universiti al-Azhar dan di Madrasah al-Mansuriyyah.

DIDIKAN DAN ASUHAN 

Pengajaran dan asuhannya mendapat sambutan yang baik dari semua lapisan masyarakat Mesir, khasnya di Kota Kaherah. Beberapa tokoh terkenal merekodkan bagaimana keadaan dan suasana sambutan orang ramai terhadap pengajaran dan asuhan beliau itu. Antaranya ialah Ibn Hajar al-’Asqalany menyebutkan:
"Ibn Ataillah Askandary itu bersyarah dengan kata-kata yang melunakkan hati, di atas sebuah kerusi, di Universiti al-Azhar. Beliau menyulamkan ajaran ahli tasawuf dengan ajaran angkatan salaf dan kehalusan ilmu Islam, maka ramailah para pengikutnya.”

Ibn Ataillah berperanan penting meneruskan kesinambungan pengajaran dan penyebaran, asuhan dan didikan Islam khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf Tariqah al-Syadziliyyah. Malahan menurut catatan Dr Al-Taftazaniy, beliau sebenarnya berperanan penting mempopularkan gerakan tariqah-tariqah pada zamannya dengan mengajak orang ramai mengikuti Tariqah al-Syadziliyyah selepas ketiadaan syeikhnya.

Malahan lebih jauh dari itu, Dr. Al-Taftazaniy berpendapat bahawa Ibn Ataillah adalah sebagai contoh yang ulung dalam bidang tasawuf di Mesir di akhir kurun ke-7 Hijrah dan pemimpin yang penting dalam pembentukan tariqat dan tasawuf aliran Syadziliyyah. Dengan ketokohan tersebut, beliau dapat mempertahankan dan menangkis tohmahan yang ditujukan oleh golongan yang mempertikaikan ajaran tasawuf ke atas pengamal tariqat tasawuf khasnya Tariqat al-Syadziliyyah.

Hasil kesungguhan dan penat lelah Ibn Ataillah dalam usaha mendidik dan mengasuh murid-muridnya selama kira-kira 23 atau 24 tahun di Kaherah, maka lahirlah beberapa orang muridnya yang terkenal dalam usaha menyambung dan menyebar, mendidik dan mengasuh orang ramai dalam ilmu dan amalan Tariqah al-Syadziliyyah. Antara murid-muridnya yang terkenal ialah Syeikh Taqiy al-Din al-Subkiy (w.756H), ayah kepada Taj al-Din al-Subkiy, pengarang kitab Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra (w.771H), Syeikh Daud Ibn ’Umar Ibn Ibrahim al-Syadziliy terkenal dengan gelaran Ibn Bakhula, pengarang kitab al-Lata’if al-Mardiyyah dan al Syeikh Abu al-Abbas Ahmad Ibn Milaq al-Iskandari al-Usuliy (w.749 H).

TULISAN

Pengajaran dan asuhan yang dilakukan oleh Ibn Ataillah bukan sekadar lisan dan hal semata-mata, tetapi usaha tersebut meliputi juga dalam bidang penulisan. Selain dari murid-murid yang ramai, beliau juga meninggalkan kepada generasi kemudian, di Mesir khasnya dan bagi rakyat Malaysia amnya, karya-karya berharga dalam bidang ilmu pengetahuan khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf. Antara hasil karya Ibn Ataillah yang berupa kitab dan risalah adalah:
1- Al-Hikam (Kitab yang mengandungi adab-adab dalam ilmu tariqah dan tasawuf, ibadah, tawhid, zikrullah, maqamat, dan ahwal dan sebagainya)
2- Al-Munajat (Sebuah risalah kecil yang mengandungi doa-doa. Risalah ini menurut Dr. al-Taftazaniy disusun oleh Ibn Ataillah ketika beliau mengarang dan menyusun kitabnya al-Hikam)
3- Al-Wasiyyah (Sebuah risalah kecil mengandungi nasihat-nasihat yang ditujukan kepada para sahabat dan anak muridnya di Iskandariah. Al-Wasiyyah boleh didapati pada akhir kitab Lata’if al-Minan)
4- Al-Tanwer fi Isqat al-Tadbir (Kitab ini mengandungi ajaran yang berkait dengan Tauhid Rububiyyah)
5- Lata’if al-Minan (Kitab ini mengandungi biografi atau manaqib gurunya, Syeikh Abu al-’Abbas al-Mursi)
6- Taj al-’Arus al-Hawi li Tahdhib al-Nufus (Kitab ini mengandungi nasihat dan panduan bagi ahli tasawuf, khasnya mengenai cara-cara mendapatkan tazkiyyat al-nafs)
7- Al-Quds al-Mujarrad fi Ma’rifat al-Ism al-Mufarrad (Kitab ini mebicarakan tentang zat Allah SWT, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan af’al-Nya dari sudut ilmu kalam dan pengalaman dhauqiyyah sufi)

KESIMPULAN

Ibn Ataillah Askandary adalah seorang tokoh yang terkenal di zamannya. Pengorbanan yang dilakukannya dalam bidang pendidikan dan asuhan telah melahirkan ramai golongan ulama terkemuka yang meneruskan kesinambungan budaya intelektual pada zaman berikutnya. Tidak ketinggalan juga dengan usaha-usaha yang telah dilakukan oleh beliau menerusi tulisannya khasnya dalam ilmu dan amalan tasawuf yang telah memberikan kesan yang sangat mendalam dalam hubungan dua hala dari sudut budaya dan ilmu di kalangan rakyat Malaysia sejak sekian lama.

Wallahua'lam.


Wednesday, September 28, 2011

AULIA ALLAH: AL-IMAM AL-HABIB ABDULLAH BIN ALWI AL-HADDAD


Beliau bernama Abdullah bin Alawi bin Muhammad bin Ali Al-Tarimi Al-Haddad Al-Husaini Al-Yamani. Beliau (rahimahullah) dilahirkan di Subir sebuah perkampungan berhampiran kota Tarim di Wadi Hadhramaut, selatan negeri Yaman pada hari Ahad 5 haribulan Safar tahun 1044 hijriah bersamaan 30 haribulan Julai tahun 1634 Masehi. Al-Habib telah diasuh dan ditarbiahkan di Kota Tarim. Ketika beliau meningkat umur empat tahun, Al-Habib dijangkiti penyakit cacar yang mengakibatkan kehilangan daya penglihatan. Walaupun demikian, Allah yang Maha Agong lagi Mulia telah menggantikan kepada Al-Habib dengan mata hati (cahaya ilmu dan pengetahuan serta keyakinan dan wilayah). Berasaskan kurniaan ini, Al-Habib telah berusaha dengan penuh dedikasi dan kegigihan menceduk ilmu dari sejumlah besar para ulama’ di Yaman. Cinta beliau terhadap ilmu dan para ulama’ menghasilkan kebolehan menguasai ajaran para ahli tahkik (orang yang mengenali Allah dengan ‘ainul-yakeen serta hakkul-yakeen). Semenjak kecil lagi beliau memaparkan kekuatan usaha ibadat dan kerajinan memuntut ilmu. 


Al-Habib pernah berkata “ketika aku masih kecil, aku telah berusaha bersungguh-sungguh untuk beribadat dan melaksanakan pelbagai mujahadah yang lainnya, sehingga ditegur oleh nindaku yang solehah bernama Salma binti Said Al-Wali Omar Ba’Alawi, supaya menjaga diriku. Dia sering berkata demikian jika dikira ibadat serta mujahadah yang aku usahakan dianggap terlalu kuat dan banyak. Sebaliknya aku telah banyak meninggalkan mujahadah semenjak permulaan perjalanan ini semata-mata memelihara hati kedua ibubapaku yang amat prihatin terhadap keadaanku”. Walaupun Al-Habib (radhiAllahu ‘anhu) sering keluar ke kawasan sekitarnya dan perkampungan di sekeliling Tarim, beliau berkata “aku lebih seronok bersendirian demi kerana Allah kerana alangkah ne’matnya kelazatan (al-uns) bersama dengan Allah”. Pada permulaan perjalanan hidup Al-Habib, beliau sentiasa menyusuri negerinya untuk bertemu para solihin, menziarahi pusara para ulama’ dan auliya’. Pada masa beliau berada di perkampungannya, beliau sering duduk di sudut ‘Masjid Al-Hijriah’ dan pada waktu malamnya sering bersolat bergiliran di setiap masjid dalam kota Tarim. Sesungguhnya inilah yang membuka hati beliau semenjak kecil lagi. Al-Habib sering membaca Surah Yaasin yang mempengaruhi jiwanya dan menyebabkan beliau menitiskan air mata yang begitu banyak. Keadaan demikian sering mengakibatkan ketidakmampuannya membaca surah yang mulia ini. Inilah yang mendorong Sayyed Abdullah Bilfagih menjelaskan tentang Al-Habib dengan katanya “Disinilah futuh (pembukaan) bagi Al-Habib”. 

AKHLAK DAN BUDI PEKERTI 

Al-Imam Al-Haddad (rahimahullah) memiliki perwatakan badan yang tinggi, berdada bidang, tidak terlalu gempal, berkulit putih, sangat berhaibah dan tidak pula di wajahnya kesan mahupun parut cacar. 

Wajahnya sentiasa manis dan menggembirakan orang lain di dalam majlisnya. Ketawanya sekadar senyuman manis; apabila beliau gembira dan girang, wajahnya bercahaya bagaikan bulan. Majlis kendalian beliau sentiasa tenang dan penuh kehormatan sehinggakan tidak terdapat hadhirin berbicara mahupun bergerak keterlaluan bagaikan terletak seekor burung di atas kepala mereka. 

Mereka yang menghadhiri ke majlis Al-Habib bagaikan terlupa kehidupan dunia bahkan terkadang Si-lapar lupa hal kelaparannya; Si-sakit hilang sakitnya; Si-demam sembuh dari demamnya. Ini dibuktikan apabila tiada seorang pun yang yang sanggup meninggalkan majlisnya. 

Al-Imam sentiasa berbicara dengan orang lain menurut kadar akal mereka dan sentiasa memberi hak yang sesuai dengan taraf kedudukan masing-masing. Sehinggakan apabila dikunjungi pembesar, beliau memberi haknya sebagai pembesar; kiranya didatangi orang lemah, dilayani dengan penuh mulia dan dijaga hatinya. Apatah lagi kepada Si-miskin. 

Beliau amat mencintai para penuntut ilmu dan mereka yang gemar kepada alam akhirat. Al-Habib tidak pernah jemu terhadap ahli-ahli majlisnya bahkan sentiasa diutamakan mereka dengan kaseh sayang serta penuh rahmah; tanpa melalaikan beliau dari mengingati Allah walau sedetik. Beliau pernah menegaskan “Tiada seorang pun yang berada dimajlisku mengganguku dari mengingati Allah”. 

Majlis Al-Imam sentiasa dipenuhi dengan pembacaan kitab-kitab yang bermanfaat, perbincangan dalam soal keagamaan sehingga para hadhirin sama ada yang alim ataupun jahil tidak akan berbicara perkara yang mengakibatkan dosa seperti mengumpat ataupun mencaci. Bahkan tidak terdapat juga perbicaraan kosong yang tidak menghasilkan faedah. Apa yang ditutur hanyalah zikir, diskusi keagamaan, nasihat untuk muslimin, serta rayuan kepada mereka dan selainnya supaya beramal soleh. Inilah yang ditegaskan oleh beliau “Tiada seorang pun yang patut menyoal hal keduniaan atau menyebut tentangnya kerana yang demikian adalah tidak wajar; sewajibnya masa diperuntuk sepenuhnya untuk akhirat sahaja. Silalah bincang perihal keduniaan dengan selain dariku.” 

Al-Habib (rahimahullah) adalah contoh bagi insan dalam soal perbicaraan mahupun amalan; mencerminkan akhlak junjungan mulia dan tabiat Al-Muhammadiah yang mengalir dalam hidup beliau. Beliau memiliki semangat yang tinggi dan azam yang kuat dalam hal keagamaan. Al-Imam juga sentiasa menangani sebarang urusan dengan penuh keadilan dengan menghindari pujian atau keutamaan dari oramg lain; bahkan beliau sentiasa mempercepatkan segala tugasnya tanpa membuang masa. Beliau bersifat mulia dan pemurah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan. Ciri inilah menyebabkan ramai orang dari pelusuk kampung sering berbuka puasa bersama beliau di rumahnya dengan hidangan yang tidak pernah putus semata mata mencari barakah Al-Imam. Tidak terputus pengunjung bertamu dengan beliau pada bulan mulia ini di rumah perkampungan beliau di Al-Hawi. 

Al-Imam menyatakan “Sesuap makanan yang dihadiahkan atau disedekahkan mampu menolak kesengsaraan”. Katanya lagi “Kiranya ditangan kita ada kemampuan, nescaya segala keperluan fakir miskin dipenuhi, sesungguhnya permulaan agama ini tidak akan terdiri melainkan dengan kelemahan Muslimin”. 

Beliau adalah seorang yang memiliki hati yang amat suci, sentiasa sabar terhadap sikap buruk dari yang selainnya serta tidak pernah merasa marah. Kalaupun ia memarahi, bukan kerana peribadi seseorang tetapi sebab amalan mungkarnya yang telah membuat Al-Imam benar-benar marah. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Habib “Adapun segala kesalahan berkait dengan hak aku, aku telah maafkan; tetapi hak Allah sesungguhnya tidak akan dimaafkan”. 

Al-Imam amatlah menegah dari mendoa’ agar keburukan dilanda orang yang menzalimi mereka. Sehingga bersama beliau terdapat seorang pembantu yang terkadangkala melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemarahan Al-Imam. Namun beliau menahan marahnya; bahkan kepada si-Pembantu itu diberi hadiah oleh Al-Habib untuk meredakan rasa marah beliau sehinggakan pembantunya berkata: “alangkah baiknya jika Al-Imam sentiasa memarahiku”. 

Segala pengurusan hidupnya berlandaskan sunnah; kehidupannya penuh dengan keilmuan ditambah pula dengan sifat wara’. Apabila beliau memberi upah dan sewa sentiasa dengan jumlah yang lebih dari asal tanpa diminta. Kesenangannya adalah membina dan mengimarahkan masjid. Di Nuwaidarah dibinanya masjid bernama Al-Awwabin begitu juga, Masjid Ba-Alawi di Seiyoun, Masjid Al-Abrar di As-Sabir, Masjid Al-Fatah di Al-Hawi, Masjid Al-Abdal di Shibam, Masjid Al-Asrar di Madudah dan banyak lagi. 

Diantara sifat Al-Imam termasuk tawaadu’ (merendah diri). Ini terselah pada kata-katanya, syair-syairnya dan tulisannya. Al-Imam pernah mengutusi Al-Habib Ali bin Abdullah Al-Aidarus. “Doailah untuk saudaramu ini yang lemah semoga diampun Allah…” 

IBADAH DAN MUJAHADAH 

Tiada siapa yang pernah menyatakan Al-Imam bersolat walau satu waktu bersendirian, atau tidak solat di awal waktu, sembahyang dalam situasi yang tergapah-gapah, atau meninggalkan qiamullail. Diantara sifat mulianya Al-Imam ialah tidak berbicara ketika menunggu waktu solat dan amat marah jika ada yang cuba berkata-kata di waktu itu. Bahkan beliau menegahnya serta memberi amaran kepada sahabatnya dari menegurnya ketika waktu tersebut. Inilah yang ditegaskan oleh Al-Imam dengan katanya: “Kami keluar dengan penuh menghadhirkan diri dan meninggalkan segala kerunsingan”. 

Dan tegasnya lagi: “Kami tidak bercadang untuk melaksanakan sebarang solat sunat An-Nawaafil (solat sebelum dan selepas sembahyang fardhu) kecuali setelah hati kami benar-benar hadhir dan iqbal (menuju) kepada Allah”. 

Al-Imam amat memeliharai amalan solat Ar-Rawaatib. Doa-doa serta wirid-wiridnya yang ma’thur dari amalan Raul S.A.W. termasuk mendirikan solat Ad-Dhuha sebanyak lapan rakaat dan solat Al-Isyraq sebanyak empat rakaat sebelumnya, solat Al-Awwaabin sebanyak dua puluh rakaat selepas sunat maghrib; dimana Al-Imam menyempurnakan empat rakaat sebelum setiap salam. Di waktu subuh pada hari Jumaat, Al-Imam berjemaah solat Fajar di masjid Al-Jame’ seterusnya beri’tiqaf sehingga solat Jumaat demi mendapat keutamaan berawal-awalan untuk solat tersebut. 

Al-Imam juga amat sedikit tidur, sekadar merehatkan diri sahaja. Kebiasaan Al-Imam melambatkan solat witir sehingga hampir fajar; ini disebabkan Al-Imam tidur sedikit (qailulah) selepas solat-solat qiamullail. Kemudian barulah berwudu’ untuk solat witir sebelum subuh. Beliau sentiasa berzikir seumpama ‘La ila ha illallah’ yang terlalu banyak jumlahnya sehinggalah tidak pernah berhenti; Al-Imam membiasakan dirinya dengan ini walaupun diundang perbualan dengan sesiapa. 

Al-Imam juga memperbanyakkan puasa, terutamanya pada hari yang diutamakan iaitu Isnin dan Khamis, Ayyaamul Baidh (hari ke 13, 14 dan 15 tiap-tiap bulan), hari ‘Asyura; hari ‘Arafah, enam hari dalam bulan Syawwal; sehinggalah terhentinya amalan ini apabila Al-Imam sudah berumur dan lemah. 

Adapun pada bulan Ramadhan, Al-Imam telah menjelaskan kepada para sahabatnya “Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan amal, perkurangkanlah/tinggalkan sementara ilmu semata-mata untuk beribadah dalam bulan ini”. Seterusnya dapat dilihat orang-orang yang ramai mengurangan kelas-kelas ilmu kecuali selepas Asar, sebagai peringatan beliau kepada sahabat-sahabat yang utamakan amal bersungguh-sungguh dan membersihkan dalaman (batin). 

Walaubagaimanapun Al-Imam tidak pernah menunjuk-nunjukkan amalnya kecuali keadaan memaksakan seperti supaya ianya dijadikan tauladan kepada yang lain. Kata Al-Imam: “tidak aku tonjolkan amalan ini dengan sengaja, walaupun itu Alhamdulillah aku tidak bimbang dari sifat riya’ (disebabkan orang mengetahui amalan aku). Ingatlah sebagaimana Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq menyatakan tentang perkara ini berlandaskan firman Allah (yang bermaksud) “Sama sekali aku tidak memuji diri ini dengan kebaikan, maka ketahuilah sesungguhnya inilah yang mendorongkannya kepada perbuatan buruk”. 

Al-Imam juga telah menegaskan: “sesungguhnya aku telah melaksanakan kesemua sunnah Nabi dan tidak ada sunnah yang ditinggalkan, kecuali rambut”. Akhirnya Al-Imam mengekalkan rambut hingga ke telinganya sebagai yang dilaksanakan oleh Rasul S.A.W. 

Al-Imam juga sering menziarahi Nabi Allah Hud, selawat dan salam keatasnya dan Nabi kita; dimana makam Nabi Hud terletak di Wadi Hadramaut. Sebanyak tiga puluh kali Al-Imam telah menziarahinya, kesemuanya pada bulan Sya’ban. Al-Imam telah pergi berjalan kaki bersama-sama sanak saudaranya, kaya dan miskin. Kebiasaannya Al-Imam berada dimaqam itu selalunya di waktu maghrib dari 12 haribulan hingga 15 haribulan Sya’ban. Dalam perjalanan ke sana, Al-Imam sering singgah di Ainat untuk menziarah As Syeikh Al-Kabir Abu Bakar bin Salim dan As-Syeikh Ahmad bin Al-Faqih Al-Muqaddam. Al-Imam juga menziarah maqam Basyar selepas solat Asar setiap hari Jumaat dan hari Selasa. Al-Imam menjelaskan: “pada mulanya, kebiasaan kami menziarahi Basyar ialah pada setiap hari Jumaat, tetapi setelah diantara sahabat kami bertemu Al-Faqih Al-Muqaddam dalam mimpinya dimana dia berkata: katakan kepada Al-Sayyed Abdullah Al-Haddad: “Ziarah Basyar pada hari Jumaat sahaja tidak memadai”; maka berdasarkan itu kami menziarahi juga Basyar pada hari Selasa juga”. Sebenarnya sebelum Allah menzahirkan kemuliaannya dan orang ramai berpusu-pusu kepadanya, memanglah Al-Habib menziarahi Basyar setiap hari Selasa. 

Semoga Allah merahmati Al-Imam dan menempatkan beliau di Syurga, dan dihimpunkan kita bersamanya dengan berkat Saiyidina Muhammad S.A.W., keluarganya dan sahabatnya serta selawat keatas Nabi Muhammad yang mulia serta keluarga dan sahabatnya. 

(Kata-kata diatas ini merupakan sedikit petikan yang diterjemahkan dari bahasa Arab dari kajian dan tulisan Ustaz Haji Muhammad Nooruddin Merbau Al-Banjari dari Kedah. Semoga Allah berkati beliau. InsyaAllah sambungan riwayat Al-Imam dapat dimuatkan dalam ruangan ini. 

Terjemahan ini adalah sebahagian dari juz kedua kitab “Hadiah Dari Imam Al-Haddad


SUMBER: alhawi.net

Tuesday, September 27, 2011

AULIA ALLAH: TOK KU PALOH


DALAM halaman Agama Utusan Malaysia keluaran Isnin lalu, nama Tok Ku Paloh ada disebutkan. Peranan penting ayah beliau, Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar di Terengganu, dilanjutkan pula oleh Tok Ku Paloh.
Beberapa riwayat tulisan yang terdahulu daripada ini, termasuk percakapan lisan, ada memperkatakan tentang sumbangan tersebut. Bagaimanapun, saya menemui beberapa dokumen yang menunjukkan Tok Ku Paloh bukan berpengaruh di Terengganu saja, tetapi juga di Patani.
Hubungan beliau sangat erat dengan Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu Kadi Jambu. Walau bagaimanapun, Haji Wan Ismail al-Fathani (lahir 2 Jamadilawal 1304 H/27 Januari 1887 M) dari segi perbandingan umur adalah peringkat cucu kepada Tok Ku Paloh (lahir 1233 H/1818 M).
Tahun lahir Tok Ku Paloh itu sama dengan tahun lahir Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (lahir 1233 H/1817 M). Beliau ini ialah datuk kepada Haji Wan Ismail al-Fathani. Hubungan antara Haji Wan Ismail al-Fathani, Kadi Jambu, dengan Tok Ku Paloh hanyalah kesinambungan hubungan yang terjalin sejak zaman datuknya itu, dan meneruskan hubungan antara Tok Ku Paloh dengan ayah beliau, iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani.
Darah perjuangan Tok Ku Paloh dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu tidak dapat dinafikan mempunyai kesan tersendiri dalam tubuh Syeikh Ahmad al-Fathani. Isu kemaslahatan Islam dan bangsa Melayu yang menghadapi pelbagai masalah penjajah pada zaman itu perlu dilihat dalam konteks hubungan antara Syeikh Ahmad al-Fathani, Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III, Terengganu.
Tok Ku Paloh dirahmati berumur panjang. Beliau meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun hijrah atau 100 tahun menurut tahun masihi.
Nama penuh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Saiyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang digelar dengan Engku Saiyid Seri Perdana, Saiyid Ahmad al-Aidrus digelar Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Saiyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tok Ku Tuan Dalam.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Tuan Embung Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik, Tuan Nik (Senik). Antara nama-nama tersebut, ramai yang memegang peranan penting dalam Kerajaan Terengganu tetapi nama yang paling masyhur ialah Tok Ku Paloh.
Pendidikan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berketurunan ‘Saiyid’. Oleh itu sudah menjadi tradisi keturunan itu untuk lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan Islam di Terengganu. Dapat dipastikan Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri.
Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung (lihat Utusan Malaysia, Isnin, 6 Mac 2006).
Saiyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu. Mereka juga sama-sama belajar dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani di Mekah.
Dalam artikel ini saya terpaksa menjawab satu e-mel dari Brunei Darussalam yang bertanyakan apakah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berketurunan Nabi Muhammad s.a.w.? Sepanjang dokumen yang ditemui ada tulisan meletakkan nama ‘Wan’ pada awal nama beliau. Ada saudara pupu saya di Mekah memberi maklumat bahawa beliau menemui satu catatan Syeikh Ismail al-Fathani (Pak De ‘El al-Fathani) bahawa ulama Patani itu juga berketurunan marga ‘al-Aidrus’.
Sejak dulu saya mengetahui ada catatan lain menyebut hal yang sama bahawa Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu juga termasuk marga ‘al-Aidrus’. Dengan keterangan ini bererti antara ulama Patani dengan ulama Terengganu yang diriwayatkan ini selain ada hubungan keilmuan mereka juga ada perhubungan nasab.
Perjuangan
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus (Tok Ku Paloh) melanjutkan pelajarannya di Mekah. Di sana beliau bersahabat dengan Syeikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani (kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu) dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Mekah ialah Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.
Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus setelah pulang dari Mekah memusatkan aktivitinya di Kampung Paloh, Terengganu. Menurut Muhammad Abu Bakar, Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani (Ulama Terengganu, hlm. 181). Diriwayatkan bahawa salah seorang murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III. Riwayat lain pula mengatakan antara muridnya yang terkenal dan menjadi pejuang antipenjajah ialah Haji Abdur Rahman Limbung dan Tok Janggut.
Tok Ku Paloh ialah ulama yang tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar.
Katanya: “Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan.
“ Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad.
“Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” (Ulama Terengganu, hlm. 184)
Daripada riwayat ini, kita dapat mengambil iktibar berdasarkan peristiwa dunia terkini bahawa ramai tokoh Islam menjadi pejuang Islam dan bangsanya, dan ramai pula yang menjadi pengkhianat. Afghanistan, Iraq, Palestin dan Lebanon menjadi sasaran bom yang dilancarkan oleh bangsa-bangsa bukan Islam. Ada ramai pejuang Islam di sana. Pengkhianat pun banyak. Bangsa kita, bangsa Melayu yang beragama Islam, patut mencontohi perjuangan bijak Tok Ku Paloh. Janganlah ada manusia Melayu yang khianat terhadap agama Islam dan bangsanya.
Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Sultan Terengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu.
Tok Ku Paloh wafat pada bulan Zulhijjah 1335 H/September 1917 M dan Sultan Zainal Abidin III mangkat pada 22 Safar 1337 H/26 November 1918 M. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.
Penulisan
Ahli sejarah, Datuk Misbaha ada menyebut bahawa risalah ‘Uqud ad-Durratain adalah karya Tok Ku Tuan Besar, berdasarkan cetakan tahun 1950 oleh ahli-ahli Al-Khair dan cetakan pada tahun 1978 oleh Yayasan Islam Terengganu (Pesaka, hlm. 91). Tetapi pada cetakan yang jauh lebih awal berupa selembaran dalam ukuran besar yang diberi judul Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain, ia merupakan karya Tok Ku Paloh. Tertulis pada cetakan itu, “Telah mengeluar dan mengecapkan terjemah ini oleh kita as-Saiyid Abdur Rahman bin Muhammad bin Zain bin Husein bin Mustafa al-Aidrus….”
Di bawah doa dalam risalah itu dinyatakan kalimat, “Tiada dibenarkan sekali-kali siapa-siapa mengecapkan terjemah ini melainkan dengan izin Muallifnya dan Multazimnya Ismail Fathani. Tercap kepada 22 Ramadan sanah 1335 (bersamaan dengan 11 Julai 1917 M).”
Yang dimaksudkan Ismail Fathani pada kalimat ini ialah Kadi Haji Wan Ismail bin Syeikh Ahmad al-Fathani. Risalah cetakan ini saya terima daripada salah seorang murid Haji Wan Ismail Fathani.
Beliau menjelaskan bahawa risalah itu diajarkan di Jambu, Patani secara hafalan. Orang yang menyerahkan risalah itu bernama Nik Wan Halimah yang berusia lebih kurang 78 tahun (Oktober 2000). Ketika beliau menyerahkan risalah itu kepada saya, beliau masih hafal apa yang termaktub dalam risalah itu.
Kemuncak penulisan Tok Ku Paloh yang sering diperkatakan orang ialah kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan. Sungguhpun kitab ini sangat terkenal dalam kalangan masyarakat sufi sekitar Terengganu, Kelantan dan Pahang namun ia belum dijumpai dalam bentuk cetakan.
Saya hanya sempat membaca tiga buah salinan manuskrip kitab itu. Ilmu yang terkandung di dalamnya adalah mengenai tasawuf.
Sebagaimana telah disebutkan, Tok Ku Paloh ialah seorang pejuang Islam dan bangsa. Beliau ialah penganut Thariqat Naqsyabandiyah.
Antara anak Tokku Paloh ialah Saiyid Aqil bin Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus. Beliau inilah yang bertanggungjawab mentashhih dan menerbitkan kitab nazam Kanz al-Ula karya datuknya, Tok Ku Tuan Besar, terbitan Mathba’ah al-Ahliyah Terengganu, 1347 H.

AULIA ALLAH: TOK PULAU MANIS


Tok Pulau Manis atau nama sebenarnya Syeikh Abdul Maalik dilahirkan Kampung Pauh, Hulu Terengganu pada tahun 1060H/1650M, berketurunan Sharif Mohammad, yang berasal dari Baghdad. Menerima pendidikan agama diperingkat awal dari kaum keluarganya sendiri.
Tok Pulau Manis kemudiannya belajar di Aceh yang digelar “Serambi Mekah. Adalah dipercayai beliau telah menerima pendidikan secara langsung dari ulama besar Acheh, Syeikh Abdul Rauf Singkel (1030-1050 / 1620-1693) yang juga seorang tokoh yang berusaha membawa kepada pengukuhan terhadap aliran al-Sunnah wal Jamaah di alam Melayu. Beliau telah menyalin kitab Tafsir Baydawi yang dikarang dalam Bahasa Melayu oleh Syeikh Abdul Rauf Singkel. Selanjutnya beliau menyambung pengajian di Mekah sekitar tahun 1680, ketika beliau dipercayai berumur 30 tahun.
Selama hampir satu dekad di Mekah, beliau telah berguru dengan ulama-ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim al-Kurani (1025-1011 / 1616-1690), yang juga menjadi guru kepada Syeikh Abdul Rauf Singkel, bersahabat dengan pelajar-pelajar yang seangkatan dan seperjuangan dengannya seperti Tuan Haji Mohd Salleh bin Omar al-Semarani dari Jawa, Dato Syed Abdullah dari Terengganu, Fakeh Abdul Kadir Palimbang, Fakeh Abdul Rahman Patani, Fakeh Abdul Samad Kedah dan Haji Mohamad Siantan dan mengajar apabila terdapat peluang berbuat demikian. Semasa berada di Mekah dan juga Madinah, Tok Pulau Manis telah memberi penumpuan kepada keilmuan tiga serangkai, iaitu ilmu-ilmu Fikah, Usuluddin dan Tasawuf disamping Tafsir, Hadis dan ilmu-ilmu bantu seperti nahu, saraf dan sebagainya.
Beliau mendalami Fikah al-Shafie dengan berguru kepada Syeikh Ibrahim al-Kurani yang telah menggantikan Ahmad Qushashi yang menjadi pengajar kepada pengikut Imam Shafie di sana. Bidang Usuluddin yang diikutinya pula adalah berdasarkan pendekatan Imam al-Asya’ari yang menjadi pegangan umum pengikut ahl-al Sunnah wal Jamaah, manakala bidang Tasawuf yang diceburinya pula adalah berdasarkan etika ubudiyah kepada pengajian Tasawuf.
Tok Pulau Manis memilih Tarekat Shazhiliyah yang diasaskan oleh Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili (M. 656/1258) yang berasal dari Maghribi. Beliau berkenalan dengan tarekat ini menerusi pengajiannya iaitu melalui karangan pendukung utama dari kalangan generasi ketiga aliran sufi iaitu Ibnu ‘Athaillah (M. 709/1309). Tulisan yang menarik minatnya itu ialah Al-Hikam disamping al-Tanwir fi Isqat al-Tadbir, Lata’if al Minan dan Taj al-Arus.
Pengajaran al-Syazili dan Ibnu ‘Athaillah dianggap lanjutan dari pendekatan Tasawuf al-Imam al-Ghazali dan kitab Ihya ‘Ulumuddin menjadi kitab penting bagi pengajaran bagi Syeikh Abu al-Hassan al-Syazili dan pendokong-pendokongnya. Sebagai seorang yang kesedaran tentang peri pentingnya mendalami ilmu Syariat disamping Usuluddin sebagai asas mendalami ilmu Tasawuf, Syeikh Abdul Malik sendiri, sebelum pemergiannya ke Tanah Suci sudah pun mendalami beberapa bidang ilmu tersebut.
Ilmuan yang menjadi rujukannya berjumlah tidak kurang dari 143 orang, diantara yang terpenting di kalangan mereka itu ialah Ibn ‘Athaillah dan Abu al-Hasan al-Syazili sendiri, Abu al-Abbas al-Mursi, Ibn Arabi, Abu Hafs Umar bin Muhammad bin Abd Allah al-Suhrawardi, Abu Turab al-Khashabi, Abu Yazid al-Bistami, Abu Talib al-Makki, Abu Hamid al-Gahzali, Abu al-Qasim al-Nasr Abadhi, Abu Bakar al-Shibli, Abu Nasr al-Sarrj, Ahmad al-Rifa’i, Ahmad Ibn Hanbal, iBn Abbad, Hassan Basari, Junayd al Baghdadi, Ahmad Zarruq, Shal bin Abdullah, Sirri al-Suqti, al-Sha’rani, Abd al-Salam bin Mashish dan Ma’ruf al-Karkhi. Selain itu, beliau juga banyak merujuk kitab Fusus al-Hikam oleh Ibnu Arabi, Qut al-Qulub oleh Abu Talib al-Makki, karya-karya al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhaj al-Abidin, al-Luma oleh Abu Nasar al-Sarraaj al-Tusi, alRi’ayat Li Huquq Allah dan Amal al-Qulub wa al-Jawarib oleh al-Harith al Mushasibi, Sharh terhadap Hikam berjudul Hikam Ibn ‘Athaillah atau Qurrat al-Ayn oleh Ahmad Zarruq dan Halat Ahl al Haqiqat Ma’a Allah oleh Ahmad al-Rifa’i.
Peranan Syeikh Abdul Malik sebagai pengajar di Mekah menyerupai penglibatan sebahagian penting ulama-ulama lain dari seluruh dunia yang menjadikan Tanah Suci sebagai pusat pendidikan. Pelajar-pelajar yang menjadi tumpuan beliau adalah mereka yang datang dari Tanah Jawi. Kedudukan Syeikh Abdul Malik di sini mempunyai persamaan dengan kedudukan ulama-ulama Jawi yang lain seperti Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Abdul Samad Palimbang, Syeikh Mohamad Nawawi al-Bentani dan Syeikh Mohamad Khatib bi Abdul Latif Minangkabau. Sebagai guru yang amat meminati Tasawuf beraliran etika Ubudiyah yang diperolehi oleh Imam al-Ghazali, beliau juga memilih mengajar dengan menggunakan karangan-karangan yang menjadikan hasil karya Hujjatul Islam itu. Kitab-kitab yang dimaksudkan itu termasuklah Ihya Ulumuddin. Matan Hikam Ibnu Ata’ul-Lah yang dianggap sebagai lanjutan dari pendekatan etika Ubudiyyah al-Imam al-Ghazali juga ternyata mendapat perhatian istimewa dari Syeikh Abdul Malik. Minat Syeikh Abdul Malik terhadap Matan Hikam diperkukuhkan lagi oleh permintaan sahabat-sahabatnya seperti terjelas dalam Hikam melayunya :
(Dan) sanya telah meminta akan daku setengah saudaraku yang salik bahawa menterjemakan aku akan dia dengan bahasa Jawi supaya memberi manfaat dengan dia segala orang yang mubtadi, maka ku perkenankan atas yang demikina itu dengan sekira-kira yang difahamkan Allah Taala akan daku (dan) adalah au memanjangkan sedikit perkataannya kerana aku memasukkan perkataan sharahnya dengan sekadar kifayah bagi orang mubtadi mengetahui dia……?.
Karangan di atas menunjukkan bahawa sahabat-sahabatnya di Mekah telah memintanya mengarang, sesuatu yang mencerminkan martabat kedudukannya di kalangan kawan-kawannya. Dengan penulisan tersebut Hikam Melayu merupakan sebuah kitab Tasawuf terbesar dan terawal menurut aliran ahli Sunnah wal-Jamaah di dalam Bahasa Melayu.
Adalah dipercayai bahawa Syeikh Abdul Malik pulang ke tanah air sekitar pertengahan tahun 1960an ketika berusia lebih kurang 40 tahun. Kehadirannya di dalam masyarakat tempatan, yang diperkukuhkan oleh Hikam Melayunya serta pertalian dengan pembesar tempatan di Negeri Terengganu. Malah disebabkan oleh pertalian Terengganu dengan Johor, peranan Syeikh Abdul Malik menjadi lebih penting lagi dalam kontek perkembangan sosial semasa. Mengikut sumber-sumber yang boleh dipercayai beliau dikatakan bertanggungjawab membawa dan menabalkan Zainal Abidin I menjadi sultan pemerintah Negeri Terengganu (1725-1734) yang berlangsung di Tanjung Baru. Raja tersebut juga telah berkahwin dengan anak perempuan Syeikh Abdul Malik. Apabila Syeikh Abdul Malik berpindah dari Hulu Terengganu dan menetap di Pulau Manis baginda juga telah turut sama berpindah dan menetap tempat yang baru sebelum memilih tempat persemayam tetapnya di Kuala Terengganu.
Tok Pulau Manis menjadi peneraju program pendidikan agama di Terengganu, sama ada selaku ulama istana atau sebagai guru kepada orang ramai. Di istana, Tok Pulau Manis berdampingan bukan sahaja dengan Sultan Zainal Abidin I tetapi juga dengan pembesar-pembesar yang turut berguru dengannya. Di dalam upacara keagamaan, beliau diberi peranan mengetuai majlis-majlis tersebut. Dalam penglibatannya sebagai Syeikh al-Ulama dan Mufti beliau mengeluar fatwa-fatwa berhubung dengan pegangan keIslaman dan hukum hakam. Dengan berpandukan pengalaman pengajian di Jawa, Aceh dan Mekah, beliau telah menjadikan Pulau Manis sebagai tempat pengajaran dan ibadat yang didatangi oleh pelajar-pelajar dari jauh dan dekat. Adapun kitab beliau yang kedua terbesar selepas Hikam Melayu, iaitu Kitab Kifayah merupakan sebuah karya yang merangkumi Usuluddin dan Fekah.
Tok Pulau Manis meninggal dalam lingkungan usia 86 tahun iaitu pada tahun 1149H bersamaan 1736M sebagaimana yang terakam pada makamnya.


Musuh-Musuh Tasawuf dan Tarikat

PENGENALAN
Pada pengamatan dan pemerhatian penulis, sejak kebelakangan ini, telah wujud segolongan puak di Malaysia yang begitu galak memperlekeh, mencaci dan menghina tawasuf serta tarikat. Pelbagai tohmahan demi tohmahan dilontarkan kepada tokoh-tokoh ulama sufi muktabar serta wali-wali Allah Taala. Golongan ini merasakan diri mereka begitu hebat berbanding para ulama yang telah disebutkan oleh Rasulullah S.A.W. sebagai pewaris para nabi. Walaupun ilmu agama dan amalan yang dimiliki mereka tidaklah seberapa jika hendak dibandingkan dengan para ulama, namun mereka dengan megah mendabit dada untuk mengatakan mereka begitu arif serta faham semuanya mengenai Islam. Amat menyedihkan lagi, golongan ini terdiri daripada kalangan orang Islam sendiri yang mengaku memahami, mendalami dan memperjuangkan Islam, tetapi hakikatnya merekalah perosak umat Islam.
Mungkin mereka terlupa tentang firman Allah Taala di dalam sebuah hadis qudsi seperti berikut:
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Baghawi: Daripada Anas bin Malik R.A., daripada Rasulullah S.A.W., daripada Jibril A.S., daripada Allah Taala berfirman (hadis qudsi) bermaksud:
Barangsiapa yang menghina kekasihKu maka sesungguhnya dia telah mengajakKu berperang, sesungguhnya Aku akan murka demi kekasih-kekasihKu seperti marahnya sesekor singa yang garang…
(Riwayat Ibnu Abi ad-Dunya, Abu Nuaim).

Hadis qudsi ini ada juga diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza dari riwayat ini oleh al-Bukhari, Ahmad, at-Tabrani, Abu Yala dan sebagainya lagi).
Sebenarnya telah begitu lama penulis ingin menulis serta membincangkan mengenai perkara ini (musuh-musuh tasawuf dan tarikat). Juga beberapa orang pengunjung blog serta ahli iLuvislam.com telah lama meminta saya agar menjelaskan perihal ini. Di dalam tulisan ringkas kali ini, penulis akan cuba membincangkan mengenai musuh-musuh tasawuf dan tarikat dengan penulisan yang mudah dan ringkas agar semua pihak boleh memahaminya dengan sempurna. Di harapkan para pembaca mendapat manfaat dari setiap perbincangan dan perbahasan ini. InsyaAllah.
SIAPAKAH MUSUH-MUSUH TASAWUF DAN TARIKAT?
Musuh-musuh tasawuf cuba sedaya upaya untuk menyerang dan menfitnah tasawuf Islam dengan pelbagai pendustaan dan rekaan cerita semata-mata. Mereka juga akan melontarkan berbagai-bagai tohmahan dan penyelewengan mungkin disebabkan oleh perasaan hasad dengki mereka ataupun mungkin juga disebabkan kejahilan diri mereka sendiri terhadap agama Islam. Lebih menyedihkan lagi ada di antara musuh-musuh tasawuf ini terdiri dari kalangan orang-orang Islam sendiri sedangkan mereka semua sudah sedia maklum mengenai hakikat kebenaran tasawuf ini sepertimana yang terkandung di dalam sebuah al-Hadis S.A.W. mengenai Ihsan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bahawa kamu menyembah Allah seakan-akan kamu melihatNya dan jika kamu tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat kamu.
(Riwayat Muslim).
Berkata al-Muhaddith Syeikh Muhammad Siddiq al-Ghumari:
Sesungguhnya Ihsan sebagaimana dalam hadis tersebut adalah ibarat dari tiga rukun yang disebutkan. Barangsiapa tidak menyempurnakan rukun Ihsan yang mana ia merupakan tarikat (jalan) maka tanpa ragu-ragu lagi bahawa agamanya tidak sempurna kerana dia meninggalkan satu rukun dari rukun-rukunnya. Tujuan atau kemuncak matlamat yang diseru dan diisyaratkan oleh tarikat ialah maqam Ihsan setelah memperbetukan Islam dan Iman.
(Kitab: Intishar Li Thariqi as-Sufiyyah).
Berkata Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori:
Tasawuf ialah suatu ilmu yang diketahui dengannya keadaan penyucian jiwa dan pembersihan akhlak serta mengimarahkan zahir dan batin bertujuan untuk mencapai kebahagiaan yang abadi.
(Kitab: Ala Hamisy Risalah al-Qusyairi).
Berkata Imam Junaid:
Tasawuf ialah menggunakan semua akhlak ketinggian yang terpuji dan meninggalkan semua tingkahlaku yang rendah lagi di keji.
(Kitab: Nusrah al-Nabawiyyah).
Berkata Syeikh Abdul Kadir Isa di dalam kitabnya Haqaiq An al-Tasawuf mengenai musuf-musuf tasawuf sepertimana berikut (penulis hanya mengambil secara ringkas sahaja):
Di antara musuh-musuh tasawuf terdiri dari kalangan orentalis lagi zindiq serta para pengikutnya dan konco-konconya. Mereka telah disusun atur dan dilatih oleh golongan kafir yang jahat bagi mencela Islam. Mereka cuba memusnahkan pokok pangkal Islam dengan menimbulkan pelbagai keraguan serta menyebarkan fahaman-fahaman untuk memecahkan umat Islam. Mereka mempelajari Islam secara mendalam tetapi bertujuan untuk menyeleweng dan memusnahkan Islam. Mereka juga sentiasa memiliki sifat talam dua muka. Mereka juga mendakwa tasawuf diambil daripada Yahudi, Nasrani dan Buddha. Bermacam-macam tohmahan dilemparkan terhadap tokoh-tokoh ulama tasawuf. Apa yang lebih mendukacitakan, terdapat segelintir orang Islam menggunapakai pandangan dan pendapat dari musuh-musuh Islam ini untuk mencela tasawuf secara total. Inikah yang dikatakan pejuang Islam yang sebenarnya? Kadang-kadang mereka ini berselindung di sebalik sebagai seorang pengkaji atau sarjana ilmuan Islam, akan tetapi merekalah di antara para perosak agama Islam dari dalam.
Di antara musuh-musuh tasawuf juga ialah mereka yang jahil dengan hakikat tasawuf Islam itu sendiri. Mereka tidak mempelajari daripada tokoh-tokoh ulama sufi secara jujur dan amanah serta tidak juga mengambil manfaat daripada ulama-ulama tasawuf yang ikhlas menyampaikan ilmu pengetahuan. Mereka cuba mengkaji sendiri kitab-kitab tasawuf sedangkan mereka tidak mempunyai asas dan tidak memahami maksud sebenar serta mereka juga tidak mengetahui tentang penyelewengan terhadap kitab-kitab tersebut oleh musuh-musuh tasawuf Islam. Maka akan timbullah pandangan negatif dan berburuk sangka terhadap tasawuf ini. Kita boleh bahagikan mereka ini kepada beberapa golongan:
Golongan pertama:
Fikrah tentang tasawuf yang ada pada mereka diambil melalui amalan suluk sesetengah golongan yang menyelinap masuk serta menyeleweng yang terdiri daripada musuh-musuh tasawuf. Mereka tidak membezakan di antara tasawuf yang hakiki lagi suci dengan sesetengah perkara jelek dan keji yang datang menyelinap yang tiada hubungkait dengan Islam.
Golongan kedua:
Mereka merupakan golongan yang terpedaya dengan apa yang mereka dapati daripada kitab-kitab tokoh-tokoh sufi yang terdiri daripada pelbagai permasalahan yang diselinap masuk. Mereka mengambilnya sebagai suatu hakikat sabit tanpa sebarang kepastian terlebih dahulu. Mungkin juga mereka mengambil kata-kata sabit yang terdapat dalam kitab-kitab ahli sufi lalu memahaminya tanpa mengikut apa yang dikehendaki oleh kitab tersebut. Mereka mengikut fahaman cetek yang dimiliki, ilmu yang terhad serta keinginan yang tersendiri tanpa merujuk terlebih dahulu kepada ahli sufi yang jelas kefahamannya tentang syariat dan akidah. Mereka mentakwilkan kalam-kalam para ulama sufi mengikut hawa nafsu tanpa bertanya terlebih dahulu kepada ahlinya yang lebih memahami. Mereka ini seumpama mengambil ayat-ayat al-Quran al-Karim yang mempunyai kesamaran (mutasyabihat) lalu mentakwilkannya sesuka hati tanpa melihat kepada ayat-ayat yang jelas (muhkamat) dan tidak juga bertanya terlebih dahulu kepada para ulama yang lebih mengetahui sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah Taala di dalam al-Quran al-Karim (Surah al-Imran: Ayat 7). Sedangkan ada sebilangan dari kalangan mereka yang begitu mengecam pentakwilan (bukan menurut hawa nafsu) oleh para ulama muktabar bukan?
Golongan ketiga:
Mereka merupakan golongan yang tertipu. Mereka mencedok ilmu pengetahuan daripada orientalis. Mereka hanya menggunapakai pandangan dan sangkaan salah dari para orientalis semata-mata. Mereka tidak dapat membezakan di antara tasawuf Islam yang sebenarnya dengan tasawuf yang telah dicemari di sebabkan mereka tiada ilmu dan asas yang bertepatan.
Inilah di antara musuh-musuh tasawuf serta tarikat yang bertindak menyerang tasawuf dari sebelah luar ataupun dari sebelah dalam Islam. Mereka bersungguh-sungguh menabur fitnah selagimana mereka di berikan nyawa yang sementara ini dari Allah Taala. Mungkin juga mereka lupa bahawa mereka akan diperhitungkan oleh Allah Taala di akhirat kelak. Bersedialah!
TARIKAT TASAWUF SESAT?
Maksud tarikat secara umumnya ialah suatu jalan (tarikat) yang dilalui seseorang Islam itu untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala. Di sini kita tidak menafikan bahawa wujud segelintir tarikat yang sesat dan tidak mengikut syariat Islam yang sebenar. Namun untuk menghukum kesemua tarikat tasawuf adalah salah dan sesat secara pukul rata, dakwaan ini tidaklah boleh diterima akal sama sekali. Ulama-ulama muktabar Islam juga turut memperakui kebenaran tarikat tasawuf ini dan ada di antara mereka merupakan pengamal tarikat di antaranya Imam Hanafi (Sila rujuk kitab ad-Dur al-Mukhtar). Ini merupakan bukti yang kukuh lagi kuat untuk menyatakan bahawa tarikat adalah dibenarkan dan bertepatan dengan Islam. Mana mungkin para ulama muktabar yang begitu memahami dan mendalami Islam mengamalkan tarikat tasawuf jika ia sesuatu yang sesat dan bidaah bukan?
Berkata Imam Shafie:
Disukai bagiku daripada duniamu tiga perkara: Meninggal perkara yang membebankan diri dan bergaul sesama makhluk dengan lemah lembut serta mengikut jalan ahli tasawuf.
(Kitab: Kasfu al-Khafa Wa Mazilu al-Albas).
Adapun ahli tasawuf yang sebenarnya tidaklah terlepas dari melakukan syariat Islam bahkan merekalah golongan yang perlu memperbanyakkan lagi amalan-amalan baik dengan berlipat-lipat kali ganda. Ini kerana tasawuf dan tarikat itu sendiri terikat dengan al-Quran al-Karim dan al-Hadis S.A.W. sepertimana yang diterangkan oleh Imam Junaid:
Mazhab kami terikat dengan usul al-Quran al-Karim dan as-Sunnah S.A.W.
(Kitab: al-Tabaqat as-Sufiyyah).
Bagi pengamal tarikat tasawuf Islam yang telah lama mahupun kepada yang baru berjinak-jinak dengan tarikat, mungkin kata-kata dari Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ini boleh dijadikan pedoman serta panduan:
Sesungguhnya meninggalkan ibadah fardhu adalah zindiq,
Melakukan yang haram atau yang ditegah adalah maksiat,
Perkara fardhu tidak akan gugur daripada seseorang individu walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
(Kitab: al-Fathu ar-Rabbani).
Di sini penulis ingin katakan bahawa tarikat tasawuf bukanlah suatu yang sesat dan bidaah di sisi Islam sepertimana yang didakwa oleh sesetengah pihak, bahkan tasawuf adalah sebahagian daripada Islam melalui pengiktirafannya mengenai Ihsan di dalam hadis Jibril A.S. Adapun tarikat yang sesat itu sebenarnya bukanlah dinamakan tarikat tasawuf bahkan mereka ini adalah perosak tasawuf. Mereka mendakwa sebagai pengamal tasawuf, akan tetapi mereka menyeleweng dari landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Inilah di antara masalah-masalah yang terpaksa di hadapi oleh para pengamal tarikat tasawuf sehinggakan ia memberi peluang kepada musuh-musuh tasawuf untuk melancarkan serangan jahat terhadap Islam secara umumnya dan tasawuf secara khususnya.
Namun ada sesetengah pengamal tarikat tasawuf yang terlalu taksub sehingga mengatakan semua pihak yang mendakwa diri sebagai tarikat adalah betul dan tidak salah sama sekali. Mereka ini terus menyalahkan dan memaki-hamun sesiapa sahaja (di manakah akhlak sebagai seorang pengamal tasawuf?) yang mendakwa sesuatu tarikat itu tidak bertepatan dengan Islam walaupun orang yang berkata itu adalah para ulama sufi sendiri. Sedangkan kita semua juga mengetahui bahawa wujud segelintir tarikat yang menyalahi syariat Islam sepertimana yang telah saya jelaskan di atas. Sikap ketaasuban mereka yang terlalu melampau ini juga boleh membuka ruang bagi musuh-musuh tasawuf dan tarikat merendah-rendahkan Islam dan mengucar-kacir masyarat Islam itu sendiri.
SUFI ATAU PENDAKWA SUFI?
Pada hari ini kelihatan tasawuf dikecam dan diburukkan dengan begitu hebat oleh segelintir golongan yang mempunyai niat busuk lagi keji. Ada di kalangan mereka bertopengkan tasawuf serta menisbahkan diri kepada tasawuf. Ada juga di kalangan mereka yang menabur fitnah yang berterusan kepada pengamal tasawuf dengan tohmaham-tohmahan yang tidak bertepatan. Mereka memburuk-burukkan tasawuf dengan berbagai-bagai cara di antaranya melalui kata-kata atau ucapan-ucapan umum, perbuatan, perjalanan hidup, penulisan dan sebagainya lagi sedangkan mereka ini tiada kaitan langsung dengan tasawuf. Ini menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap pengamal tasawuf di sebabkan fitnah yang disebarkan oleh mereka yang konon-kononnya memahami agama Islam. Adakah tindakan mereka itu melambangkan mereka benar-benar memahami Islam?
Pertolongan Allah Taala sentiasa datang untuk membantu hamba-hambaNya yang benar. Allah Taala menzahirkan penyelewengan pendakwa kesufian yang menyeleweng ini untuk membezakan dengan ahli sufi yang sebenarnya. Di antaranya muncul para ulama muktabar terdiri daripada kalangan imam-imam yang diketahui keilmuan dan kealiman mereka itu dan mereka juga ialah tokoh-tokoh sufi yang begitu masyhur serta diperakui kehebatannya. Mereka memberi perakuan dan pengiktirafan terhadap tasawuf ini bahkan mereka juga di antara pengamal tasawuf yang diikuti oleh umat Islam. Mereka bangkit berdakwah dan menyampaikan kebenaran dan menagkis segala kebatilan yang datang dari musuh-musuh tasawuf.
Berkata Syeikh Abdul Kadir Isa:
Di sana terdapat perbezaan yang begitu ketara di antara tasawuf dan sufi. Golongan yang mendakwa tasawuf dengan segala penyelewengan dan percanggahan bukanlah merupakan gambaran kepada tasawuf. Ia sebagaimana seorang muslim dengan segala perbuatannya yang mungkar bukanlah merupakan gambaran kepada Islam dan agama anutannya.
(Kitab: Haqaiq An al-Tasawuf).
Golongan yang baik ataupun jahat sentiasa ada di dalam semua golongan sehingga hari kiamat. Bukan semua ahli sufi itu sama tarafnya. Ada di kalangan mereka yang soleh dan ada di kalangan mereka yang lebih soleh. Ada yang hebat dan ada yang lebih hebat. Begitu jugalah umat dari generasi salaf yang ada di antara mereka yang baik lagi soleh dan ada di antara mereka yang jahat dan tidak soleh. Semua ini adalah ketentuan dari Allah Taala sebagai ujian dan dugaan kepada hambaNya yang beriman lagi bertakwa.
KESIMPULAN
Penulis ingin menasihati para pembaca sekalian yang begitu bermusuhan dengan tasawuf dan tarikat agar kalian kembali kepada kebenaran. Janganlah kalian bersuka-suka menimbulkan fitnah dan tohmahan terhadap tasawuf yang kalian sendiri tidak fahami dan dalami. Apakah gunanya kali menabur fitnah di dunia yang sementara ini sedangkan kalian akan di hisab di akhirat kelak? Penulis doakan agar kalian akan diberikan cahaya kebenaran dari Allah Taala.
Semoga penjelasan dan penerangan ringkas ini sedikit sebanyak dapat memperbetulkan semula tanggapan negatif dan salah faham yang timbul di minda umat Islam masa kini terhadap tasawuf dan tarikat. InsyaAllah. Akhir kata, penulis bukanlah di kalangan orang yang begitu layak untuk membicarakan perihal tasawuf ini, akan tetapi mungkin inilah sumbangan sekadarnya yang boleh penulis kongsi untuk membantu agama Islam agar tidak terus dinodai.
sumber:
buluh.iluvislam.com