Wednesday, May 25, 2011

Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Soalan:

Selemah2 iman ialah mencegah kemungkaran dengan hati. adakah kita berdosa kalau kita hanya mampu cegah dengan hati, tambahan pula pada zaman yang banyak maksiat ni?


Jawapan:

Fiqh amar makruf nahy mungkar

Apa yg anda timbulkan itu kemungkinan anda melihat hadith, antaranya dari Abi Sa’eed alKhudri yg dikeluarkan oleh Imam Muslim (#49) dalam sahihnya:
” B/siapa diantara kamu yg melihat kemungkaran, hendaklah merubahnya dengan tangannya, jika ia tidak sanggup, maka dgn lidahnya, dan jika tidak sanggup juga, maka dgn hatinya, demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (hadith #34, matn arba’iin anNawawiyah)

Jadi, kalau anda ada syarah hadith 40 Imam Nawawi, maka sila baca. dan kalau belum ada, kena belilah, paling kurang orang Islam kena baca dan faham 40 hadith ni, itupun dah cukup besar…ada beberapa edisi syarah hadith 40 dlm pasaran. Yang sudah diterjemah ialah karya Dr alBugho (pustaka Salam)

Berbalik pada apakah berdosa seorang muslim hanya sanggup mencegah dgn hati sahaja?

Jawabnya:

mengikut pensyarah2 hadith ini, tidak berdosa bg si fulan yg hanya mampu mencegah dgn hatinya atau membenci kemungkaran itu kerana dia tidak ada kesanggupan atau kemampuan mencegah dengan lisan (nasihat) atau tangan (kekuasaan).

Kata Imam alMunawi ketika mensyarah hadith ni dalam Faidhul Qadir (Jld 4/131), perasaan benci akan mungkar ini wajib ada bila ia melihatnya dan tercetus niat bahawa jika aku ada kuasa atau kemampuan lisan, maka aku akan mengubahnya dengan tangan dan lidahku. Tidak cukup dgn ada rasa benci, tapi dia hendaklah meninggalkan majlis itu jika mungkar itu berlaku dalam majlis yg dihadhirinya sbg menandakan kebencian hatinya.

Maksudnya kalau tidak ada perasaan benci akan mungkar itu bila melihat orang melakukannya, barulah berdosa. atau mungkar berlaku depan matanya tapi dia tidak menunjukkan hatinya benci yaitu dengan meninggalkan kemungkaran atau majlis kemungkaran itu sebagai tanda protes.

sekian

al-ahkam
http://soaljawab.wordpress.

Inflasi 3.5%, Rakyat M'sia Hilang RM35 Setiap RM1000


Setiap kenaikan harga runcit, walau sekecil manapun, akan membebankan rakyat bawahan di Malaysia yang sudah pun terbeban dengan bajet keperluan yang ketat dan semakin ramai pengguna yang risau dan prihatin di atas kadar peningkatan inflasi berbanding kenaikan gaji mereka.

Bank Negara baru-baru ini mengumumkan, inflasi akan meningkat dua kali ganda kepada 3.5% untuk tahun ini. Sekarang ia sudahpun mencecah 3%.

Bagi rakyat biasa yang berpendapatan RM1000, kadar inflasi 3.5% secara mudahnya membawa maksud ia akan kehilangan RM35 dari saku tanpa membeli apa-apa.

Dan jika kadar inflasi meningkat sehingga 5%, mereka akan kehilangan RM50, yang sepatutnya boleh digunakan, untuk keperluan beras, gula, minyak dan bawang selama beberapa hari untuk ahli keluarga.

Dalam kitaran harga barangan pengguna sahaja telah membuatkan rakyat Malaysia kehilangan kuasa membeli mereka.

Kita tertinggal dengan kebanyakan negara sekarang. Malah rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur yang biasanya memiliki kuasa membeli tertinggi berbanding rakyat Malaysia di tempat lain turut merasakan kesulitan itu.

Kenyataan ini merujuk kepada fakta "2010 Prices and Wages Report," yang dikeluarkan oleh Laporan UBS Switzerland yang mendedahkan Malaysia tertinggal di dalam saingan global di dalam hal kuasa membeli.

Berbanding Korea Selatan, 40 tahun yang lalu, kemampuan ekonomi republik itu setara dengan Malaysia, tetapi sekarang rakyatnya menikmati kuasa membeli 17% lebih tinggi berbanding Malaysia.

Menurut laporan itu, kuasa membeli penduduk KL hanyalah 33.8% berbanding penduduk New York, sementara penduduk London mempunyai kuasa membeli sehingga 42%.

Laporan itu mencatatkan walaupun harga barang di tempat ini adalah dua kali ganda berbanding di KL, kuasa membeli di Kuala Lumpur masih dua kali lebih rendah.

Masalah Harga Minyak yang melambung - boleh try ini

Motorsikal di Afrika....

Saturday, May 21, 2011

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

1. Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadith berikut:

“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata:
Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

2. Meluruskan telapak kaki dengan telapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.

“Dari Anas bin Malik r.a. berkata,
“(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud)


Betul – Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)


Salah – Kaki tidak lurus ke hadapan

3. Menutup celahan di antara saf

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.”
(Hadith Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad, )

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)


4. Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang betul.

Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata,

“Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.”

(Hadith Riwayat Muslim, , Abu Daud, dan al-Tarmidzi)


Merapat dan meluruskan saf kelihatan seolah-olah perkara kecil dan remeh walhal ia merupakan suruhan Rasulullah. Kita tanyakan kepada diri kita, perkara yang sekecil ini kita remehkan bagaimana pula perkara yang lebih besar. Adakah ini tandanya kita menyintai kekasih Allah yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w?

Rasulullah bersabda:

“Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
(Hadith Riwayat Al Bukhari)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shalallahu ‘alaihi wasallam) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang ditegah daripada kamu, hendaklah kamu jauhi.dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya”.
( Surah Al Hasyr: ayat 7)
Anas berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu bapa.

Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Ali-Imran, ayat 31)

Galilah ilmu tentang Al Quran dan hadith yang sahih dan jangan menjadi orang yang mengikut-ngikut perbuatan orang lain kerana kita hanya akan selamat dunia dan akhirat dengan berpegang teguh pada keduanya. Tanda kita menyintai Rasulullah ialah mengamalkan suruhan dan meninggalkan larangannya. Cara ibadah, muamalat dan sebagainya dalam kehidupan sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah hanya dapat diketahui melalui Al Quran dan hadith yang sahih. Tinggalkanlah segala bentuk larangan Rasulullah walaupun masyarakat banyak melakukannya kerana jaminan ke syurga idaman adalah mengikut ajaran yang dibawakan Rasul yang mulia.
Waulahua’lam.

KISAH PENGISLAMAN YG MENYENTUH KALBU

APABILA berlaku pengislaman, acap kali yang diambil perhatian ialah dari sudut penerimaan hidayah serta cabaran empunya diri. Manakala bagi yang sudah berkeluarga, persoalan yang sering dibangkitkan, apakah reaksi pasangan dan keluarga mereka? 

Jarang terlintas di fikiran kita bertanyakan bagaimana penerimaan anak-anak kesan tindakan orang tua mereka yang mengambil keputusan memeluk Islam. 

Apa yang dilalui oleh pasangan kembar, Nur Dayana dan Nur Diyana, 9, serta adik lelaki mereka, Muhammad Adam, 7, sejurus pengislaman ibu bapa mereka, Muhammad Azhar Abdullah dan Nur Liyana Abdullah pada awal tahun turut diakui mencabar, apatah lagi bagi kanak-kanak seusia mereka. 

Kata Azhar, jika dibandingkan apa yang beliau dan isteri hadapi amat berbeza kerana sebagai orang dewasa lebih mudah mengendalikan cabaran yang mendatang. 

Walaupun mereka pernah disisihkan di sekolah oleh teman-teman serta ditekan dari segi mental daripada saudara mara yang tidak bersetuju dengan pengislaman itu, alhamdulillah mereka berjaya mengatasinya. 

“Pun begitu, apabila mereka menyuarakan kekecewaan dan bercerita bagaimana mereka dilayan, sedikit sebanyak ia menyentuh hati kami sebagai ibu bapa mereka. Apa pun, saya amat berbangga dengan mereka tiga beradik. 

“Sungguhpun pada usia semuda ini mereka berjaya mengharunginya dan semakin lancar dalam pengajian ilmu agamanya,” luah pasangan muda yang berusia 36 tahun ini sewaktu ditemui di rumah mereka di Bandar Sri Damansara, baru-baru ini. 

Azhar yang merupakan guru Pengurusan dan Perniagaan (IB) di Sri KDU Smart School, sebuah sekolah swasta di Kota Damansara, Petaling, Selangor, menyedari cabaran yang bakal dihadapi terutamanya kepada anak-anak,. 

Sehubungan itu, beliau memberi pendedahan mengenai keIslaman kepada Nur Dayana, Nur Diyana dan Muhammad Adam menerusi membacakan kisah-kisah nabi. 

Di samping itu, beliau juga bersikap lebih terbuka dengan anak-anak kerana memahami sifat azali kanak-kanak yang suka bertanya. 

Lebih-lebih lagi apabila melihat orang tua mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan adat budaya agama datuk nenek mereka iaitu Hindu. 

Alhamdulillah, Allah memudahkan segalanya. Kini, dengan adanya seorang ustazah yang datang ke rumah mengajar Iqra’ pada setiap Ahad, ia mempermudahkan lagi pembelajaran mereka di sekolah. Malah minat mereka untuk mempelajari bahasa Arab dan Jawi sudah semakin lancar. 

“Kami juga percaya dan berkeyakinan apabila kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan-Nya, Allah sentiasa akan memudahkannya waima sebagai hamba-Nya kita tidak terlepas daripada sebarang ujian. 

Tidak pernah menyesal 

“Kami masih ingat sewaktu hendak memilih nama anak ketiga. Kami bercadang menamakannya Azhari tetapi dia mahukan nama Muhammad Adam. Katanya dia sukakan nama Adam bersempena dengan Nabi Adam menerusi cerita yang pernah disampaikan sebelum ini,” akui Azhar dan Nur Liyana yang tidak pernah menyesal dengan keputusan pengislaman biarpun diduga dengan pelbagai ujian getir. 

Menceritakan bagaimana pencarian tentang Islamnya bermula, beliau selalu tertanya dalam diri mengapa manusia perlu menyembah berhala. 

Azhar menerima jawapan mengenai hal itu tetapi jauh di sudut hatinya masih wujud rasa tidak berpuas hati. 

Rencana tentang pengharaman filem kartun, Prince of Egypt untuk tayangan di Malaysia menjadi pencetus segalanya. Ini kerana filem itu dikatakan menggambarkan Nabi Musa. 

Beliau hairan kerana setahunya kisah Nabi Musa atau Moses hanya wujud dalam kitab Bible. Mengapa pula orang Islam mempertikaikannya. 

“Dari situ saya mula mencari jawapan. Kebetulan sewaktu mengajar tuisyen di rumah seorang pelajar Kristian, saya terkejut melihat ada senaskhah al-Quran terjemahan tersusun bersama buku-buku lain di atas rak,” katanya. 

Beliau terpanggil untuk membeleknya kerana selama ini tidak pernah mengambil tahu tentang kandungan al-Quran. Bila dibelek-belek, beliau semakin keliru kerana di dalam al-Quran terdapat banyak kisah-kisah tentang para nabi sebagaimana di dalam Bible. 

Malah, beliau juga tidak menyangka bahawa agama Islam juga mempunyai persamaan yang amat hampir. 

Memandangkan kitab itu kepunyaan pelajar, tanpa berlengah beliau membelinya agar dapat terus mengkajinya. 

Semakin banyak yang dibaca, semakin banyak yang diketahui tentang Islam dan tanpa disedari mesej itu sampai ke hatinya. Apa yang membuatkan hatinya lebih terkesan ialah membaca kisah kaum-kaum terdahulu yang dimusnahkan oleh Allah kerana keingkaran mereka patuh kepada suruhan Allah, sebaliknya menyembah berhala. 

“Saya mula terfikir, mengapa saya masih menyembah berhala. Sedikit demi sedikit saya mula meninggalkan amalan penyembahan dan berhenti sembahyang. Pada Julai 2005, saya sudah yakin sepenuhnya tetapi masih tidak memeluk Islam kerana mahu isteri ikut serta ke jalan kebenaran itu,” katanya. 

Dalam masa yang sama, beliau menerangkan keindahan Islam kepada isteri, anak-anak seterusnya meninggalkan amalan kepercayaan kepada agama sebelum ini. Semua ini dilakukan secara senyap-senyap dan cuma mereka sekeluarga mengetahuinya. 

“Ini kerana saya mengetahui persepsi keluarga terhadap agama Islam yang lebih menjurus kepada perkara negatif,” terang Azhari atau nama sebelum Islamnya, Kumar Nagappan yang sentiasa berdoa agar ditunjukkan Tuhan agama yang benar. 

Di pihak Nur Liyana pula, biarpun beliau sudah diceritakan serba sedikit tentang Islam namun untuk bertukar agama, belum terlintas langsung malah tidak berharap. 

Mereka masih meneruskan kehidupan seperti biasa cuma Azhar sudah tidak lagi melakukan sembahyang seorang penganut Hindu. 

“Boleh dikatakan sudah 50 peratus saya dapat memahami dan menerima apa yang Azhar terangkan berkenaan Islam. Namun untuk bertukar kepada agama itu, saya masih keberatan,” jelasnya. 

Ini kerana, beliau ialah seorang anak yang begitu taat kepada ibu bapa biarpun sudah berumah tangga. Oleh itu, baginya, mengingkari mereka bermakna anak yang derhaka. 

“Jadi, saya seboleh-bolehnya tidak mahu timbul perselisihan antara kami. Mungkin disebabkan hal inilah saya lewat mengambil keputusan. 

Apabila berpindah ke Bandar Sri Damansara, Azhar mahu menerapkan cara hidup Islam di rumah baru. 

“Pada mulanya saya agak keberatan kerana dia sudah mula menggantungkan gambar Kaabah dan meletakkan terjemahan al-Quran. Kali ini Azhar tidak mahu lagi berselindung dan memang serius. 

“Di rumah baru ini jugalah saya pernah mengalami pengalaman di mana hampir setiap malam kira-kira pukul 1 pagi selama sebulan saya akan terjaga dari tidur. Bila mata tidak mengantuk, saya mula terfikir tentang pelbagai persoalan. 

“Adakah ini petunjuk dari Tuhan dan dari situlah saya berusaha mendekati Islam,” kata Nur Liyana yang kini mengajar di Sekolah Sri Bestari, Bandar Sri Damansara sejak empat tahun lalu. 

Cabaran 

Menceritakan cabaran yang dihadapinya sebelum bergelar Muslim, tambah Nur Liyana, kebenaran berpoligami di dalam Islam sentiasa dijadikan modal keluarga untuk menakutkannya selain bimbang terputusnya ikatan kekeluargaan sedikit sebanyak merencatkan hasratnya untuk menerima hidayah Allah. 

Celah Azhar, apabila isterinya mula menampakkan minat kepada Islam datang pula cabaran. Rakan sekerja Nur Liyana yang baru masuk Kristian cuba memujuknya supaya menerima agama Kristian. Boleh dikatakan setiap hari isterinya menerangkan tentang Kristian. 

“Saya terpaksa beri pelbagai hujahan untuk menguatkan kebenaran bahawa agama Islam adalah agama yang betul. Alhamdulillah dia dapat terima. 

“Masalah lain pula timbul apabila isteri tidak mahu pula mengisytiharkan pengislaman kami, sebaliknya mahu teruskan cara hidup seperti biasa tanpa menukar agama kerana bimbang diketahui oleh ahli keluarga dan saudara mara yang lain,” jelasnya. 

Pada mulanya Azhar bersetuju, tetapi berubah fikiran apabila memikirkan masalah yang timbul akibat merahsiakan pengislaman seperti jika berlaku kematian atau menjalankan tanggungjawab seorang Muslim. 

“Kami menemui jalan buntu sehinggalah disarankan oleh seorang teman isteri agar kami bertemu dengan Ustaz Fitri Abdullah iaitu Pengerusi Perkim cawangan Serendah, Selangor. 

“Kisah Ustaz Fitri yang berketurunan Brahmin iaitu kasta yang paling tinggi sanggup memilih Islam, menyedarkan kami bahawa apa yang kami lalui ini jauh panggang dari api,” katanya. 

Selepas mendengar nasihat dan kata-kata semangat daripada Ustaz Fitri, pintu hati isterinya terbuka untuk menerima Islam. 

Azhar yang mengucap dua kalimah syahadah bersama isteri dan tiga orang anak-anaknya di Darul Syifa, Bandar Baru Bangi, Selangor oleh Datuk Haron Din.

Tambah Azhar yang pernah mengajar di Qids Integrated School, sebulan pertama selepas pengislaman beliau dan isteri dilayan macam pasangan yang sedang berbulan madu. Setiap hari ada sahaja teman-teman sesama Islam yang meraikan mereka sekeluarga. 

Namun Azhar sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan penerimaan keluarga sebelahnya dan isteri sebaik sahaja berita pengislaman mereka diketahui keluarga. Beberapa bulan selepas pengislaman, hubungan dengan keluarga dan keluarga mertua agak renggang. 

“Saya tidak mahu ia terus berkekalan begitu. Sebab itulah, semasa Deepavali, kami berkunjung ke rumah kedua-dua belah keluarga. 

“Kami mahu menunjukkan contoh yang baik kepada kedua-dua keluarga kerana Islam itu sendiri mendidik umatnya supaya menonjolkan akhlak yang baik apatah lagi dengan ibu bapa,” jelas Azhar. 

Alhamdulillah, katanya, mereka akhirnya merestui pengislaman Azhar sekeluarga selepas mendengar penjelasan sebenar. 

“Selama ini ibu menganggap saya dipengaruhi oleh satu unsur ‘lain’ yang dikaburi dengan pelbagai imbuhan. 

“Sebagai anak, saya wajib menghormati mereka dan cuba menerangkan selembut boleh bahawa keikhlasan kami lahir bukanlah dalam tempoh singkat tetapi setelah mengkaji lebih lima tahun mengenai Islam,” ujar Azhar yang berazam menjadi contoh kepada para pelajarnya sekali gus mengurangkan persepsi negatif segelintir bukan Islam terhadap agama Islam itu sendiri. 

Mutiara Kata

Pandangan mata selalu menimpa, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hatilah yang hakiki kalau hati itu bersih.

Pesan Nenek & Tauladan Sebatang Pensil

 

Seorang cucu bertanya kepada neneknya yang sedang menulis sebuah surat :

“Nenek menulis apa? Tentang cucu?”


Mendengar pertanyaan si cucu, sang nenek berhenti menulis dan berkata kepada cucunya,


“Iya, nenek sedang menulis tentang kamu cucuku sayang.."ujar nenek dengan penuh kasih sayang.


"Tapi ada yang lebih penting dari isi tulisan nenek ini, iaitu pensil yang nenek pakai sekarang ini ”tambah nenek lagi.


“Pensil ini mempunyai pengajaran berguna yang mampu membuat cucu selalu tenang dalam menjalani hidup, kalau cucu selalu memegang prinsip-prinsip berdasarkan pensel ini di dalam hidup cucu.”


Si nenek kemudian menjelaskan kepada cucunya :


==========================


“Dengan sebatang pensel, cucu mampu menghasillkan lukisan yang begitu cantik .Juga cucu mampu menulis puisi yang begitu indah.Tapi saat cucu menulis dan melukis itu,cucu hendaklah sentiasa sedar bahawa ada tangan yang mengorak haluan tangan cucu semasa menulis dan melukis.


Begitulah jua dalam kehidupan cucu,sehebat mana setiap perkara yang cucu lakukan,selalu ingat bahawa Allah lah yang membimbing dan membantu cucu menjadi manusia yang hebat.Jadi jangan cucu sombong dan takbur andai mana cucu menjadi manusia hebat kelak.Nenek risau andai "tangan" yang membimbing itu tidak lagi membantu.

 
===============

“Cucuku sayang, dalam proses menulis, kadang-kala beberapa kali kita harus berhenti dan menggunakan pengasah untuk menajamkan kembali pensil. Semasa meraut pensel untuk membuatnya tajam, pasti akan membuat si pensil menderita. Tapi setelah proses meraut selesai, si pensil akan mendapatkan ketajamannya kembali.

Begitu juga dengan cucu, dalam hidup ini kamu harus berani menerima penderitaan dan kesusahan, kerana merekalah yang akan membuat cucu menjadi orang yang lebih baik kelak. Kata orang, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Itulah rencah kehidupan cu..

=======================

"Cucu,apa cucu buat kalau tersalah tulis atau tersilap lukis? Pasti cucu cepat-cepat padam bukan..?

Begitulah juga dalam kehidupan cucu. Kita sentiasa diberikan kesempatan untuk menghapuskan kesilapan-kesilapan dahulu. Allah sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada hambanNya untuk bertaubat memohon ampun kepadanya. Jadi cucuku, andai pernah melakukan dosa dan maksiat, ingatlah bahawa kita sentiasa diberi peluang untuk kembali ke jalan yang benar. Kesalahan yang lalu mampu dihapuskan,andai kita memadamkannya dengan bertaubat kepada Allah.

 
=======================

"Cuba cucu lihat pensel ini. Bahagian dalam pensel ini yang penting,iaitu karbonnya. Bahagian luarnya hanya sebagai pengukuh sahaja.

Begitulah juga dalam hidup cucu. Bahagian dalaman cucu itu yang penting, yang mampu menghasilkan sesuatu yang hebat. Allah juga melihat takwa dalam diri hambanya, bukan melihat pada rupa paras hambaNya. Kerana itu cucu, sentiasalah meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah, kerana dengan itulah cucu akan berada di taraf yang tinggi di sisi Allah S.W.T.

=======================

Perkara terakhir yang cucu perlu ambil pengajaran daripada pensel ini, cucu hendaklah sentiasa ingat. Setiap lakaran dan tulisan dari pensel ini meninggalkan kesan, meninggalkan garis-garis yang membentuk tulisan dan tulisan. Tapi cucu harus ingat, tidak semua tulisan dan lukisan itu disenangi semua orang. Ada yang benci, ada yang dengki dan mungkin juga akan ada yang mengkhianati.

Seperti juga kamu, cucu hendaklah sedar bahawa apapun yang cucu lakukan, hati-hatilah. Berwaspadalah dalam setiap tindakan. Cucu tidak akan sesekali mampu menyenangkan hati semua pihak. Mungkin ada manusia yang kecil hati dan iri hati dengan apa yang cucu lakukan. Oleh karena itu, cucu hendaklah selalu berusaha menjaga setiap tingkah laku cucu, agar cucu sentiasa dalam lindungan rahmatNya.
======================

Kepada cucu-cucu semua,sama-samalah mengambil iktibar.

PERINGATAN : Nilai semula Solat kita

Nilai semula Solat kita - Anda Tergolong Dalam Peringkat Mana??



Golongan 1- Golongan jatuh jadi kafir

Kita boleh lihat hari ini sudah ramai umat islam yang tak sembahyang, bahkan ramai juga yang tak tahu nak sembahyang. Imam Malik kata jatuh kafir kalau tak sembahyang tanpa sebab. Imam Syafi kata jatuh fasik (pun masuk neraka juga) kalau ia masih yakin sembahyang itu fardu.



Golongan 2- Golongan dosa dan derhaka

Orang yang mengerjakan sembahyang secara zahir sahaja, bacaan pun masih tak betul, taklid buta, main ikut-ikut orang saja. Belajar sembahyang maupun secara resmi atau tak resmi tak ada. Ilmu tentang sembahyang tiada. Golongan ini tertolak bahkan berdosa besar dan hidup dalam keadaaan derhaka kepada Allah Taala. 



Golongan 3- Golongan Fasik

Orang yang mengerjakan sembahyang, bahkan tahu ilmu mengenai sembahyang, tetapi tak boleh lawan nafsu terhadap tarikan dunia yang kuat. Jadi mereka ini sekejap sembahyang, sekejap tidak. Kalau ada masa dan mood baik ia sembahyang, kalau sibuk dan terkocoh kacah, ada program kenduri, pesta ria, berziarah bermusafir, letih dan penat, maka ia tak sembahyang. Orang ini jatuh fasik.



Golongan 4- Golongan Lalai

Orang yang sembahyang, kalaupun ilmunya tepat, fasih bacaannya,tetapi tak khusyuk kalau diperiksa satu persatu bacaannya, lafasnya banyak yang dia tak faham, fikirannya tak terpusat atau tak tertumpu sepenuhnya pada sembahyang yang dilaksanakannya itu disebabkan tak faham apa yang dia baca. Cuma main hafal saja. Jadi fikirannya terus tertumpu pada dunia dan alam sekelilingnya. Fikirannya mengembara dalam sembahyang, orang ini lalai dalam sembahyang. Neraka wail bagi orang ini.



Golongan 5- Golongan awamul muslimin

Golongan yang mengerjakan sembahyang cukup lima waktu, tepat ilmunya, faham setiap bacaan sembahyang, fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tapi tak dihayati dalam sembahyang itu. Fikirannya masih melayang mengingatkan perkara dunia, dek kerana faham saja tetapi tidak dihayati. Golongan ini dikategorikan sebagai sembahyang awamul muslimin.



Golongan 6- Golongan Lemah (Mujahadah)

Golongan ini baik sedikit dari golongan yang ke lima tadi, tetapi main tarik tali didalam sembahyangnya, sekali sekala khusyuk, sekali sekala lalai pula. Bila teringat sesuatu didalam sembahyangnya, teruslah terbawa bawa, berkhayal dan seterusnya. Bila teringat Allah secara tiba tiba maka insaf dan sedarlah semula, cuba dibawa hatinya serta fikirannya untuk menghayati setiap kalimat dan bacaan di dalam sembahyangnya. Begitulah sehingga selesai Sembahyangnya. Ia merintih dan tak mahu jadi begitu, tapi terjadi jua. Golongan ini adalah golongan yang lemah jiwa. Nafsunya bertahap mulhamah (ertinya menyesal akan kelalaiannya dan cuba baiki semula, tapi masih tak terdaya kerana tiada kekuatan jiwa). Golongan ini terserah kepada Allah.Yang sedar dan khusyuk itu mudah mudahan diterima oleh Allah, mana yang lalai itu moga moga! Allah ampunkan dosanya, namun tiada pahala nilai sembahyang itu. Ertinya sembahyangnya tiada memberi kesan apa-apa. Allah belum lagi cinta orang ini.



Golongan 7- Golongan orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.

Golongan yang mengerjakan sembahyangyang tepat ilmunya, faham secara langsung bacaan dan setiap lafaz didalam sembahyangnya. Hati dan fikirannya tidak terbawa-bawa dengan keadaan sekelilingnya sehingga pekerjaan atau apa pun yang dilakukan atau yang difikirkan diluar sembahyang itu tidak mempengaruhi sembahyangnya. Walaupun ia memiliki harta dunia, menjalankan kewajiban dan tugas keduniaan seperti perniagaan dan sebagainya namun tidak mempengaruhi sembahyangnya. Hatinya masih dapat memuja Allah didalam sembahyangnya. Golongan ini disebut orang-orang soleh / golongan abrar / ashabul yamin.



Golongan 8-  Golongan Muqarrabin (golongan yang dekat dengan Tuhan)

Golongan ini seperti juga golongan tujuh tetapi ia mempunyai kelebihan sedikit iaitu bukan saja faham, dan tak mengingati dunia didalam sembahyangnya, malahan dia dapt menghayati setiap makna bacaan sembahyangnya itu, pada setiap kalimah bacaan fatihahnya, doa iftitahnya, tahiyyatnya, tasbihnya pada setiap sujudnya dan setiap gerak gerinya dirasai dan dihayati sepenuhnya. Tak teringat langsung dengan dunia walaupun sedikit . Tapi namun ia masih tersedar dengan alam sekelilingnya. Pemujaan terhadap Allah dapat dirasai pada gerak dalam sembahyangnya. Inilah golongan yang dinamakan golongan Mukkarrabin (Yang hampir dengan Allah )



Golongan 9- golongan “As-Siddiqin”

Golongan ini adalah golongan yang tertinggi dari seluruh golongan tadi. Iaitu bukan saja ibadah sembahyang itu dijiwai didalam sembahyang malahan ia dapat mempengaruhi di luar sembahyang. Kala! u ia bermasalah langsung ia sembahyang, kerana ia yakin sembahyang punca penyelesai segala masalah. Ia telah fana dengan sembahyang. Sembahyang telah menjadi penyejuk hatinya. Ini dapat dibuktikan di dalam sejarah, seperti sembahyang Saidina Ali ketika panah terpacak dibetisnya. Untuk mencabutnya, ia lakukan sembahyang dulu, maka didalam sembahyang itulah panah itu dicabut. Mereka telah mabuk dengan sembahyang. Makin banyak sembahyang makin lazat, sembahyanglah cara ia nak lepaskan kerinduan dengan tuhannya. Dalam sembahyanglah cara ia nak mengadu-ngadu dengan Tuhannya. Alam sekelilingnya langsung ia tidak hiraukan. Apa yang nak jadi disekelilingnya langsung tak diambil peduli. Hatinya hanya pada Tuhannya. Golongan inilah yang disebut golongan Siddiqin. Golongan yang benar dan haq.